Carian
Pentingkah Persekitaran Ergonomik Bagi Meningkatkan Produktiviti?
March 29, 2021 Lina Rosli

Tidak dinafikan, masa kita lebih banyak dihabiskan di hadapan komputer dan juga duduk di atas kerusi pejabat. Jadinya, ia amat penting untuk anda menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk anda melakukan aktiviti sepanjang waktu bekerja.

Bercakap mengenai waktu keselesaan dan keselamatan juga, salah satu langkah yang boleh diambil adalah dengan menyediakan persekitaran ergonomik.


Apa itu ergonomik? Pada dasarnya, ia merujuk kepada peraturan bekerja yang bertujuan untuk memastikan sesuatu peralatan, kemudahan, proses dan sistem yang digunakan oleh pekerja atau individu di dalam pejabat ketika melaksanakan dan melakukan sesuatu aktiviti. 

Kebanyakan individu mengaitkan ergonomik dengan persekitaran yang kondusif yang boleh mengurangkan risiko dan juga masalah kesihatan. Untuk pengetahuan anda, antara masalah kesihatan yang berlaku disebabkan kurangnya penerapan ergonomik termasuklah sindrom carpel tunnel, sakit belakang, tendonitis dan selsema yang kronik.

Asal Usul Ergonomik – Siapa Yang Mula Memperkenalkannya?

Terma ergonomik ini mula menjadi bualan ramai pada tahun 1857. Ia disebut di dalam sebuah buku dalam bahasa Poland yang ditulis oleh Wojciech Jastrzębowski.

Mengapa terma ini diperkenalkan? Ia berkait rapat dengan hubungan antara keadaan kerja dan perspektif kesihatan ketika bekerja. Pada waktu itu sebenarnya berlakunya revolusi perindustrian yang mana banyak masalah kesihatan berlaku dalam kalangan pekerja perlombongan logam. Akibatnya, ramai individu mula menuntut hak dan juga penjelasan mengenai hubungan antara buruh dan kesihatan sehingga wujudnya terma ini.

Sejak itu, perkembangan langkah pencegahan berdasarkan perspektif ergonomik mula ditekankan seperti kaedah bagi mengukur kadar letih sewaktu melaksanakan pekerjaan dan juga memfasilitasi persekitaran kerja yang selesa, efektif, selamat, dan produktif kepada pekerja.


Pentingkah Persekitaran Ergonomik Bagi Meningkatkan Produktiviti?

Pada awalnya, masalah ergonomik ini popular dalam kalangan pekerja industri kasar yang mana pekerjaan terdedah kepada pelbagai faktor risiko kesihatan di tempat kerja seperti mengangkat, menolak dan menarik barang berat serta tugasan lain yang menyebabkan postur badan menjadi bengkok dan berasa sakit.

Namun, sejak kebelakangan ini isu ini mula berlaku dalam kalangan pekerja yang duduk di hadapan komputer untuk tempoh yang lama. Hal ini kerana, postur yang ditampilkan telah mempengaruhi sistem saraf dan otot sehingga menyebabkan Gangguan Muskuloskeletal (MSD).

Untuk pengetahuan anda, gangguan ini tidak datang secara tiba-tiba. Ia. sebenarnya adalah kesan jangka masa panjang yang berterusan berlaku sehingga otot dan saraf menjadi rosak dan tidak beroperasi dengan baik.

Jadinya, bagi menjawab kepada persoalan pentingkah persekitaran ergonomik bagi meningkatkan produktiviti? Jawapannya adalah ya. Hal ini kerana, faktor persekitaran amat penting dalam mendapatkan hasil yang baik. Faktor persekitaran tempat kerja fizikal termasuk tahap keselesaan, pengudaraan, pencahayaan, bunyi bising, perabot dan susun atur ruang di tempat kerja. Sebagai contoh, apabila sistem aliran udara yang lemah akan memberi impak negatif terhadap psikologi dan fisiologi pekerja.

Sumber: Ergo PlusErgonomics Jp

Komen