Resepi Sambal Tumis Kerang – Boleh Dihidangkan Bersama Roti Puri
Bagi anda yang menggemari hidangan sambal tumis, hari ini Tajria ingin berkongsi resepi dengan anda cara menyediakan Sambal Tumis Kerang untuk hidangan minum petang ataupun makan malam.
Untuk penyediaan sambal tumis ini, saya lebih gemar untuk menyediakannya sedikit kering. Manakala untuk rasa pula, sambal kerang lebih enak apabila berasa pedas dan sedikit manis. Berikut adalah beberapa bahan yang diperlukan serta cara penyediaan mudah yang boleh anda cuba.
Bahan A
Kisar semua bahan ini sehingga halus:
- 3-4 senduk lada kering (yang telah digunting dan direndam dengan air panas) atau anda juga boleh menggunakan cili boh
- 4 biji bawang merah
- 3 biji bawang putih
- Belacan atau udang kering
Bahan B
- Kerang (dikukus dan ditanggalkan kulitnya)
- Air asam jawa
- 2 sudu gula
- garam secukup rasa
Cara Penyediaan
1. Kisar kesemua bahan-bahan A, iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan juga belacan sehingga halus.
2. Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan yang telah dikisar. Pastikan anda tumis sehingga sambal tersebut naik minyak.
3. Apabila sudah naik minyak, masukkan air asam jawa ke dalam sambal.
4. Kemudian, masukkan gula dan garam. Gaul dan tumiskannya sehingga warnanha menjadi sedikit gelap.
5. Masukkan kerang yang telah masak dan ditanggalkan kulit. Kacaukan bersama sambal dan biarkan ia sekitar 1 hingga 2 minit.
6. Anda juga boleh masukkan hirisan bawang sebagai penambah rasa.
Hidangkan sambal anda bersama roti puri ataupun anda juga boleh menjamunua bersama ubi rebus dan nasi lemak. Selamat mencuba!