Hasilkan ‘Cappuccino’ Farm Fresh Ini Dalam Masa 10 Saat

Adakah anda seorang peminat kopi? Waktu PKP ini kita mempunyai lebih masa kerana bekerja dari rumah dan dapat meneroka idea-idea baru. Saya sendiri meneroka dunia kopi bermula dengan Espresso menggunakan Delonghi Icona Vintage dan yang terkini, teknik Pour-Over menggunakan Hario V60 dan Kalita.

Kedua-dua teknik diatas boleh dikatakan memakan masa kerana untuk melakukannya, anda perlu mengisar biji kopi terlebih dahulu, sebelum menyediakan ‘brewer‘ pilihan anda. Dan selepas biji kopi dikisar, anda juga akan mengambil masa untuk mengekstrak kopi, dan menghasikan buih-buih susu untuk diletakkan kepada espresso, bagi menghasilkan Cappuccino atau flat-white. Secara amnya, proses ini akan mengambil masa lebih dari 3 minit.

Pada hari biasa waktu bekerja, kadangkala saya akan membeli Farm Fresh Cafe Latte kerana ia agak sedap jika dibandingkan dengan kopi susu kotak atau tin yang lain. Memandangkan ia adalah lebih ‘bersusu’, maka timbul idea untuk mencipta ‘Cappuccino Farm Fresh dari Cafe Latte ini.

Cappuccino mempunyai nisbah 1:air, 1:susu, 1: buih susu. Buih susu yang dihasilkan dengan stim pada mesin espresso anda bertindak sebagai pengekang haba membuatkan cappuccino anda panas lebih lama. Namun buih juga boleh dihasilkan menerusi proses goncangan/kocakkan justeru membuatkan proses ini boleh memberikan hasil yang sama untuk susu Cafe Latte yang sejuk.

Tekniknya mudah sahaja. Anda hanya perlu keluarkan 1/2 atau 2/3 dari Cafe Latte itu kepada cawan lain bagi mewujudkan ruang udara dan menggoncangkan kotak susu tersebut dengan kuat, selama 10 saat. Goncangan itu akan menghasilkan buih-buih susu yang agak pekat. Apabila anda menuang Cafe Latte tersebut, anda akan dapat susu yang disusuli buih yang tebal, bagaikan secangkir Cappuccino sekaligus memberikan lebih lunak rasa.

Selamat mencuba.