Petua Bercucuk Tanam – Bagaimana Untuk Merangsang Percambahan Benih?
Tidak semua aktiviti bercucuk tanam berakhir dengan hasil yang baik. Hal ini kerana, antara peringkat yang paling kritikal dan paling sukar dalam bercucuk tanam adalah proses percambahan biji benih.
Percambahan adalah proses di mana benih tumbuh menjadi tanaman baru atau anak pokok. Terdapat banyak pemboleh ubah yang boleh berlaku semasa percambahan biji benih yang menentukan sama ada tanaman anda berada di landasan yang betul atau sebaliknya.
Antara faktor yang mungkin merangsang pertumbuhan dan percambahan benih termasuk:
- Keadaan tanah yang merangkumi kelembapan dan juga jenisnya
- Pendedahan kepada cahaya
- Masalah serangga perosak
Jadinya, bagi membantu anda mendapatkan hasil tumbuhan yang sihat dan segar, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda beberapa petua yang boleh anda ikuti dan praktik bagi mendapatkan percambahan yang lebih baik dan cepat untuk semua jenis biji.
Rendam Benih Anda Sebelum Menanam
Merendam benih adalah salah satu petua yang boleh merangsang pertumbuhan biji benih.
Mengapa anda perlu merendam biji benih? Apa yang berlaku pada biji semasa anda merendamnya? Jawapannya adalah kerana benih mungkin tidak berada di dalam keadaan yang baik yang mungkin tidak dapat menyerap air dengan baik jika terus dimasuk di dalam tanah. Ia juga berfungsi dalam membantu bij benih untuk menghadapi panas dan dingin selain basah atau kering sewaktu proses percambahan.
Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa kaedah untuk merendam biji seperti merendamnya di dalam air, ataupun memasukkannya ke dalam larutan yang sedikit berasid seperti teh atau kopi. Tempoh rendaman adalah sekitar 12 hingga 24 jam sebelum mula bercucuk tanam.
Tanam Di Dalam Bangunan Sebelum Diletakkan Di Luar
Semasa dalam proses percambahan benih, adalah penting untuk anda mengawal suhu dan juga melindunginya daripada rosak. Hal ini kerana, sinaran matahari yang terik ataupun siraman air yang berlebihan boleh menyekat pertumbuhan biji benih.
Oleh itu, anda disarankan untuk meletakkannya di dalam bangunan untuk sementara waktu. Apabila ia telah mula matang, barulah anda boleh memindahkannya ke luar untuk terus berkembang.
Menetapkan Suhu Yang Bersesuaian
Ia berkait rapat dengan penanaman di dalam rumah juga. Seperti yang anda sedia maklum, suhu yang terlampau tinggi boleh menjejaskan percambahan biji benih anda. Suhu terik yang konsisten juga akan menyebabkan kekeringan dan tumbuhan menjadi layu kerana biji benih tidak dapat kelembapan yang sepatutnya.
Pada masa awal proses penanaman, biji benih anda mungkin tidak memerlukan cahaya langsung (direct sunlight), namun ia tidak bermakna mereka tidak memerlukan cahaya matahari. Jadinya, apa yang perlu anda buat adalah anda boleh menyediakan ruang atau rumah hijau, memasang lampu UV dan juga mengawal suhu tanah dengan baik.
Malah, anda juga menyiram tanaman mengikut keperluan supaya anda tidak menambah air secara berlebihan sehingga menyebabkan benih tidak dapat bercambah.

________________________________________________________________________
Untuk maklumat tambahan, anda juga perlu memeriksa keadaan tanah anda sama ada terdapat anasir luar seperti serangga perosak ataupun bahan kimia yang boleh merosakkan benih anda.
Tanda-tanda tanah yang sihat kebiasaannya merangkumi banyak aktiviti haiwan dan tumbuhan bawah tanah seperti cacing tanah dan kulat. Tanah yang kaya dengan bahan organik cenderung lebih gelap seperti warna tanah pada akar tumbuhan yang anda biasa lihat. Malah, anda juga dapat melihat keadaan tanah yang baik juga biasanya hadir dengan sistem akar yang sihat dan menyebar.