Carian
Ikigai: Formula Orang Jepun Untuk Mencari Tujuan Hidup
March 18, 2021 Zafirah Zapri

Ikigai: Formula Orang Jepun Untuk Mencari Tujuan Hidup

Apakah yang anda mahukan dalam hidup ini? 

Apakah perkara yang dapat membuatkan anda bingkas bangun dari tempat tidur dan bersemangat memulakan hari? 

Adakah mustahil untuk menjana wang dengan buat perkara yang kita suka dalam hidup ini?

Sekiranya persoalan-persoalan di atas mengetuk fikiran anda, terdapat sebuah konsep pemikiran berasal dari tanah Sakura, Jepun yang mungkin dapat membantu anda untuk menjawabnya. 

Konsep tersebut dipanggil Ikigai, iaitu tujuan hidup yang kita cuba capai selama ini.

Bagi yang beragama Islam, tujuan hidup kita adalah beribadah kepada Allah. Mulakan pagi dengan bangun menunaikan solat subuh pun sudah menjadi Ikigai buat kita. 

Di samping itu, apakah tujuan lagi yang boleh kita kecapi sementara masih hinggap di muka bumi ini?

Mencapai Ikigai

Dalam sebuah dokumentari yang memaparkan kehidupan penduduk Okinawa di Jepun, saya lihat wanita-wanitanya sangat cergas walaupun usia hampir mencecah satu abad!

Mereka selamba sahaja memasak, bersenam dan berkebun tanpa mengaduh sakit lutut, tulang dan sebagainya. Senyuman turut tak lekang di bibir mereka dalam meniti kehidupan yang serba sederhana. 

Kebanyakan penduduk di sana panjang umur. Mungkin faktor cuaca, persekitaran, diet sihat dan kadar stress rendah yang turut menyumbang. Selain itu, Okinawa juga menjadi rumah kepada ideologi Ikigai. 

Melihatkan kebanyakan masyarakat hari ini yang sering mengukur kejayaan seseorang dengan kebendaan atau materialistik (malah sampai ke tahap obsesi), saya turut menyangka duit mesti duduk tempat teratas dan tak terlepas daripada cuba berlari di atas roda hamster seperti orang lain. 

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Sabri Ismail/Pixabay

Ternyata saya silap. Apa yang saya belajar daripada kesilapan itu, kita sebenarnya bukan mengejar wang tetapi perasaan apabila memilikinya untuk beli apa sahaja yang dimahukan. 

Duit itu memang penting, tapi sekadar sebagai alat untuk kegunaan hidup, bukannya tujuan hidup yang utama. 

Apabila terlalu mengejar kebendaan sehingga lupa untuk pandang sejenak makna kehidupan ini, itu yang menyakitkan jiwa. 

Dan sudah ramai orang contohnya Elon Musk, Warren Buffet, Steve Jobs dan Bill Gates yang membuktikan bahawa kesenangan dan kejayaan hidup haruslah bermula dengan niat, mindset dan kekayaan jiwa dahulu. 

Mindset dan cara kita memandang nilai kertas itu mungkin berubah apabila kita jumpa tujuan hidup yang lebih bermakna dan mahal. 

Apakah Ikigai Anda?

Falsafah Ikigai juga boleh diterapkan dalam karier, namun ia bukanlah tentang buat duit semata. Ia boleh jadi hobi, peruntukan masa bersama keluarga dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat. 

Untuk menemui Ikigai, salah satu caranya adalah renung sekejap, tepuk dada tanya diri apakah perkara yang anda passionate sangat nak buat? Kemudian cari medium yang sesuai mengekspresikan minat yang mendalam itu. 

Kalau saya, saya suka menulis. Lalu saya salurkan minat tersebut ke dalam blog peribadi, menyumbang penulisan ke laman-laman web sebelum terjumpa platform Tajria yang menarik perhatian saya ini. 

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Engin Akyurt/Pixabay

Sebut tentang passion, apa yang saya pelajari daripada buku So Good They Can’t Ignore You tulisan Cal Newport, passion ini bukanlah mengharapkan dunia memberi kepada kita, tetapi apa yang kita boleh sumbangkan kepada dunia menerusi skil yang kita asah sehingga tajam. 

Apabila kita boleh menyelesaikan masalah dan memberi nilai kepada masyarakat, di situlah timbulnya ruang perniagaan atau menjana kewangan.

Ikigai bukan sahaja tentang pencarian kepada tujuan, keseronokan dan kepuasan, tetapi juga keseimbangan dalam rutin hidup. Kerjaya, kehidupan sosial, minat yang mendalam sebenarnya tak terpisah dan saling berhubung. 

Apa pun, dalam keghairahan kita mengejar passion, harus diingatkan bahawa kehidupan kita mestilah seimbang dan bersederhana. 

Sekiranya anda berminat untuk tahu lebih menyeluruh tentang Ikigai ini, boleh baca buku bertajuk Ikigai: The Japanese Secret to a Long and Happy Life tulisan Héctor García and Francesc Miralles yang saya pun sedang intai-intai untuk membelinya ini. 

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Content Pixie/Unsplash

 

Komen