Kenali Fungsi Krim Muka BB, CC Dan DD – Apa Perbezaannya Pada Kulit?
Jika anda mengunjungi drugstore seperti Watson dan Guardian, pernahkah anda mengalami kekeliruan akan penawaran produk seperti krim muka BB, CC dan juga DD? Ketiga-tiga krim ini biasanya digunakan sebagai pelengkap solekan harian yang mana ia mengandungi campuran pelembap dan juga foundation.

Namun, antara ketiga produk berikut yang mana patut anda gunakan dan juga bersesuaian dengan kondisi kulit anda?
Untuk menjawab persoalan tersebut, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda perbezaan untuk krim muka BB, CC dan DD selain mengupas cara penggunaan yang bersesuaian untuk anda.
Apa Itu Krim BB?
BB Cream atau disebut juga krim BB merupakan produk yang menawarkan kebaikan pada kulit seperti SPF selain bertindak sebagai agen antioksida.
Jika dibandingkan dengan foundation atau bedak asas yang lain, ia hadir dengan tekstur yang lebih ringan. Ia juga mempunyai serum selain menawarkan perlindungan sinar matahari yang mencukupi.

Apa yang menarik mengenai krim BB ini juga, ia ditawarkan dalam variasi tona warna sekaligus berpadanan dengan warna kulit anda.
Cara penggunaan
Disebabkan tekturnya yang ringan dan juga melembapkan, ia sesuai untuk anda yang ingin mendapatkan perlindungan kulit yang menyeluruh di samping mengekalkan hidrasi kulit bahkah menampilkan hasil kulit tanpa cela.
Jadinya, untuk anda yang mungkin berada di luar untuk tempoh yang lama, krim BB adalah salah satu produk yang bersesuaian untuk anda gunakan sepanjang hari.
Apa Itu Krim CC?
Berbeza dengan BB, Krim CC ini adalah singkatan bagi perkataan colour correcting yang mana ia berfungsi untuk menyamakan warna kulit. Ia sangat sesuai bagi anda yang mungkin ingin menutup cela seperti kerengsaan merah ataupun bintik-bintik yang tidak sekata pada kulit anda.
Walau bagaimanapun, ia masih lagi menawarkan beberapa fungsi seakan krim BB seperti perlindungan dari sinar UV yang mana menawarkan SPF sehingga 30, selain turut menampilkan agen antioksida dan juga elemen kelembapan.

Cara penggunaan
Bercerita mengenai penggunaan, ia dikatakan tidak begitu sesuai untuk kulit yang kering sebaliknya baiknya untuk kulit yang berminyak. Jadi untuk menggunakannya, anda disarankan untuk menggunakannya selepas memakai pelembap atau dan juga penyegar bagi mendapatkan perlindungan yang menyeluruh.
Bagi anda yang mungkin ingin tampil minimal dalam solekan harian anda, maka penggunaan krim CC adalah yang paling bersesuaian kerana ia diformulasikan dengan bahan-bahan krim pelindung, pelembap, primer dan banyak lagi. Anda hanya perlu tambahkan pemerah pipi dan maskara untuk hasil yang lebih baik.
Apa Itu Krim DD?
Akhir sekali, untuk krim DD pula adalah variasi krim muka yang baharu yang mana menampilkan kombinasi produk kecantikan dalam satu formula. Ia juga dikenali sebagai krim “Dynamic Do-All” ataupun “Daily Defense” yang dilengkapi faedah seperti anti-penuaan untuk membantu menghaluskan kulit, mengurangkan garis-garis halus, kedutan dan bersifat lebih ringan jika dibandingkan dengan krim lain.

Cara penggunaannya
Antara ketiga-tiga produk, krim DD adalah yang paling sesuai dalam melambatkan proses penuaan. Ia menggabungkan kebaikan krim BB dan krim CC yang dikatakan akan menawarkan tona kulit yang lebih seimbang dan melindungi kulit yang sensitif.
Untuk menggunakannya, anda boleh mula dengan bahagian pipi dan kemudian ratakan di sekitar dahi dan dagu. Krim DD ini dilihat boleh bertahan sehingga enam jam. Tidak seperti kebanyakan foundation, ia hadir dengan tekstur yang lebih ringan dan meliputi kulit secara sederhana.
Manakah Yang Patut Anda Cuba?
Kesimpulannya, dapat saya simpulkan yang mana krim BB sesuai untuk jenis kulit kering hingga normal yang mana bertindak dengan baik sebagai pengganti foundation.
Sementara untuk krim CC dan DD pula bersesuaian dengan jenis kulit berminyak yang mana untuk hidrasi yang lebih menyeluruh anda disarankan memakainya selepas mengenakan pelembap.
Sumber: Loreal Paris USA, Marie Claire