Lina Rosli Diterbitkan 24 February 2021

Soalan Popular Mengenai Vaksin – Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Soalan Popular Mengenai Vaksin – Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Bagi anda yang mungkin ingin mengetahui fakta mengenai pengambilan vaksin COVID-19, Tajria hari ini ingin berkongsi beberapa soalan yang paling kerap disoal mengenai vaksin.

white and black plastic bottle

Berikut adalah apa yang perlu anda tahu:

Apa itu vaksin?

Vaksin mengandungi antigen yang berfungsi merangsang tindakbalas imun. Ia diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. 

Antigen dalam vaksin akan bertindak dengan sistem daya lawan jangkitan atau lebih lebih dikenali sebagai sistem imuniti tubuh dalam membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Bagaimana vaksin Pfizer bertindak dalam tubuh?

Vaksin Comirnaty adalah menggunakan teknologi vaksin jenis mRNA atau disebut messanger ribonucleic acid. Vaksin mRNA terdiri daripada jujukan genetik yang diselaputi oleh bahan yang boleh melindungi mRNA daripada tindakbalas enzim di dalam badan dan memastikan mRNA dapat memasuki sel imun tertentu seperti sel dendritic dan makrofaj di dalam nodul limpa yang berdekatan kawasan suntikan.

Vaksin mRNA ini akan menghasilkan protein COVID-19 yang unik yang dikenali sebagai spike protein yang boleh merangsang imuniti badan tanpa menyebabkan penyakit. Ia akan merangsang pembentukan antibodi yang spesifik terhadap COVID-19 dan boleh bertindakbalas sekiranya terdapat jangkitan COVID-19 pada masa akan datang. Selepas ia dihasilkan, vaksin mRNA ini akan dimusnakan enzim di dalam sel.

Apakah kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi selepas menerima suntikan vaksin?

Kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku adalah seperti berikut:

  • Sakit pada kawasan suntikan
  • Sakit kepala atau pening
  • Sakit otot
  • Demam atau badan akan terasa menggigil
  • Sakit sendi
  • Bengkak pada kawasan suntikan
  • Loya dan rasa ingin muntah
  • Rasa lesu
  • Bengkak kelenjar nodus limpa

Kesan ini adalah bersifat sementara dan normal sahaja dan biasanya terjadi dalam tempoh sehari hingga seminggu selepas vaksinasi.

Adakah anda masih perlu mematuhi SOP norma baharu selepas menerima vaksin?

Jawapannya, ya. Selepas mendapatkan vaksinasi, badan memerlukan beberapa minggu untuk menghasilkan antibodi spesifik terhadap virus SARS-CoV-2 dan ianya boleh terdedah kepada jangkitan virus tersebut. Oleh yang demikian, perlu meneruskan norma baharu iaitu amalkan 3W dan elakkan 3C.

Siapakah yang boleh mendapatkan vaksin?

Semua individu di Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. 

Harus diingatkan bahawa anda perlu mendaftar untuk mendapatkan vaksin sama ada di aplikasi MySejahtera ataupun klinik kesihatan dan talian hotline Covid-19.

Siapa yang tidak sesuai menerima vaksin Pfizer?

Vaksin mRNA atau Pfizer ini tidak sesuai tidak sesuai diberikan kepada:

  • Individu mempunyai sejarah alahan atau alergi yang serius terhadap makanan, ubat, persekitaran sehingga memerlukan rawatan hospital.
  • Individu yang mengalami alahan atau alergi yang serius selepas menerima dos pertama vaksin Comirnaty.
  • Individu yang menjalani transplan atau pemindahan organ seperti buah pinggang atau sel stem darah dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi.
  • Individu yang sedang menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi, radioterapi, imunoterapi.
  • Individu yang mengidap penyakit HIV dengan sel darah putih CD4 < 200 cells/mL
  • Ibu yang mengandung atau merancang untuk hamil.
  • Individu yang sedang demam disebabkan jangkitan virus/bakteria
  • Individu yang menerima rawatan antibodi monoclonal atau plasma darah sebagai rawatan untuk COVID-19 dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi
  • Individu yang mempunyai sel darah platelet yang rendah (< 50,000 per microlitre)

Berapa dos yang diperlukan untuk vaksin pFizer?

Setiap individu perlu menerima 2 dos vaksin Pfizer dengan tempoh masa sekurang-kurangnya 21 hari di antara dos pertama dan dos kedua

_______________________________________________________________________

Apa yang penting adalah:

  1. Pastikan selepas vaksin anda mendapatkan rehat yang sepatutnya.
  2. Mandi dan bersihkan diri.
  3. Kerap minum air supaya tidak dehidrasi.
  4. Masuk tidur awal supaya badan dapat menghasilkan melatonin secukupnya.
  5. Jika anda berasa lenguh pada tangan yang disuntik, anda disarankan untuk bersenam dan meregangkan otot.

Sumber: myHealth Malaysia, KKM Covid-19, WHO