Tidak semua di kalangan kita mempunyai mesin jus di rumah. Tapi, jangan khuatir kerana anda boleh membuat jus tanpa menggunakan mesin jus. Saya menggunakan kaedah manual ini sewaktu saya berada di Universiti. Kaedah manual ini tidak susah cuma memakan masa sedikit tetapi ianya sangat menyeronokkan!
Mungkin juga anda berfikir untuk membeli jus tapi tidak pasti. Jadi itu bukanlah halangan untuk anda untuk mengenalkan jus hijau dalam kehidupan. Dengan kaedah ini anda harus mengupas kulit buah buahan terlebih dahulu jika perlu dan potong buah buahan dalam saiz yang sesuai. Anda cuma memerlukan beberapa peralatan.
Peralatan Yang Diperlukan:

Mesin pengisar/blender
Kisar kan kesemua sayur dan buah di dalam pengisar & tambah secawan air. Didahulukan oleh sayur dan buah yang lembut seperti saderi, timun atau sayur hijau. Seterusnya, diteruskan oleh buah dan sayur yang agak keras atau kurang lembut seperti epal atau lobak merah.

Penapis
Saya lebih gemar menggunakan penapis kain. Tapis kan kesemua buah dan sayur yang sudah dikisar ke dalam penapis. Jika anda menggunakan penapis kain, anda boleh memerah jus menggunakan tangan.
Mangkuk
Sediakan mangkuk yang besar untuk menadah jus. Anda boleh memilih saiz mangkuk yang bersesuaian dengan kuantiti air dan buah yang anda kisar supaya tidak terlalu kecil ataupun terlalu besar.
Mudah bukan? Anda boleh melakukan teknik ini pada mana-mana buah-buahan yang anda gemari bermula hari ini! Selamat mencuba!