Cuaca Panas? Ini 5 Langkah Penjagaan Diri Yang Perlu Dipraktikkan
Tidak dinafikan Malaysia mengalami cuaca panas hampir sepanjang tahun. Ia adalah disebabkan Malaysia merupakan kawasan beriklim khatulistiwa yang mana suhunya hampir seragam untuk musim panas dan musim hujan.
Walau bagaimanapun, apabila tubuh badan terdedah kepada cuaca panas, ia akan mendatangkan risiko atau masalah kesihatan seperti strok haba sehingga boleh membawa kepada maut.
Jadi, bagi mengelakkan kemudaratan pada kesihatan, Tajria ingin berkongsi langkah atau amalan penjagaan diri yang perlu anda praktikkan semasa musim panas ini.
5 Langkah Penjagaan Diri Sewaktu Musim Panas
Antara amalan yang perlu dilaksanakan dalam rutin haria anda adalah:
- Pastikan anda tidak memakai pakaian yang terlalu tebal ataupun kain yang bersifat panas ketika berada di luar. Hal ini kerana, ia akan menyebabkan suhu badan yang terlampau tinggi yang mendorong kepada mudah pitam dan berasa pening. Bukan itu sahaja, elakkan memakai pakaian berwarna gelap bagi mengurangkan penyerapan haba.
- Hadkan berada di luar bangunan terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan badan dehidrasi sekaligus menjadikan tubuh anda berasa lemah dan tidak bertenaga. Untuk mengurangkan risiko dehidrasi, pastikan anda minum kuantiti air yang mencukupi.
- Dapatkan kandungan mineral dan garam yang mencukupi. Untuk menggantikan pengambilan garam yang hilang, anda boleh meminum minuman isotonik selain mengamalkan makanan seperti sayuran hijau, kacang, bijirin dan juga snek yang mengandungi elektrolit.
- Kurangkan minuman berkafein atau bergula tinggi. Minuman seperti kopi ataupun teh dikatakan boleh menyebabkan dehidrasi. Namun, jika ia diambil dalam kuantiti yang tidak melampau, maka tidaklah ia menyebabkan badan anda kekurangan air.
- Elakkan bersenam ketika cuaca panas. Sebaliknya jika ingin bersukan, cari kawasan yang sejuk seperti gimnasium supaya mengurangkan risiko lelah dan strok haba.
Selain itu, pastikan juga anda mendapatkan rehat yang. cukup selain memakai payung atau topi yang. lebar bagi melindungi kulit dan badan anda daripada mual-mual dan keletihan.
Jika anda merasakan terdapat perubahan pada tubuh badan anda seperti:
- Panas, kulit kering, tetapi tidak berpeluh
- Kekeliruan atau. kebingungan
- Kerap muntah
- Susah bernafas
Maka, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor agar tidak menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.
Sumber: MyHealth