Asal Usul Mangkuk Tingkat – Popular Dalam Kalangan Pekerja Sebagai Bekalan Makan Tengahari
Penggunaan mangkuk tingkat dalam penyediaan makanan dilihat semakin kurang dipraktikkan oleh orang ramai. Individu masa kini dilihat lebih gemar untuk memakai bekas pakai buang untuk mengisi makanan selain menggunakan bekas makanan biasa daripada Tupperware, Apple Lady dan banyak lagi.
Kurangnya penggunaan mangkuk tingkat sewaktu menyediakan makanan mungkin disebabkan beberapa faktor seperti:
- Harga mangkuk tingkat yang lebih mahal berbanding bekas plastik biasa
- Saiz bekas yang mungkin tidak sesuai untuk hidangan yang sedikit.
- Sukar untuk mengendalikannya yang mana perlu berhati-hati jika anda menghidangkan makanan berkuah.
Bercerita mengenai mangkuk tingkat, pernahkah anda terfikir daripada mana asalnya mangkuk tingkat yang pernah popular suatu ketika dahulu?
Dan apakah bagaimana mangkuk tingkat tercipta yang dahulunya menjadi trend dalam kalangan ibu dalam menggunakannya sebagai bekas penyediaan makanan harian?
Sejarah Mangkuk Tingkat
Untuk pengetahuan anda, India adalah antara negara yang terkenal dengan penggunaan mangkuk tingkat. Ia dikenali sebagai dabbawalla iaitu sebuah kotak makanan yang diperbuat daripada binaan perak.
Bekas makanan ini digunakan bagi mengisi bekalan makanan para pekerja yang tidak boleh pulang ke rumah untuk makan tengahari. Kebiasaannya, ia diisi dengan makanan ringan dan juga makanan ruji pada setiap bekas.
Dabba ataupun mangkuk tingkat ini diperkenalkan oleh Mahadeo Havaji Bachche pada tahun 1890. Beliau merupakan pengasas untuk perkhidmatan penghantaran makanan yang menyediakan makanan tengahari untuk diagihkan di bandar Mumbai.
Namun, ada juga yang mengatakan yang mana bekas makanan ini diperkenalkan oleh orang British yang bernama RJ Reynolds di Wisconsin pada tahun sekitar abad ke-18.
Konsep mangkuk tingkat ini juga turut dijumpai di sekitar negara di Asia Tenggara termasuk Jepun pada tahun 1855. Ia digunakan untuk menyediakan ekiben.
Sementara, masyarakat Baba Nyonya turut menggunakan bekas makanan ini untuk menyimpan makanan. Ia boleh didapati dalam bentuk bulat, berwarna merah dan hitam dengan hiasan keemasan pada rekaan bekas.
Cara Untuk Menggunakan Mangkuk Tingkat
Kelebihan utama mangkuk tingkat ini adalah bagi memastikan makanan boleh diletakkan secara berasingan selain mengelakkan makan tengah hari anda menjadi lembab atau bercampur dengan makanan yang lain. Terdapat variasi tingkat yang ditawarkan sama ada 2, 3 atau 4 lapisan dan biasanya dibuat dengan keluli tahan karat.
Menurut kegunaan masyarakat zaman dahulu, lapisan bawah mangkuk tingkat biasanya diletakkan makanan yang mengandungi karbohidrat seperti roti, mi dan nasi. Sementara lapisan berikutnya akan mengandungi sayuran atau acar dan bahagian atas pula akan diletakkan makanan yang berkuah seperti kuah kari dan lain-lain.
Bagaimana Malaysia Hadir Dengan Budaya Mangkuk Tingkat?
Perkembangan budaya mangkuk tingkat di Eropah nampaknya berjaya diperluaskan ke Malaysia pada sekitar tahun 1900-an. Ia mula dijadikan sebagai bekas isi makanan sewaktu para ibu mengunjungi saudara mara atau kenalan dengan mengisi kuih dan makanan untuk dimakan beramai-ramai.
Secara umumnya, mangkuk tingkat ini digunakan untuk menyediakan bekalan kepada para pengembara yang berjalan jauh. Sebab pada waktu dahulu, tidak banyak kedai makan atau tempat berhenti yang menawarkan sajian makanan. Jadinya, dengan adanya bekalan dari rumah, sudah tentu ia akan memudahkan pengembara untuk mendapatkan makanan yang secukupnya.
Sumber: Swarajyamag, Tiffin