5 Teknik Mengingat Dengan Mudah – Hubungkan Informasi, Bukan Hafal
Mengingat atau memorizing adalah satu kaedah yang membantu anda menghadam maklumat dan isi-isi penting dalam buku atau nota. Teknik ini sangat popular dalam kalangan pelajar yang mana mereka lebih cenderung untuk menghafal maklumat dan bukannya menyimpan maklumat tersebut di dalam memori.
Terdapat beberapa cara yang boleh anda praktikkan untuk membantu dalam mengembangkan memori kerja dan mengakses memori jangka panjang.
Jadi, hari ini Tajria akan menunjukkan kepada anda beberapa teknik tentang bagaimana untuk mendapatkan memori yang lebih baik dan juga kaedah mengingat yang berkesan.
Memahami apa yang dipelajari
Sebelum cuba menghafal sesuatu, penting untuk anda memahaminya. Sekiranya anda mengikuti sesuatu topik atau informasi, anda hendaklah faham perkara yang cuba disampaikan dan apakah maklumat yang perlu anda ekstrak.
Sama ada formula matematik, jika anda memahaminya dengan betul, otak anda akan membentuk lebih banyak hubungan, yang membolehkan anda mengingatnya dengan lebih mudah.
Hubungkan maklumat baru dengan perkara yang sudah anda ketahui
Apabila sudah memahami topik dan maklumat yang disampaikan, seterusnya anda perlu menghubungkannya dengan maklumat lama yang sudah anda simpan dalam memori jangka panjang anda. Dengan ini, ia akan memudahkan otak atau memori anda menyusun rekod di dalam kotak memori anda.
Sebagai contoh, untuk subjek seperti Sains, pokok akan menghasilkan fotosintesis bagi mendapatkan oksigen.
Maklumat sedia ada dalam memori: Pastinya anda sudah mengetahui maklumat yang mana pokok memerlukan cahaya, air dan karbon dioksida untuk meneruskan proses fotosintesis.
Maklumat baru yang anda peroleh: Formula menghasilkan fotosintesis adalah 6CO2 + 6H2O (+cahaya) → C6H12O6 + 6O2
Cara untuk menghubungkannya: Enam molekul karbon dioksida dan enam molekul air memerlukan diubah oleh tenaga cahaya yang diserap oleh klorofil menjadi molekul gula dan enam molekul oksigen.
Jadi, apabila anda menghubungkannya, anda akan mendapat gambaran yang. lebih besar. Semakin banyak sambungan logik yang anda dapat dengan maklumat baru, semakin kuat ingatan untuk anda hasilkan.
Kumpulkan maklumat dalam bentuk kumpulan kecil
Chunking adalah proses memecah maklumat dan menyusunnya menjadi beberapa kumpulan.
Sebagai contoh, jika anda mempunyai nombor yang banyak iaitu 2325550483, anda boleh membahagikannya menjadi kumpulan kecil, seperti 232-555-0483. Pembahagian ini memudahkan memori anda mengakses satu maklumat di depan, satu maklumat ditengah dan satu lagi dibelakang.
Untuk maklumat berbentuk perkataan pula, anda masih lagi boleh menggunakan teknik yang sama seperti;
Topik: Sejarah Melaka
Pada tahun 1396, seorang pangeran Sumatera dengan nama Parameswara melarikan diri dari negaranya kerana takut akan Kerajaan Majapahit menyerang. (1)| Sejurus tiba di Temasek, dia membunuh penguasa tempatan dan mengukuhkan dirinya di pulau yang kini dikenali sebagai Singapura. (2)| Beberapa tahun kemudian, dia diusir oleh tentera yang dikuasai Thailand dan sekali lagi beliau lari kemudian mencari sebidang tanah baru yang kini dikenali sebagai Melaka. (3)|
- 1396, Parameswa melarikan diri ke Temasek
- Dia bunuh penguasa Temasek untuk mengukuhkan kedudukan
- Diusir oleh tentera Thailand dan membuka Melaka
Lisan vs Visual
Ingatan manusia bertindak dengan sangat baik apabila dimasukkan elemen visual di dalam. Seperti yang anda ketahui, imej sangat berkesan jika dibandingkan daripada perkataan.
Ada kajian mendapati melalui teknik lisan, anda hanya boleh menghafal sekitar 5 hingga 7 perkataan. Sementara untuk visual, anda boleh mengingat sehingga 15 perkataan.
Sekiranya anda menutup mata dan mengingati apakah rancangan televisyen yang anda tonton dan apabila anda membuka mata, anda akan menyedari bahawa anda menggunakan gambar visual untuk mengingat kembali setiap butiran dan mampu menerangkan kembali plot cerita yang tergambar dalam ingatan anda.
Visualisasi melibatkan penciptaan gambar dalam fikiran anda yang menyertai idea atau istilah yang ingin anda hafal.
Cuba kembangkan idea melalui teknik Loci
Seakan sama dengan teknik menghubungkan maklumat lama dan baru, teknik Loci adalah teknik mengingat yang pada awalnya dicipta berdasarkan idea seseorang dapat mengingati sesuatu acara, monumen atau tempat yang pernah mereka lalui.
Sebagai contoh, jika anda melalui sesuatu lokasi, anda pastinya akan memvisualisasikan idea itu berinteraksi dengan lokasi tertentu. Jadi, gunakan teknik Loci ini dengan menggambarkan setiap bahagian maklumat yang ingin anda hafal untuk topik yang berkenaan.
Perkara yang perlu dihafal: lima item dalam senarai membeli-belah seperti berus gigi, epal, snek, sabun, dan minyak wangi.
- Mula-mula anda akan menggambarkan tempat atau kawasan yang sudah biasa anda lalui seperti rumah.
- Kemudian, kaitkan setiap item dalam senarai di lokasi tertentu, iaitu anda membuka pintu utama dan menjumpai jus minuman epal dan snek di atas meja rumah
- Ketika menuju ke bilik mandi, anda mendapati berus gigi anda terjatuh di lantai disebabkan buih sabun yang licin
- Kemudian, anda mencari sebotol minyak wangi untuk disemburkan di dalam bilik tidur yang busuk.
Kaedah ini mungkin berkesan untuk topik yang memerlukan anda untuk menghafal senarai produk atau bahan. Ia membantu anda mengingat dengan berimaginasi dengan perkara di sekeliling anda.
Berikut adalah beberapa teknik yang boleh. anda praktikkan dalam membantu mengingat sesuatu topik dengan lebih mudah dan efisien. Ia juga mengurangkan kebergantungan anda kepada kaedah menghafal semata-mata.
Mengenali apa yang diperlukan memori anda semestinya dapat membantu memahami perkara dengan lebih mudah. Malah, ia juga membantu otak anda berfungsi dengan baik tanpa memaksa ia melakukan tugasan yang berat.