Apa Yang Perlu Diketahui Mengenai Gigi Bongsu – Mengapa Anda Tidak Memerlukannya?
Memasuki alam keremajaan, pastinya banyak perubahan yang akan hadir pada tubuh termasuklah pertumbuhan gigi bongsu pada bahagian atas dan bawah mulut.
Untuk kebanyakan kes gigi bongsu ini, ia kerap tumbuh dan menghimpit gigi yang lain disebabkan kekangan ruang di dalam rahang mulut. Jadinya, ia tidak dapat tumbuh dengan baik sehingga mengakibatkan ia tumbuh pada keadaan bengkok, sisi, atau tidak sejajar. Hasilnya, ia akan menekan gigi lain sekaligus menyebabkan ketidakselesaan ataupun komplikasi yang lain.
Apakah Fungsi Gigi Bongsu?
Gigi bongsu ini turut dikenali sebagai gigi geraham ketiga yang mana akan tumbuh di setiap mulut individu. Jadi, jika ia salah satu gigi geraham, makanya ia berfungsi untuk mencerna dan menghancurkan makanan dengan lebih mudah di dalam mulut. Namun disebabkan perubahan dan juga kesan daripada tabiat pemakanan yang tidak betul, gigi ini sering menjadi musuh kebanyakan individu.
Walau bagaimanapun, anda sebenarnya tidak memerlukan gigi bongsu ini kerana disebabkan kedudukannya di belakang, ia akan menyukarkan anda untuk membersihkannya. Malah, jika ia dibiarkan lebih lama dan tidak dibersihkan dengan betul, ia akan mencetuskan pertumbuhan bakteria sehingga menyebabkan gigi rosak dan radang di sekeliling gusi.
Komplikasi Yang Sering Dialami Kesan Daripada Pertumbuhan Gigi Bongsu
Untuk pengetahuan anda, pada dasarnya setiap individu mempunyai sekitar 28 batang gigi. Namun, apabila tumbuhnya gigi bongsu, ia menyebabkan hampir 32 batang gigi perlu bersaing untuk ruang.
Berikut adalah beberapa komplikasi sama ada sebelum, semasa dan selepas gigi bongsu tumbuh:
- Sakit pada bahagian belakang mulut. Anda akan merasakan rasa sakit yang konsisten dan secara beransur-ansur akan bertambah seiring dengan berjalannya waktu ketika gigi bongsu mula keluar.
- Gigi akan mula membengkak sehingga mengakibatkan jangkitan. Setelah anda mengalami rasa sakit yang berpanjangan, anda akan melihat gusi menjadi kemerahan dan membengkak. Akibatnya ia akan membuka ruang untuk bakteria masuk melalui tisu terbuka sekaligus mempengaruhi kesihatan keseluruhan mulut juga.
- Sukar untuk mengunyah dan nafas akan berbau. Kesan daripada jangkitan yang dialami, anda akan mula berasa tidak selesa dan sukar untuk mengunyah. Malah, ia turut akan menyebabkan nafas anda mula berbau. Sekiranya tidak dirawat, gigi bongsu ini akan menyebabkan kerosakkan pada gigi, kesukaran untuk membuka mulut, kista atau lebih teruk lagi boleh menjurus kepada tumor.
Apakah Tanda Atau Simptom Fasa Gigi Bongsu Mula Berlaku?
Secara amnya, anda akan mengalami beberapa simptom awal yang merangkumi:
- Kebengkakan gusi di sekeliling gigi bongsu
- Kebengkakan muka
- Kesukaran untuk menelan
- Kesukaran membuka mulut
- Demam
Walau bagaimanapun, masalah keradangan gigi ini hanya berlaku dalam 20% individu sahaja yang berumur sekitar 18 hingga 25 tahun. Ketika anda masih muda, biasanya akar gigi bongsu masih tidak terbentuk sepenuhnya. Namun, disebabkan tulang masih lagi lembut, maka ia tidak berisiko merosakkan saraf berdekatan.

Bagaimana Untuk Melegakan Rasa Sakit Akibat Gigi Bongsu?
Petua yang ditawarkan untuk melegakan rasa sakit buat sementara waktu adalah:
- Mendapatkan dan mengambil ubat penahan sakit. Ia akan menyurut bengkak pada sekitar 3 hingga 7 hari bergantung kepada sistem badan anda.
- Berkumur dengan air suam yang dicampur sedikit garam. Caranya, anda boleh mengambil satu sudu garam dan gaulkannya dengan air suam. Seterusnya, biarkan ia selama 30 minit.
- Gunakan flos untuk mengeluarkan sisa makanan di celah gigi.
- Hisap ketulan air batu supaya gusi menjadi kebas.
Namun jika berlarutan, anda berlu mendapatkan rawatan dan membuat pembedahan dengan segara agar ia tidak mengakibatkan kesan yang lebih teruk dalam mulut anda.
Sumber: MyHealth