Ikuti 5 Tips Penjagaan Mata Semasa Bekerja Di Pejabat
Mata pula merupakan deria utama yang paling banyak bekerja pada siang hari. Hal ini kerana, sewaktu bekerja anda akan melihat banyak cahaya sehingga boleh mengakibatkan ketegangan mata. Pada masa yang sama, apabila mata tertumpu pada sesuatu objek terlalu lama, ia akan menjadikan mata penat dan letih sehingga memberi kesan pada bahagian kepala sehingga ke pinggang.
Sekerap mana individu mengalami gejala-gejala tersebut bergantung kepada tahap keupayaan penglihatan dan masa yang diluangkan semasa menggunakan komputer.
Jadi, bagi memastikan mata anda sentiasa segar dan sihat sewaktu bekerja, Tajria hari ini ingin berkongsi tips dan amalan yang boleh anda praktikkan dalam memelihara kesihatan mata.
Amalan 20/20/20 Sewaktu Bekerja
Apa itu peraturan 20/20/20? Ia bermaksud setiap 20 minit, perhatikan objek lain pada jarak 20 kaki selama 20 saat.
Bagi anda yang banyak menghabiskan masa di hadapan skrin selama berjam-jam untuk satu hari, penerapan amalan ini berupaya untuk memastikan kesegaran mata. Menurut kajian, manusia biasanya berkelip sekitar 15 kali setiap minit. Semasa melihat skrin, bilangan kelipan ini berkurang menjadi setengah sekaligus menyebabkan mata kering dan letih.
Oleh itu, amalan 20/20/20 dapat membantu anda menghindari ketegangan mata yang terus sehingga boleh menyebabkan kerosakan kekal pada penglihatan anda.
Letakkan Skrin Komputer Bawah Paras Mata
Ketika anda bekerja juga, pastikan anda meletakkan skrin komputer di bawah paras mata. Hal ini kerana jika skrin lebih tinggi, anda akan membuka mata anda dengan lebih luas untuk melihat skrin sekaligus menyebabkan mata lebih cepat kering kerana terkena udara atau angin yang sejuk.
Sebaliknya, jika meletakkan skrin komputer di bawah paras mata, anda tidak akan membuka mata begitu luas. Ini dapat membantu melambatkan penyejatan air mata di antara kelipan mata.
Penggunaan solusi mata seperti penitis mata atau lain-lain juga adalah digalakkan bagi memastikan mata sentiasa segar dan lembap.
Penggunaan Pelindung Mata Seperti Cermin Mata Khusus
Kebiasaannya, untuk kerja-kerja yang dilaksanakan dikawasan. berhabuk atau kotor, para pekerja dinasihatkan untuk menggunakan cermin mata khas bagi melindungi mata. Tidak terkecuali juga untuk pengguna komputer di pejabat, anda disarankan memakai cermin mata khusus bagi penggunaan komputer bergantung kepada keperluan pengguna serta nasihat dan konsultasi.
Pencahayaan Sekeliling Yang Malap
Untuk sesetengah kes, anda cenderung untuk mengalami keletihan mata apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar seperti matahari atau lampu di dalam pejabat. Anda boleh mengurangkan silau daripada sumber cahaya dengan menggunakan. penuras silau pada skrin komputer. Ia akan mengurangkan jumlah cahaya yang terpantul daripada skrin komputer.
Penjagaan Ekstra Jika Anda Memakai Kanta lekap
Sekiranya anda memakai kanta lekap, ambil langkah untuk mencegah jangkitan mata. Basuh tangan anda dengan baik sebelum memasukkan atau mengeluarkan kanta lekap anda. Ikuti juga arahan mengenai cara membersihkannya dengan betul dan gantinya bila diperlukan.
________________________________________________________________________
Pemeriksaan mata yang kerap dan amalan mengendalikan komputer yang betul boleh membantu untuk mencegah atau mengurangkan gejala-gejala yang dikaitkan dengan Computer Vision Syndrome. Kebanyakan gejala visual yang dialami oleh pengguna komputer hanya bersifat sementara dan akan berkurang selepas berhenti menggunakan komputer. Walau bagaimanapun, terdapat individu yang mungkin mengalami masalah penglihatan yang berterusan dan perlu mendapatkan nasihat pakar mata untuk tindakan selanjutnya.