Lina Rosli Diterbitkan 29 March 2021

Benarkah Samsung Galaxy A52 Adalah Pelengkap OOTD Anda?

Dengan membawakan penampilan rekaan dan kemasan yang penuh gaya, Samsung Galaxy A52 telahpun mendapat tempat di hati kebanyakan individu yang menitik beratkan elemen ‘trendy’ dan minimal dalam rutin harian mereka.

Bagi Tajria sendiri, apa yang kami inginkan dan jangkakan di dalam Samsung Galaxy A52 adalah warna yang moden, saiz yang mesra poket dan juga prestasi kamera yang mampu menawarkan gambar OOTD yang berkualiti.


Jadi, mampukah Samsung Galaxy A52 memenuhi keperluan Tajria ini? 

Seperti kebanyakan peranti lain, pembelian untuk Samsung Galaxy A52 hadir dengan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A52, satu wayar pengecas dan juga kepala pengecas yang disediakan bersama di dalam kotakAnda juga akan melihat manual dan dokumen berkaitan peranti.

Persepsi Awal Untuk Rekaan Peranti

Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy A52, ia seakan memberikan pengalaman yang baru terutamanya apabila menyentuh panel belakang. Mengapa sedemikian? Ia mungkin kerana penawaran kemasan matte yang ditampilkan pada permukaan panel tersebut yang jarang kita jumpa pada peranti lain.


Untuk warna yang kami peroleh, ia membawakan kod warna Awesome Violet iaitu warna ungu pastel sesuai dengan penampilan OOTD moden. Mengulas lebih mengenai warna ini juga, nampaknya Samsung tampil dengan pilihan warna-warna yang terkini termasuklah warna biru (Awesome Blue) dan juga hitam (Awesome Black). 


Mengikut pengamatan kami, warna yang ditawarkan kelihatan berbeza dengan tona biasa yang sering menjadi pilihan kebanyakan jenama lain. Kemasannya juga tidak berlebihan dan menampilkan ciri moden dan elegan bersamanya.

Saiz Yang Selesa Untuk Penggunaan Yang Lama

Dari segi saiz pula, Samsung Galaxy A52 tidak begitu besar dan masih lagi mudah untuk diletakkan di dalam beg tangan ataupun poket seluar. Namun, bagi anda yang mungkin mempunyai tangan yang kecil, peranti ini mungkin sedikit besar. Namun, tidaklah sehingga sukar untuk menggunakannya.

Sementara, bagi anda yang gemar memegang peranti ketika berjalan, anda mungkin perlu mencengkamnya sedikit lebih kuat bagi memastikan ia tidak tergelincir daripada tangan anda.


Bahkah, anda seakan tidak perasan apabila memegangnya bersama dompet. Mungkin disebabkan binaannya diperbuat daripada plastik, peranti ini tidak berat dan selesa dipegang di tangan sekaligus menjadikan ia sangat sesuai untuk kegunaan harian.

Pengganti Untuk Kamera DSLR

Tidak lengkap peranti tanpa penawaran kamera. Samsung Galaxy A52 hadir dengan sistem kuad-kamera dengan lensa utama 64-megapixel dengan OIS (Optical Image Stabilization). Ia juga turut disokong oleh lensa sudut lebar 8-megapixel, lensa makro 5-megapixel dan juga sensor kedalaman untuk potret. 



Dalam sistem kamera Samsung Galaxy A52 ini juga, ia turut menyertakan penuras Snapchat. Berdasarkan penggunaan pertama untuk fungsi ini, ia boleh dikatakan agak menarik kerana kesan penuras yang ditampilkan keluar dengan pantas walaupun tidak disambungkan pada internet. Untuk menggunakan penuras lain, anda juga boleh melakukan carian lain yang menepati keperluan anda.


Untuk rakaman swafoto pula, ia hadir dengan lensa kamera 32-megapixel yang mana menampilkan hasil gambar yang baik dan berpatutan untuk rakaman harian. Dari segi paparan warna gambar, ia kelihatan sedikit kemerahan pada bahagian muka. Secara keseluruhan ia masih lagi berfungsi dengan baik di persekitaran dalam bangunan dan juga di dalam kawasan yang kurang cahaya.

Bercerita mengenai tetapan kamera juga, ia menampilkan sokongan rakaman video 4K 30fps yang kini menjadi pilihan kebanyakan individu masa kini. Ia akan menawarkan rakaman video yang lebih berkualiti selain memberikan warna yang lebih jitu sesuai untuk anda yang gemar merakam video pemandangan biasa.



Menyokong Fon Telinga Berwayar

Berita baik untuk anda yang masih menggunakan fon telinga berwayar, Samsung Galaxy A52 masih lagi menawarkan bicu audio 3.5 mm. Ia boleh dikatakan pilihan penawaran yang cukup baik, lebih-lebih lagi untuk anda yang tidak ingin berbelanja lebih dalam mendapatkan fon telinga nirwayar yang mana harganya masih lagi tinggi di pasaran.


Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pembesar suara stereo yang juga menyokong sistem audio Dolby Atmos untuk pengalaman sistem bunyi yang ditingkatkan dan lebih imersif. Pada waktu awal percubaan audio, Tajria mendapati bahawa bunyi suara yang dilontarkan agak lantang yang mana walaupun lagu dimainkan di ruang yang terbuka, tembakannya masih lagi menyeluruh dan menawarkan pengalaman audio yang memuaskan.

Pengalaman Nyah-Kunci Peranti

Pengalaman Tajria membuka skrin di kawasan yang terang, ia boleh dikatakan agak baik. Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy A52 hadir dengan panel skrin bersaiz 6.5-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD+ serta kadar segar semula sehingga 90Hz. Hasilnya, ia akan memberikan paparannya lebih tajam dengan visual yang kelihatan lancar.


Dari segi penawaran sistem nyah-kunci peranti, ia boleh dilakukan menerusi imbasan wajah dan juga imbasan cap jari. Namun untuk penggunaan sistem cap jari, ia dilihat agak perlahan yang mana ia mengambil masa sekitar 3 hingga 4 saat untuk menyah-kunci.


Untuk antaramuka pula, ia menampilkan versi One UI 3.1 berasaskan sistem operasi Android 11. Dan untuk kemaskini perisian, Samsung telah mengesahkan peranti ini akan menerima kemaskini tiga versi sistem operasi dan kemaskini keselamatan selama empat tahun.

Akhir sekali, untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy A52, ia dilengkapi bateri berkapasiti 4,500 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W. Sewaktu Tajria membuka kotak juga, nampaknya Samsung masih lagi menyertakan kepala pengecas 15W bersama wayar pengecas Type-C.


________________________________________________________________________

Untuk spesifikasi yang lebih jelas, Tajria menampilkan beberapa maklumat penting mengenai Samsung Galaxy A52 di dalam rajah di bawah.

  • Nama Model – Samsung Galaxy A52
  • Paparan – 6.5-inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 90 Hz
  • Cip Pemproses – Cip lapan teras, Snapdragon 720G
  • Kalis Air – IP67
  • RAM – 8GB , Storan – 256GB
  • Kamera Utama – 64MP (f/1.8) – (Utama) 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) 5MP (f/2.4) – (Kedalaman)5MP (f/2.4) – (Makro)
  • Kamera Swafoto – 32MP (f/2.0)
  • Bateri – 4,500mAh + Pengecasan Pantas 25W
  • Harga Jualan – RM 1499

Pada pendapat Tajria sendiri, Samsung Galaxy A52 sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda? Nantikan ulasan Samsung Galaxy A52 dalam artikel seterusnya.