Bagi anda yang meminati tiram, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda beberapa fakta menarik mengenai tiram atau lebih dikenali sebagai oyster.
Jika anda perasan, kebanyakan tiram yang kita dapati di pasar ataupun kedai makan hadir dengan saiz dan mungkin struktur yang berbeza. Ya, ia mempunyai beberapa spesies yang mana sama seperti makanan laut yang lain.

Ketahui 5 Spesis Tiram Di Pasaran
Ini adalah lima spesis tiram yang boleh anda ketahui:
- Tiram Pasifik atau Tiram Jepun. Ia mempunyai saiz yang lebih kecil dan rekaan cengkerang yang bergelombang.
- Tiram Kumamoto. Tiram ini juga mempunyai saiz yang kecil, cuma apa yang membezakan adalah warna cengkerangnya pucat dan berbentuk bulat.
- Tiram Belon. Nama lainnya adalah European Flat yang mana sering kita nampak di restoran makanan laut. Ia mempunyai saiz cengkerang yang lebar tetapi tipis dan tekstur yang sedikit kasar.
- Tiram Atlantik. Tiram jenis ini adalah antara yang popular oleh kebanyakan individu. Ia berbentuk bujur dan kadangkala tidak sekata.
- Tiram Olympia. Ia hadir dengan isi yang kecil dan manis. Dari segi kulit pula, ia berbentuk seakan air mata yang bersaiz lebar.
Jadi, berikut adalah beberapa jenis tiram yang perlu anda ketahui. Antara spesis yang paling popular dan banyak dituai adalah tiram Atlantik dan tiram Pasifik.
Tahukah Anda Tiram Boleh Menukar Jantinanya?
Apa yang menarik mengenai tiram adalah ia boleh mengubah jantina sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayatnya. Semua tiram bermula dengan jantina jantan, tetapi kebanyakannya akan berubah secara kekal menjadi betina selepas berusia setahun.
Ia juga mempunyai organ pembiakan yang boleh menghasilkan sama ada sperma dan telur. Jadi, secara teknikal, tiram boleh mengeluarkan telurnya sendiri.

Setakat ini, masih tiada lagi kajian yang mengatakan perbezaan jantan dan betina. Namun, ada beberapa artikel yang mengatakan tiram yang lebih kecil biasanya jantan dan yang lebih besar pula betina.
Tiram adalah moluska bivalve yang boleh hidup sehingga 40 tahun dan tumbuh hingga lapan inci. Namun, kebiasaannya akan mula dituai dan dimakan sekitar umur 3 tahun atau apabila sudah matang.
Untuk terus hidup, tiram mesti mendarat di permukaan yang keras. Oleh sebab itu, kebanyakan tiram kerap dijumpai tumbuh bersama di rumpun atau batu.
Sumber: LA Times