Apa Punca Radang Sendi – Ketahui Tanda Penyakit Ini
Sakit sendi, kekejangan dan bengkak adalah tanda dan gejala utama untuk penyakit psoriatik arthritis yang mana lebih dikenali sebagai radang sendi. Ia berlaku pada bahagian badan seperti di hujung jari dan tulang belakang yang mana anda akan merasa sakit dan tidak selesa apabila bergerak.
Di Malaysia, sekitar 15 peratus individu mengalami masalah keradangan sendi ini yang mana biasanya diakibatkan oleh gaya hidup yang tidak sihat seperti mengamalkan pengambilan rokok serta terdedah kepada asapnya dan juga faktor lain seperti cuaca sejuk dan usia.
Apakah Tanda-Tanda Penyakit Keradangan Sendi?
Kebiasaannya, ia melibatkan sakit-sakit sendi pada kawasan tangan, kaki dan tulang belakang. Anda akan mendapati bahagian sendi ini akan mula membengkak dan kuku jari kelihatan berlekuk dan terpisah dari isi kuku.
Ada juga beberapa kes yang mana, kulit anda akan kelihatan bertompok merah dan juga gatal-gatal pada bahagian yang radang.
Menurut MyHealth Malaysia, pesakit yang menghidapi radang sendi ini pada awal pagi selama sekitar 30 minit. Ia juga akan menjadi lebih tegang dan teruk jika sendi tersebut tidak digerakkan untuk tempoh masa yang panjang.
Rawatan Yang Bersesuaian Untuk Mengatasinya
Sekiranya ia kelihatan teruk, anda perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar reumatologi dan juga dermatologi bagi mengetahui ubat-ubatan dan kaedah yang bersesuaian untuk mengurangkan keradangan tersebut.
Sementara untuk kaedah fizikal pula, anda boleh melakukan aktiviti seperti senaman yang merupakan kaedah yang baik untuk mengatasi sakit sendi dan kekejangan. Anda juga boleh menggunakan alat sokongan pergerakan yang boleh mengurangkan risiko radang menjadi lebih teruk.
Sumber: MyHealth