Carian
Siapakah Yang Pertama Mencipta Bateri?
March 26, 2021 Lina Rosli

Untuk kebanyakan produk pada masa kini, ia memerlukan kuasa untuk dihidupkan sama ada menggunakan solar, air, elektrik dan juga bateri.

Bercakap mengenai bateri, ia pada dasarnya adalah item atau alat yang menyimpan tenaga kimia yang diubah menjadi elektrik. Untuk pengetahuan anda, bateri ini hadir dengan aliran elektron bertenaga yang bertindak balas dengan realtor kimia untuk mengalir melalui alat luaran.

Dari Manakah Bateri Berasal?

Berdasarkan beberapa artikel sejarah bateri, ia dikatakan dicipta oleh ahli fizik Itali yang bernama Alessandro Volta pada tahun 1800. Volta menyusun cakera tembaga dan zink yang dipisahkan oleh kain yang direndam dalam air masin. Kaedah ini turut dikenali sebagai Voltaic Pile.

Walaupun Volta adalah yang pertama mencipta bateri, namun hasilnya bukanlah seperti yang kita lihat sekarang yang mana ia tidak sesuai digunakan untuk kegunaan biasa.

Sebelum Volta memperkenalkan bateri ciptaan beliau, ada satu kajian yang mengatakan pada tahun sekitar 250 SM di Mesopotamia telah hadir satu bateri bersaiz gergasi. Ia menampilkan sebuah balang berisi kepingan tembaga digulung dengan batang besi bagi membentuk sel galvanik sekaligus boleh menghasilkan elektrik. Penampilan bateri itu menjadikan ia sebagai bentuk bateri paling awal yang mungkin telah digunakan oleh Dinasti Parthian.

Selepas itu, pada tahun 1749, saintis yang bernama Benjamin Franklin pertama kali menggunakan istilah “bateri” ketika dia melakukan eksperimen dengan elektrik menggunakan satu set kapasitor yang dipautkan.

Menjelang tahun sekitar 1830-an, John Frederic Daniell memperkenalkan bateri yang mampu menghasilkan arus elektrik yang lebih stabil dan lebih selamat. Namun, kekurangan pada model ini adalah ia menggunakan cecair yang mana dilihat lebih mudah tertumpah.

Bateri moden nampaknya mula menapak pada tahun 1896 di sebuah kilang di Columbia. Ia dicipta oleh Syarikat Karbon Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Eveready Battery Company. Mereka mengeluarkan bateri Energizer yang mana menggunakan sel bateri kering. Dengan ini, ia tidak akan mengalami masalah cecair berbahaya tertumpah seperti sebelum ini. Bateri kering ini adalah seperti yang kita lihat digunakan pada lampu picit, mentol dan bermacam lagi. 

Bateri bersaiz kecil mula diperkenalkan pada tahun sekitar 1955 yang mana digunakan untuk alat pendengaran.

Bateri Boleh Dicas Semula Vs Bateri Biasa

Selain saiz bateri yang ditambah baik, anda juga pasti melihat bagaimana kebanyakan pengeluar kini menawarkan pilihan bateri yang lebih pelbagai dari segi tempoh penggunaan.

Untuk penggunaan peranti bagi tempoh yang panjang, kebanyakan pengeluar menggalakkan penggunaan bateri jenis nickel cadmium yang mana ia menggunakan sistem bateri yang boleh dicas semula.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak perancangan bahawa teknologi bateri akan melonjak lagi dengan model baru yang dikembangkan dengan kapasiti yang cukup untuk menyimpan tenaga yang dihasilkan menggunakan sistem solar atau angin domestik.

Bercerita mengenai jenis bateri lagi, antara bateri yang paling popular adalah bateri primer iaitu bateri zink-karbon yang boleh dibeli dari pasaraya. Namun untuk bateri ini, tidak boleh digunakan semula dan mampu bertahan untu masa yang pendek sahaja.

Salah satu bateri boleh dicas semula paling awal diperkenalkan adalah bateri nikel-kadmium (NiCd). Kemudian, ditambah baik dengan bateri hidrogen logam nikel (NiMH) yang mempunyai jangka hayat yang lebih lama.

Bateri jenis ini sangat sensitif terhadap pengecasan berlebihan dan boleh menjadi terlalu panas semasa pengecasan. Oleh itu kadar cas perlu dikawal di bawah kadar maksimum.

Sumber: Panasonic, Eveready, Ups Battery

Komen