Apa Itu Carpal Tunnel – Bagaimana Cara Untuk Mengelakkannya?
Untuk kebanyakan individu dan golongan muda masa kini, risiko mengalami sindrom carpal tunnel adalah besar. Masalah ini didorong oleh penggunaan dan juga kedudukan sewaktu menggunakan komputer yang tidak betul.
Untuk pengetahuan anda, sindrom carpal tunnel ini sebenarnya berlaku disebabkan oleh terdapatnya tekanan pada saraf median. Saraf median adalah saraf yang terletak di kawasan pergelangan tangan yang dikelilingi tulang dan juga otot ligamen yang tersepit menyebabkan kesukaran untuk menggerakan tangan.
Untuk mengetahui lanjut mengenai sindrom carpal tunnel, Tajria hari ini akan berkongsi simptom, faktor dan juga cara rawatan yang membantu mengelakkan berlakunya masalah ini.
Simptom Untuk Sindrom Carpal Tunnel
Antara simptom yang bakal dialami oleh sesetengah individu yang mengalami sindrom carpal tunnel adalah:
- Sukar untuk membuat gerakan tangan dan terasa sakit jika memegang sesuatu barang.
- Tangan tidak berdaya untuk mencubit dan menggenggam.
- Kaku dan tidak dapat merasa apa-apa.
Kebiasaannya, simptom ini bermula secara perlahan-lahan yang mana ia akan terasa sakit pada bahagian pergelangan tangan melarat sehingga ke bahagian tangan dan lengan.
Siapakah Yang Berisiko Mengalami Sindrom Carpal Tunnel?
Jika anda lihat pada awal artikel ini, antara aktiviti atau faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ini adalah kedudukan tangan yang salah sewaktu penggunaan komputer.
Namun, terdapat beberapa faktor lain yang boleh anda ketahui seperti:
- Individu yang mempunyai penyakit seperti diabetes dan juga gangguan tiroid
- Kegemukan atau obesiti
- Penyakit arthritis atau keradangan sendi
- Individu yang merokok
- Individu yang kerap melakukan kerja berat menggunakan tangan seperti; memandu untuk tempoh yang lama, menjahit atau melukis, ahli sukan, pemuzik, kerani dan juga penulis.
Bagaimanakah Cara Untuk Merawat?
Perkara utama yang perlu anda beri perhatian adalah dari segi amalan gaya hidup kerana sindrom ini biasanya berlaku disebabkan rutin harian anda yang memaksa saraf anda untuk bekerja kuat.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda cuba untuk mencegah sindrom ini sebelum menjadi lebih teruk:
- Hentikan tabiat merokok. Apabila merokok, ia akan menyebabkan saraf dalam badan anda tidak mendapat keperluan oksigen yang mencukupi. Toksin yang terkandung dalam darah akan menyempitkan ruang antara saraf.
- Turunkan berat badan anda. Obesiti akan melambatkan kelajuan perjalanan saraf ke tangan dan boleh menyumbang kepada kekurangan aktiviti fizikal.
- Elakkan tidur di posisi yang menyebabkan pergelangan tangan membengkok atau melengkung.
- Praktikkan penggunaan pen atau cara memegang stereng yang tidak begitu mencengkam. Jika memegang terlalu kuat, ia akan menekan saraf anda dan menyebabkan rasa sakit yang bertambah.
- Ambil masa untuk meregangkan pergelangan tangan dan rehat untuk beberapa ketika. Anda juga boleh menukar kedudukan dan cara pegangan untuk memastikan pergelangan anda tidak kaku.
- Perhatikan penggunaan monitor komputer, kerusi, papan kekunci, dan tetikus atau peralatan dan alat anda yang lain. Jika anda tangan anda bekerja untuk tempoh yang lama, anda juga boleh mendapatkan pad arthritis atau balutan pergelangan tangan bagi mengurangkan keradangan selain memberikan kehangatan di persekitaran tangan.
Jadi, mengurangkan risiko dan melakukan aktiviti senaman ringan adalah penting. Tidak kira semasa memandu, menulis ataupun apa-apa sahaja aktiviti, anda boleh meregang dan memusingkan pergelangan tangan sebanyak 5 hingga 10 kali bagi memastikan kelancaran aliran darah dan oksigen baik di kawasan tangan.
Sumber: MyHealth – Rawatan Fisioterapi Sindrom Carpal Tunnel