MyKar – Adakah Kita Akan Melihat Kereta Elektrik Buatan Malaysia Dalam Masa Terdekat?

Di sebuah acara di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Mac 2021 memperlihatkan prototaip kereta elektrik atau EV oleh MyKar. 

Untuk pengetahuan anda, MyKar telah hadir dengan inisiatif pembangunan EV sejak September 2020 yang lepas. Untuk kali ini, mereka telahpun bersedia dalam kajian dan juga pembangunan yang lengkap dari segi sistem dan teknologi yang dikira dapat membantu dalam menggiatkan industri pembangunan EV. Pembangunan teknologi EV ini merangkumi Sistem Pengurusan Bateri (BMS), deletive manufacturing, teknologi pengecasan tanpa wayar EV dan lain-lain.

Apa yang menarik mengenai EV ini, ia menjangkakan akan menggunakan dua komponen utama iaitu bateri dan juga motor yang mana baterinya dikatakan mampu bertahan sehingga 8 tahun penggunaan serta 2000 kali pengecasan. 

Bercakap mengenai spesifikasi lain, ia dilihat hadir dengan kemampuan bergerak laju sehingga 140km/h. Menurut MyKar lagi, EV ini juga hadir dengan muatan yang ringan iaitu sekitar 190kg sahaja berbanding kenderaan biasa yang mana beratnya boleh mencecah sehingga 320kg. 

Ketika acara pengenalan MyKar berlangsung, ia mempamerkan 3 buah kereta prototaip termasuk Proton Arena dan Honda Jazz. Mereka hadir dengan kereta yang telah diubahsuai dan memasukkan sistem dan teknologi khusus pada bahagian tayar dan juga dashboard untuk mempamerkan meter kelajuan menggunakan tablet tanpa memerlukan pendawaian wayar secara terbina di dalam kereta.

Selain itu, MyKar ini juga dilihat tidak dilengkapi dengan cermin sisi biasa dan diganti dengan sistem kamera bersama skrin LCD di dalam dan juga membawakan panel solar atas bumbung untuk mengecas bateri bagi menghidupkan pendingin hawa di dalam kenderaan tersebut.

Sedikit informasi menarik mengenai MyKar juga, ia dikatakan tidak menggunakan rangkaian 2G, 3G ataupun 4G dalam menggerakkan kenderaan ini. Ia menggunakan sistem dan teknologi dalaman yang mana lebih praktikal, berbaloi dan lebih murah untuk diintegrasikan sewaktu pemanduan.

Merujuk kepada apa yang disebutkan Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim yang merupakan Pengerusi Eksekutif untuk System Consultancy Services (SCS), pembangunan sistem dan teknologi EV ini dilihat akan mengubah perspektif individu dalam mendapatkan kenderaan yang mana ia bukan sahaja menawarkan kereta pada harga yang lebih murah, malah ia turut menjamin kelestarian alam untuk jangka masa yang lebih panjang.

Buat masa ini, SCS masih lagi mencari kolaborasi syarikat-syarikat automotif yang ingin menggunakan teknologi dan perisian daripada mereka dalam menawarkan EV dalam masa terdekat. Mereka turut menjanjikan yang mana MyKar akan hadir dengan varian harga yang lebih rendah jika dibandingkan dengan EV lain yang telahpun hadir dalam pasaran.

Sebelum acara berakhir, MARii turut mengatakan yang mana mereka sekarang dalam fasa akhir dalam menyediakan polisi yang relevan untuk penawaran EV di Malaysia. Terdapat beberapa insetif yang sedang dikaji dalam memastikan ekosistem ini berjalan dengan lancar untuk kesemua pihak termasuklah konsumer dan juga rakan penyedia. Antaranya adalah penyediaan infrastruktur yang menyeluruh, tariff untuk stesen pengecasan, pengilangan kenderaan dan banyak lagi.