Carian
Asal Usul Selendang – Bagaimana Ia Mula Diperkenalkan Di Malaysia?
January 11, 2021 Lina Rosli

Asal Usul Selendang – Bagaimana Ia Mula Diperkenalkan Di Malaysia?

Jika anda lihat dalam dunia fesyen masa kini, selendang merupakan item fesyen yang semakin meningkat naik dan digunakan oleh kebanyakan wanita pada masa kini.

Tida hanya tertumpu sebagai hijab, selendang juga boleh dijadikan sebagai aksesori tambahan yang digunakan sebagai pelengkap gaya harian, malah ia turut dipakai di leher oleh masyarakat yang duduk di kawasan beriklim sejuk untuk memanaskan badan.

Diperbuat daripada pelbagai jenis bahan dan produk, selendang kini hadir dalam variasi rekaan dan fungsi untuk kegunaan orang ramai.

Bilakah Selendang Mula Diperkenalkan?

Secara umumnya, perkataan selendang mula digunakan menjelang abad ke-14 di Parsi. Ia adalah tenunan segi empat tepat yang dipakai di atas bahu dan dibuat dari bulu kambing kashmiri.

Pada suatu masa dahulu, Kashmir merupakan pusat perdagangan utama. Ia menawarkan pelbagai jenis barangan dari India yang meliputi pakaian dan juga kelengkapan diri.

2 Women in White and Red Hijab

Namun, ada juga sejarah yang mengatakan selendang berasal dari China yang mana ia telah diterima pakai oleh masyarakat India dan dari situ diteruskan pengeluarannya di Kashmir.

Lama-kelamaan, item fesyen selendang ini telah meluas ke pasaran Eropah Selatan dan Afrika Utara.

Pengenalan Tudung Dan Hijab Di Malaysia

Di Malaysia, penggunaan tudung dan hijab dilihat tiba agak lewat dalam kalangan masyarakat Islam yang mana sekitar tahun 1960 sehingga 1970 gaya fesyen masih lagi dipengaruhi oleh pakaian dari negara Barat.

Sumber: Pinterest

Dengan kemunculan gerakan-gerakan dakwah yang aktif di universiti, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Al-Arqam pada tahun 1990, ia sedikit sebanyak telah mengubah gaya fesyen segelintir masyarakat. Perubahan ini dapat dilihat melalui pemupukan gaya dan cara hidup Islam yang mana memperlihatkan keindahan dan nilai-nilai murni yang dibawa agama Islam sekaligus menjadikan tudung sebagai simbolik kebudayaan tinggi perempuan Melayu selepas menerima cahaya Islam.

Hadirnya budaya berhijab ini di Malaysia telah membawakan kepada umum pelbagai jenis penggayaan dan rekaan hijab seperti Shayla, Turban, Al-Amira, Khimar, Chador, Niqab dan Burqa.

Evolusi tudung di Malaysia

Bercerita tentang trend tudung pada sekitar tahun 1960, wanita Islam di kampung dan bandar biasanya hanya mengenakan selendang ataupun kain batik yang diletakkan di atas kepala yang mana sekadar menutupi sebahagian rambut sahaja. Ia tidaklah menggunakan kain lain yang dikhususkan untuk diletakkan di kepala seperti masa sekarang.

Sementara untuk pemilihan jenis kain pula, ia dipengaruhi status sosial wanita yang merangkumi dari kain batik, lace sehingga ke kain jenis tenunan seperti songket dan sutera.

Sumber: Pinterest

Bergerak pada tahun 1970 sehingga 1980, cara pemakaian tudung telah mula dipraktikkan dengan betul dan juga selari dengan tuntutan syariah. Amalan pemakaian tudung ini turut diterapkan di dalam sekolah yang kini dijadikan sebahagian pakaian seragam sekolah.

Menjelang tahun 2006, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Omar Bakri pula hadir dengan kenyataan mewajibkan polis wanita memakai tudung semasa bertugas dengan alasan keseragaman. Namun isu ini diredakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan bahawa pemakaian tudung hanyalah pilihan, bukan wajib kecuali untuk perbarisan rasmi, di mana mereka perlu mengikuti peraturan.

Bagaimana Selendang Sebagai Hijab Boleh Menjadi Popular Di Malaysia?

Tidak hairan mengapa perubahan fesyen sekarang lebih-lebih lagi berkenaan evolusi dan perubahan hijab boleh dilihat menerusi internet dan juga platform media sosial. Hal ini kerana, sewaktu awal-awal pengenalan hijab kepada umum, trend selendang ini dapat dilihat jelas meningkat disebabkan oleh gaya yang diperagakan oleh blogger terkenal iaitu Hana Tajima.

Bagaimana Hana Tajima berjaya mengubah industri fesyen Malaysia? Dibesarkan dalam persekitaran yang kreatif, Hana Tajima berupaya mengekspresi diri dan menghasilkan rangkaian pakaian sendiri yang telah membuatkan gaya dan juga cara pemakaiannya diterima oleh segelintir pihak.

Malah, fesyen hijab di Malaysia telah mengalami pelbagai pembaharuan yang mana daripada tudung empat segi dan juga kain batik sebagai medium menutup kepala, kini telah hadir dengan lebih banyak pilihan dan juga rekaan sekaligus telah menjadikannya lebih menarik jika dibandingkan dengan estetika fesyen mainstream.

Selain Hana Tajima, golongan kerabat Diraja juga memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran hijab. Tuanku Siti Aisyah Binti Abdul Rahman merupakan Permaisuri yang pertama bertudung di Malaysia iaitu pada tahun sekitar 2001.  Kemudian, trend pemakaian tudung ini turut diikuti oleh Tuanku Nur Zahirah Binti Adil Bakeri yang pernah memegang gelaran Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011.

Pada masa kini, pertumbuhan jenama-jenama tempatan untuk pasaran tudung dan skarf boleh dikatakan semakin meningkat dan sangat kompetitif. Menerusi ikon fesyen dan juga para selebriti muslimah, penggunaan hijab kini dilihat lebih diterima umum selain dapat memberikan imej yang lebih positif dan baik untuk para muslimah.

Image

Bukan itu sahaja, penawaran hijab tidak lagi terhad untuk individu muslim di Malaysia sahaja, ia juga boleh digunakan oleh setiap wanita muslim dan bukan muslim di seluruh dunia sekaligus menjadikan penggunaan hijab lebih meluas.

Sumber: Malaysia Gazette, WorldOfHijab4U, Roving Crafters 

Komen