Apa Itu Akupunktur – Mengapa Dikategorikan Sebagai Rawatan Kesihatan?
Asal usul rawatan akupunktur ini sebenarnya merupakan kepercayaan masyarakat Cina berkenaan sesuatu masalah kesihatan yang mana dapat dirawat dengan menekan titik-titik tertentu pada tubuh badan. Dengan memasukkan jarum acupressure ke dalam badan, ia akan melancarkan peredaran darah dan meningkatkan daya rangsangan untuk fungsi dalam tubuh.
Apa Itu Akupunktur?
Mengikut kajian saintifik moden, meletakkan jarum akupunktur pada titik tertentu yang spesifik di bahagian badan akan merangsang pembebasan hormon dan bahan kimia yang lain yang membantu dalam regulasi badan dan menukar rangsangan kesakitan kepada perasaan yang lebih baik.
Ia adalah kaedah invasif minimum yang menggunakan jarum yang sangat nipis sebanyak 5 hingga 20 jarum yang mana penyisipan jarum ini biasanya menyebabkan sedikit ketidakselesaan pada tubuh.
Bagaimana ia boleh mempengaruhi dan menambahbaik sistem saraf tubuh? Jawapannya, apabila jarum dicucuk pada tubuh, ia akan menghasilkan rasa sakit yang mana akan menyebabkan tindak balas badan pada kecederaan.
Mengapa Akupunktur Dikategorikan Sebagai Rawatan Kesihatan?
Ia dikategorikan sebagai rawatan kesihatan kerana ia menawarkan kelegaan dan kelancaran pada sistem tubuh.
Dari segi falsafah Cina, reaksi ini dikatakan akan menyeimbangkan aliran tenaga yang dikenali sebagai chi atau qi. Apabila aliran qi ini tersekat, ini akan menyebabkan masalah atau penyakit kepada badan. Jadinya, akupunktur berfungsi membuka sebarang sekatan terhadap pergerakan qi.
Dengan memasukkan jarum ke titik-titik akupunktur yang betul bersama-sama sela kombinasi tenaga yang sesuai, ia akan menghasilkan kualiti rangsangan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, tidak ada bukti saintifik bahawa meridian atau titik akupunktur wujud. Namun, apa yang dilakukan ahli akupunktur adalah dengan menggunakan saraf, otot, dan tisu penghubung sebagai titik akupunktur ketika melakukan rawatan.
Sementara untuk pengamal perubatan Barat pula mengatakan bahawa rangsangan apabila dicucuk akan meningkatkan penghilang rasa sakit semula jadi badan anda.
Apakah Rawatan Yang Boleh Dirawat Menerusi Akupunktur?
Berikut adalah beberapa rawatan yang sangat popular untuk kaedah ini berdasarkan kajian daripada WHO. Ia termasuk:
- Sakit kepala atau migrain
- Kembung perut dan gastrik
- Sakit belakang
- Sakit lutut
- Keradangan yang berkait dengan tulang (Osteoarthritis)
- Alergi dan muntah-muntah
- Sakit gigi
Untuk kesemua masalah ini, ia mempunyai jarum dan titik akupunktur yang berbeza bergantung kepada kawasan dan juga pencetus kesakitan.
Pernahkah Berlaku Komplikasi Akibat Akupunktur?
Terdapat beberapa kes atau komplikasi dilaporkan berlaku sewaktu semasa dan selepas tempoh perlaksanaan akupunktur.
Jenis akupunktur yang berlainan boleh menyebabkan berlakunya komplikasi yang berbeza. Kesan sampingan yang paling biasa berlaku termasuk pendarahan, sakit, atau lebam di tempat kemasukan jarum.
Sementara risiko akupunktur yang lain termasuk pening, pengsan, pendarahan dalaman, hepatitis B, dermatitis, kerosakan saraf dan juga rasa sakit yang menjadi lebih teruk.
________________________________________________________________________
Kebiasaannya, rawatan akupunktur ini akan dilaksanakan dalam beberapa fasa atau temujanji. Ia mengambil masa sehingga 60 minit untuk satu rawatan. Jumlah rawatan bergantung pada keadaan rawatan dan tahap keparahannya. Secara umum, individu yang menggunakan rawatan ini akan menerima sekitar enam hingga lapan kali akupunktur.