Dry eyes atau biasanya dipanggi mata kering adalah keadaan yang berlaku apabila mata tidak boleh mengeluarkan air mata yang mencukupi untuk menyegarkan mata.
Untuk pengetahuan anda, air mata hadir dengan fungsi yang sangat penting. Terutamanya untuk memberikan pelinciran, mengurangkan risiko jangkitan mata, membersihkan mata daripada benda asing di mata dan menjaga permukaan mata.

Kebiasaannya, air mata yang berlebihan akan mengalir ke saluran kecil di sudut dalam kelopak mata. Tetapi jika anda mengalami masalah mata kering, ia mungkin disebabkan pengeluaran air mata dan saluran yang tidak betul menjadikan air mata tidak dapat disimpan dengan baik.
Individu yang mengalami masalah mata kering akan merasakan gejala seperti:
- Kegatalan pada bahagian mata
- Kemerahan
- Sensitif terhadap cahaya
- Mata berair.
- Lendir pada bahagian tepi mata
- Penglihatan kabur
Punca Berlakunya Mata Kering
Secara umumnya, faktor yang menyebabkan masalah bola mata kering ini adalah:
- Anda tidak menutup kelopak mata rapat semasa tidur. Nama saintifiknya adalah lagophthalmos yang mana seseorang individu mempunyai ketidakupayaan untuk menutup kelopak mata sepenuhnya.
- Tubuh tidak mampu menghasilkan air mata berkualiti tinggi untuk melincirkan mata anda.
Pertambahan Usia
Apabila bertambah usia, pengeluaran air mata juga cenderung untuk berkurang bersama dengannya. Majoriti orang yang berumur 65 tahun ke atas lebih kerap mengalami gejala mata kering.
Pengambilan Ubat-ubatan
Bagi anda yang ada mengambil ubat-ubatan secara kerap seperi antihistamin, ubat tekanan darah dan juga antidepresan akan mengurangkan pengeluaran air mata. Malah, untuk individu yang menderita penyakit seperti rheumatoid arthritis, diabetes dan masalah tiroid juga cenderung mengalami gejala mata kering.
Keadaan persekitaran
Selain melibatkan kesihatan dan tubuh, aktiviti yang terdedah kepada asap, angin dan iklim kering dapat meningkatkan penyejatan air mata yang mengakibatkan gejala mata kering. Kegagalan berkedip secara berkala, seperti ketika menatap skrin komputer untuk jangka waktu yang lama turut memberi kesan kepada mata.

Penggunaan kanta lekap
Bagi anda yang memakai kanta lekap untuk tempoh yang lama, anda mungkin akan mengalami masalah mata kering. Keadaan ini adalah sedikit berbeza dengan sindrom mata kering biasa.
Ia berlaku disebabkan lapisan nipis atau bahan kanta lekap yang menyentuh kornea akan menghadkan aliran oksigen ke mata. Tanpa aliran oksigen yang berterusan, mata anda berjuang untuk mengeluarkan air mata semula jadi.
Jadi, untuk mengurangkan masalah mata kering, anda perlu memastikan untuk mempraktikkan langkah seperti:
- Berkedip secara berkala semasa membaca atau menatap skrin komputer untuk jangka masa yang lama.
- Meningkatkan kelembapan di udara di tempat kerja dan di rumah.
- Pakai cermin mata hitam di luar rumah, terutama dengan bingkai pelindung, untuk mengurangkan pendedahan angin kering dan cahaya matahari.
- Minum banyak air setiap hari.
- Amalkan gaya pemakanan yang sihat yang membantu mengekalkan kehidratan dalam badan.