5 Tabiat Yang Perlu Anda Praktik Untuk Elak Berhutang
Menguruskan perbelanjaan anda adalah cara terbaik untuk mengelakkan hutang. Namun, ia juga boleh menjadi sesuatu yang sukar apabila anda mempunyai keinginan berbelanja yang tinggi.
Oleh sebab itu, pentingnya untuk anda mengetahui jumlah maksima untuk perbelanjaan bulanan anda untuk mengelakkan pengumpulan hutang.
Di bawah ini adalah lima tabiat yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan anda. Ia betujuan untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak wajar, mengelakkan masalah kewangan selain membebaskan diri anda dari hutang.
Urus dan sediakan buku kira-kira
Ramai orang tidak membuat anggaran dan catat dalam buku kira-kira tentang perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan mereka. Sekiranya anda mempunyai tabiat perbelanjaan yang teruk, anda seharusnya mempunyai satu buku pengurusan duit untuk membuat anggaran.
Pembelian kecil juga perlu dicatat. Simpan resit anda dan tuliskan pembelian anda dalam jurnal perbelanjaan. Kelaskan setiap perbelanjaan anda mengikut kategori seperti makan dan minuman, kelengkapan rumah, fesyen, pengangkutan dan lain-lain.
Elakkan impulse buying
Sekiranya anda melihat sesuatu yang ingin dibeli, elakkan daripada terus membelinya. Tips di sini adalah letakkan dahulu apa yang ingin dibeli di dalam shopping cart.
Namun pastikan anda tidak terus menghubungkan akaun kad kredit anda dengan laman edagang berkenaan. Hal ini kerana, jika anda mencuba tips ini, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali sebelum meneruskan transaksi.
Bayar komitmen bulanan tepat pada waktu
Sekiranya anda mempunyai banyak komitmen yang perlu anda bayar, pastikan ia diselesaikan terlebih dahulu. Cuba anda bayangkan, jika anda langkau pembayaran komitmen bulanan, ia akan memberi kesan kepada pendapatan anda pada bulan hadapan.
Dan apa yang paling membimbangkan adalah anda akan cenderung untuk membuat pinjaman bagi melunaskan hutang sama ada daripada ahli keluarga dan juga kawan rapat.
Hadkan hutang
Hadkan jumlah hutang yang anda tanggung. Prinsip utama ialah pembayaran bulanan hutang anda tidak boleh melebihi 20% dari pendapatan bulanan anda.
Sebilangan bil mungkin kelihatan tidak penting tetapi apabila anda melihat kumulatifnya, kosnya sangat besar. Pertimbangkan untuk mengurangkan aliran wang yang berulang seperti:
- Perkhidmatan penstriman (Netflix, Spotify)
- Penggunaan tenaga yang berlebihan
- Bil telefon bimbit dan internet
Belanja mengikut kemampuan
Sekiranya anda tidak mampu membelinya tanpa kad kredit, jadi jangan beli. Salah satu perkara yang paling berbahaya adalah memiliki kad kredit. Ia menjadikan anda berasa seakan anda mampu membeli barang yang sebenarnya tidak mampu anda miliki.
Jadi itu adalah beberapa tabiat yang boleh anda praktikkan untuk elak berhutang. Selain itu, sekiranya anda menerima kenaikan gaji, anda disarankan untuk kekal perbelanjaan anda sama sewaktu gaji anda sebelum ini. Simpan wang tambahan sebagai simpanan.