Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Sewa, Beli Rumah – Tips Elak Dari Ditipu Agen
Kalau anda pernah lihat terdapat beberapa berita yang melibatkan 40 individu ditipu ajen hartanah yang kononnya telah menyediakan dokumen perjanjian untuk pembelian rumah dan kedai serta mengambil duit deposit. Namun, ia berakhir dengan kisah duka.
Jadi, penting untuk anda mengetahui dan memeriksa lima perkara utama sebelum mula menandatangan kontrak serta membayar duit deposit. Berikut adalah lima tips dari Tajria yang boleh anda praktikkan.
5 Tips Yang Perlu Anda Lakukan Apabila Ingin Sewa Atau Beli Rumah
Bagi mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku, maka anda perlu memastikan segala perincian dan maklumat yang anda dengar dari agen rumah adalah tepat dan benar. Bagi anda yang tidak begitu arif dalam hal ini, pastikan anda meminta nasihat dan pendapat ahli keluarga dan rakan yang lebih mengetahui tentang perkara ini.
Cari Hartanah Menerusi Laman Web Yang Sahih Dan Benar
Untuk sesetengah kes yang berlaku biasanya ia bermula daripada carian rumah atau kedai dari laman web yang tidak dikenali ataupun melalui senarai yang dikongsikan melalui sosial media.
Hal ini kerana, penawaran servis sewa dan beli rumah tanpa sumber yang sah ini adalah sangat berisiko. Jadinya, anda lebih disarankan untuk mencari rumah atau kedai melaluilaman seperti iProperty, iBilik, MyBilik PropertyGuru dan banyak lagi.
Bawa Teman Untuk Lihat Dan Periksa Hartanah
Langkah ini bertujuan untuk membantu anda bersama-sama bertemu tuan rumah atau agen yang terlibat semasa melihat harta tanah. Malah, teman anda juga boleh melihat dan memeriksa keadaan bilik, rumah atau kedai sama ada ia berada di dalam keadaaan baik atau sebaliknya.
Sangat penting untuk anda mengetahui keadaan rumah atau hartanah yang ingin disewa atau dibeli kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar. Sekiranya agen anda tidak membenarkan akses untuk melihat dan melakukan pemeriksaan, maka sudah tentu ia kelihatan meragukan.
Mendapatkan Informasi Dari Penyewa Dan Jiran Yang Lain
Jika anda menyewa di kediaman yang sudah berpenghuni atau mempunyai jiran, anda boleh bertanyakan sama ada rumah yang anda bakal duduki tersebut memang benar ingin dijual dan anda juga boleh bertanyakan kesahihan maklumat mengenai tuan rumah dan juga agen yang berkaitan.
Anda juga boleh mengemukakan soalan cara pengendalian tuan rumah untuk isu yang penyelenggaraan yang berlaku dan juga apakah perkara yang sering berlaku di kawasan perumahan tersebut seperti masalah air, bekalan elektrik dan juga masalah samun.
Bandingkan Harga Untuk Rumah Yang Sama
Untuk anda yang menyewa atau ingin membeli rumah jenis pangsapuri atau kondominium, anda mungkin boleh bandingkan harga pasaran semasa untuk tempat tersebut.
Pastikan ia tidak lari jauh dengan harga yang asal. Jika harga pasaran untuk beli sekitar RM500,000 dan harga yang ditawarkan adalah RM150,000, anda perlu bertanyakan kepada pemilih rumah atau agen berkenaan tentang bagaimana harga rumah tersebut ditetapkan.
Tidak Membayar Secara Tunai
Apa yang paling penting adalah tidak membayar deposit secara tunai. Sebaiknya anda lakukan pindahan wang secara digital bagi mendapatkan bukti resit dan juga nombor akaun. Bukan itu sahaja, anda juga perlu menyemak butiran akaun yang anda ingin pindahkan duit sebelum mula melakukan transaksi.
Sekiranya agen menyuruh anda membayar dengan cara tunai, ia seharusnya dielakkan bagi mengelakkan daripada mereka melarikan diri denggan duit yang anda bayar.
________________________________________________________________________
Berikut adalah lima perkara penting yang patut anda lakukan sebelum mula menyewa ataupun membeli rumah. Semoga ia membantu anda dalam membuat keputusan sebelum mula menandatangani kontrak yang berkaitan.