Makan Lewat Malam Punca Masalah Kesihatan – Fakta Atau Mitos?
Terdapat banyak pencanggahan idea dan maklumat mengenai tabiat pemakanan sehingga lewat malam boleh mengakibatkan masalah kesihatan ataupun sebaliknya.
Ada kajian menyatakan makanan diproses secara berbeza pada waktu yang berlainan dalam sehari. Perkara ini disebabkan oleh faktor seperti aktiviti yang dilakukan pada waktu siang dan malam adalah berbeza yang mana boleh mempengaruhi suhu badan, reaksi biokimia, paras hormon dan juga penyerapan dan pencernaan makanan.
Walau bagaimanapun, menurut Jabatan Kawalan Berat Amerika Syarikat, mereka. mengatakan yang mana waktu makan tidak mempengaruhi kesihatan dari sudut peningkatan berat badan. Ia sebenarnya bergantung kepada jenis dan kuantiti makanan serta kekerapan aktiviti fizikal yang anda lakukan sepanjang hari.
Jadi, Adakah Makan Lewat Malam Tidak Elok Untuk Kesihatan?
Jawapannya, tidak. Makan lewat tidak menyebabkan kegemukan. Menurut KKM, punca kegemukan adalah melibatkan makan secara berlebihan, makan makanan yang berlemak, berminyak serta tinggi kalori dan gaya hidup yang sedentari boleh menyumbang kepada kegemukan.
Tetapi, jika anda makan pada tengah malam dan hanya mengambil kudapan seperti kacang ia tidaklah memberi kesan yang buruk pada kesihatan.
Namun, sebaik-baiknya, anda perlu berhenti makan sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur. Hal ini kerana, semasa anda tidur, semua sistem di badan anda akan bergerak semakin perlahan. Lebih-lebih lagi sistem pencernaan kerana badan anda akan berada dalam mod rehat.
Tetapkan had waktu untuk anda berhenti makan. Ia. bukan sahaja melatih diri anda supaya lebih berdisiplin, malah ia turut membuatkan tidur malam anda menjadi lebih baik dan berkualiti. ________________________________________________________________________
Kuncinya di sini, waktu makan bukanlah penyebab utama masalah kesihatan. Apa yang memberi kesan buruk adalah makanan dan kalori yang anda ambil pada waktu itu.
Akhir sekali, anda disarankan untuk mengawal pemakanan anda dengan berpuasa makan selama 12 jam. Bagaimana? Anda boleh berhenti makan pada jam 7 malam dan mula makan semula pada jam 7 pagi dengan mengambil sarapan yang lebih mengenyangkan.
Dengan cara ini, anda tidak akan merasa begitu keterlaluan dalam diet anda selain membantu anda mengawal pemakanan dengan lebih sistematik.
Sumber: MyHealth, KKM Putrajaya, WebMD