Sejarah Minyak Wangi – Pencipta Minyak Wangi Pertama Adalah Wanita?
Keupayaan kita untuk menghidu adalah salah satu perkara yang paling bernilai. Ia adalah antara lima pancaindera yang paling sensitif selain menyentuh, mendengar atau melihat.
Dengan sensitiviti ini sudah tentu menjadikan anda gemar akan sesuatu bau yang sedap atau menenangkan untuk dihidu. Sebagai contoh, makanan yang sudah hampir basi sudah tentu akan dibuang terlebih dahulu walaupun rupanya seakan masih boleh dimakan. Tetapi hidung anda dapat menghidu yang mana baunya sudah tidak lagi segar dan tidak boleh dimakan.
Oleh sebab itu jugalah wujudnya produk dan wangian untuk diri dan juga persekitaran seperti pewangi bilik tidur, pewangi tandas dan banyak lagi.
Permulaan Minyak Wangi Dan Bagaimana Ia Diperkenalkan?
Bercerita mengenai wangian ini, masyarakat Islam pada zaman dahulu adalah antara yang memberikan sumbangan yang besar dalam pengembangan minyak wangi di kawasan Timur Tengah. Mereka hadir dengan kaedah pengambilan minyak wangi melalui penyulingan wap dan memperkenalkan bahan mentah termasuk kasturi, mawar, resin, ramuan kayu berharg dan bahan wangian dari haiwan seperti ambergris. Kedua-duanya sangat mempengaruhi perkembangan minyak wangi dan saintifik Barat.

Penggunaan minyak wangi dalam kalangan umat Islam telah mula diperkenalkan sejak abad ke-6 dan penggunaannya dianggap sebagai kewajiban agama. Dan perkembangannya dilihat bermula pada abad ke-10 oleh Jabir ibn Hayyan dan Al-Kindi yang menubuhkan industri minyak wangi.
Jabir mengembangkan banyak teknik termasuk penyulingan, penyejatan dan penapisan yang memungkinkan pengumpulan bau tumbuhan menjadi wap yang kemudiannya dikumpulkan dalam bentuk air atau minyak.
Sementara, Al-Kindi adalah pengasas industri minyak wangi yang mana beliau melakukan penyelidikan dan eksperimen dalam menggabungkan pelbagai tanaman dan sumber lain untuk menghasilkan pelbagai produk aroma. Al-Kindi juga menulis pada abad ke-9 sebuah buku mengenai minyak wangi yang dinamakannya ‘Book of the Chemistry of Parfume and Distillations’. Ia menceritakan tentang lebih seratus resipi minyak wangi beserta kaedahnya.

Perkembangan minyak wangi tersebar di Eropah pada abad ke-11 dan ke-12 dari negara Arab. Menurut sejarawan, pada waktu itu umat Islam berdagang dan membawa rempah, bahan minyak wangi dan pewarna ke Eropah. Dan kemudiannya, Catharina de Medici memulakan industri minyak wangi di Eropah sekitar abad ke-16.
Walau bagaimanapun, berdasarkan sejarah awal, minyak wangi sebenarnya telah mula digunakan sejak abad ke-2 tanpa teknik atau kaedah khusus oleh ahli kimia wanita yang bernama Taputti.
Penggunaan Minyak Wangi Pada Zaman Dahulu
Seperti kebanyakan barangan dan produk terdahulu termasuk alat solek, pakaian dan banyak lagi. Minyak wangi dahulunya juga dipakai bagi melambang status sosial masyarakat pada zaman itu.
Jika dilihat pada setiap abad, kebanyakan minyak wangi ini dipakai oleh golongan bangsawan dan juga para raja pada di setiap negara. Sebagai contoh, pemimpin Mesir, Ratu Cleopatra dan Ratu Hatshepsut menggunakan wangian pada badan, produk mandian, bilik. tidur dan bahkan membawa minyak wangi bersama mereka ke dalam kubur.
Di England pula, minyak wangi digunakan secara meluas selama pemerintahan Raja Henry VIII dan Ratu Elizabeth I. Semua tempat awam akan disembur dan diletakkan pewangi kerana Ratu Elizabeth tidak tahan dengan bau busuk.
Sementara di China pula, minyak wangi ini digunakan bagi memberikan kesihatan dan mengelakkan daripada penyakit. Ia akan diletakkan di dalam bilik seperti diffuser yang kita lihat pada pasaran masa kini.
Jenama Pertama Yang Mengeluarkan Minyak Wangi
Giovanni Maria Farina hadir dengan minyak wangi ciptaannya aitu Kölnisch Wasser yang merupakan minyak wangi jenis cologne.
Sementara, wangian fougère pertama diciptakan oleh Jean-François Houbigant pada tahun 1882. Dinamakan Fougère Royale, ia adalah yang pertama menampilkan wangian dengan mengasingkan zarah-zarah yang terdapat dalam biji tonka secara sintetik.

Pada tahun 1934, Caron Ernest Daltroff mencipta wangian pertama untuk lelaki yang dinamakan Pour Un Homme (For A Man) dan itu menampilkan bunga lavender dan vanila di atas dasar kayu amber dan kayu cedar.
Minyak wangi pada awalnya banyak dihasilkan yang memfokuskan untuk lelaki. Selepas revolusi indusri minyak wangi, banyak jenama termasuk jenama mewah seperti Chanel, Dior, Calvin Klein iaitu sekitar tahun 1955.
Sumber: Fragrancex, McGill