Sejarah Highlighter – Stabilo Hasilkan 60 Juta Unit Setiap Tahun, 2 Unit Dijual Setiap Saat

Highlighter adalah salah satu alat tulis yang menjadi pilihan oleh kebanyakan pelajar bagi membantu menekankan isi penting sewaktu membuat ulangkaji ataupun membaca nota penting. 

Dengan adanya highlighter juga, ia memudahkan para pelajar untuk mengenalpasti bahagian-bahagian penting dalam nota untuk dijadikan sebagai rujukan pada masa akan datang. Selain popular dalam kalangan pelajar, highlighter ini juga digunakan secara meluas dalam bidang pengurusan di pejabat. 

Asal Usul Highlighter – Dahulunya Ditawarkan Menggunakan Warna Kuning

Untuk pengetahuan anda, highlighter yang pertama dicipta oleh Dr. Francis Honn pada tahun 1962. Sebelum mula menawarkan highlighter, Dr. Honn menubuhkan sebuah syarikat yang menjual produk berkaitan dakwat iaitu Carter’s Ink Company pada tahun 1858. Kemudian, barulah beliau memperkenalkan pen penanda yang berwarna kuning yang dipanggil Hi-Liter.

Walaupun Dr. Honn dikreditkan dengan mencipta highlighter pertama, namun terdapat produk pen yang seakan sama telahpun dicipta oleh individu pada sekitar tahun 1900-an tetapi tidak dijual kepada orang ramai. Salah satu yang ditawarkan adalah pada tahun 1926 oleh Benjamin Paskach yang memperkenalkan pemegang dengan span yang ada warna air didalamnya.

Selepas Dr. Honn memperkenalkan highlighter, banyak syarikat telah mula muncul dengan produk highlighter tersendiri termasuk Yukio Horie dari Tokyo Stationery Company pada tahun 1962 dan juga Sharpie pada tahun 1964.

Tokyo Stationery Company hadir dengan pen highlighter yang menggunakan pena tip pertama dan juga dakwat berasaskan air yang mana pen tersebut dilihat tidak tembus cahaya. 

Bergerak ke tahun 1980, para pengilang mula menukar dan berinovasi dengan mata pen untuk highlighter. Mereka dilihat menggunakan pen yang hujungnya berbentuk kepala berliang. Menerusinya, dakwat dapat mengalir dengan lebih lancar selain lebih mudah untuk disorot.

Pinterest

Bukan itu sahaja, highlighter juga telah hadir dalam pelbagai bentuk dan warna seperti oren, merah, ungu, biru, dan hijau. Kuning adalah antara warna yang paling popular kerana warna paling menyerlah jika digunakan pada teks gelap.

Untuk pengetahuan anda, Carter’s Ink kemudiannya pada tahun 1975, Avery Dennison Corporation telah membeli Carter’s Ink yang telah hadir dengan revolusi warna highlighter pendarfluor. Ketika mereka melancarkannya, penggunaan dakwat pada kertas adalah lancar dan tidak berbekas pada kertas. Avery Dennison Corporation yang terkenal dengan label pelekat sendiri turut menambahkan barisan produk pejabat yang lain kepada umum.

Stabilo Menjadi Pemula Untuk Highlighter Moden

Highlighter moden mula diperkenalkan menjelang lewat tahun 1970-an. Pada tahun itulah pengeluar pen dan pensil Jerman Schwan Stabilo telah melancarkan pen highlighter dibawah koleksi Stabilo Boss. Ia menggunakan reka bentuk ikonik iaitu pemegang yang besar dengan mata pen rata. 

Membezakannya dari pen lain, highlighter ini hadir dengan ciri genggaman yang selesa dan ergonomik. Untuk koleksi Stabilo Boss, syarikat Stabilo mengeluarkan sekitar 60 juta unit setiap tahun dan dua dijual setiap saat.

Populariti Highlighter Bukan Sekadar Di Buku, Turut Digunakan Menerusi Artikel Digital

Jika anda perasan, penggunaan highlighter ini bukan sekadar menerusi sorotan pada teks fizikal, malah ia turut boleh diguna-pakai pada artikel digital menerusi komputer. Dengan kemudahan ini, penandaan teks dilihat menjadi lebih mudah dan tidak terhad pada penggunaan biasa sahaja.

Sumber: Stabilo, Quill