Asal Usul Penyangkut Baju – Mengapa Terdapat Pelbagai Jenis Dan Rekaan?
Jika anda lihat di pasaran, terdapat pelbagai jenis penyangkut baju yang boleh anda dapatkan. Ia termasuk penyangkut jenis plastik, kayu, besi atau dawai dan banyak lagi.
Tidak dinafikan juga, penghasilan dan ciptaan penyangkut baju ini sangat membantu kebanyakan individu dari segi pengurusan baju di dalam almari. Namun, tahukah anda kisah disebalik setiap jenis penyangkut baju ini?
Kisah Di Sebalik Penyangkut Baju
Menurut beberapa penulisan, penyangkut baju yang pertama dijumpai pada tahun 1860. Ia dihasilkan oleh O. A. North of New Britain, Connecticut. Rekaan penyangkut baju pada ketika itu adalah berasaskan besi dan juga berbentuk bujur.
Kemudian, selepas hadirnya penyangkut baju itu, Thomas Jefferson iaitu Presiden Amerika Syarikat yang ketiga telah menggunakan rekaan O.A North dan mempatenkannya pada tahun 1869. Namun, pada tahun itu sahaja, lebih 13,000 paten dikeluarkan untuk penyangkut baju.
Bergerak ke tahun 1903, Albert J. Parkhouse iaitu seorang pekerja di Syarikat Timberlake Wire and Novelty Company telah hadir dengan evolusi untuk penyangkut pakaian. Beliau mengambil sekeping dawai sederhana dan membentuk dua oval pada sisi kiri dan kanan. Untuk menyangkutnya pula, beliau membengkokkan besi tersebut supaya ia boleh digantung di atas palang. Ini adalah reka bentuk pertama yang diketahui yang paling hampir dengan reka bentuk penyangkut kot wayar biasa pada masa kini.

Pada tahun 1932 pula, Schuyler C. Hulett memasang tiub kadbod pada bahagian dawai yang menyokong pakaian untuk mengelakkan kedutan sewaktu menggantungnya.
Sementara untuk tahun 1965, Gerhard Wieckmann pula hadir dengan paten penyangkut baju namun menggunakan bingkai kayu reka bentuk baru. Rangka kayu ini diperkenalkan untuk meminimumkan lipatan pada pakaian yang disebabkan oleh penyangkut wayar dan untuk meningkatkan ketahanan gantungan. Versi penyangkut ini dilihat sedikit lebih mahal akan mempunyai jangka hayat yang jauh lebih besar.
Revolusi penyangkut baju tidak berhenti setakat itu, bagi golongan yang. lebih gemar penyangkut baju yang yang lebih murah dan kos yang rendah, JH Batts pula hadir dengan penyangkut plastik pada tahun 1967.

Bagaimana Penggunaan Penyangkut Ini Berkembang?
Untuk pengetahuan anda, sekitar 90 peratus penyangkut baju ini dihasilkan oleh sebuah kilang di China di daerah Lipu iaitu di wilayah autonomi Guangxi Zhuang China Selatan. Ia kemudiannya dihantar ke Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara.
Kepesatan pengeluaran penyangkut ini dilihat disebabkan oleh beberapa faktor termasuk variasi penawaran yang cukup luas yang mana ia hadir dalam pelbagai bentuk dan ukuran, warna dan bahan. Malah untuk industri fesyen, penyangkut adalah bahagian penting dalam produk yang dibeli yang mana memberi gambaran untuk kualiti sesuatu produk.
Penyangkut ini bukan hanya alat penyimpanan, tetapi juga komponen penting untuk peragaan dan pemasaran.
Adakah Ciptaan Penyangkut Baju Membawa Kebaikan Atau Lebih Kepada Keburukan?
Sememangnya, penyangkut baju adalah item yang penting untuk mendapatkan almari yang lebih kemas dan pengurusan baju yang lebih baik. Ia akan membuatkan ruang pakaian anda kelihatan cantik dan bersih selain mengekalkan bentuk asalnya.
Namun, kuantiti pengeluaran yang banyak dilihat semakin merunsingkan. Bercerita dari segi bahan pembuatan, kebanyakannya diperbuat dari plastik yang sukar dikitar semula.
Penyangkut ini merangkumi gabungan hingga tujuh plastik yang berbeza dan juga logam. Ia memakan masa sehingga 1000 tahun untuk dilupuskan. Jadi apakah pandangan anda mengenainya?
Sumber: Vice, Hanger World, China Daily