Carian
Tabiat Pengambilan Snek Akan Meningkat – Individu Kurang Makan Berat?
March 31, 2021 Lina Rosli

Sebut sahaja biskut, kek, roti, gula-gula dan makanan ringan, ia pastinya akan menjadikan perasaan anda untuk mendapatkannya menjadi tinggi atau dengan kata lain, craving.

Situasi ini sangat selari dengan tabiat snacking yang mana individu kerap makan makanan ringan di dalam beberapa keadaan. Untuk pengetahuan anda juga, snacking adalah keadaan yang mana anda akan mengambil makanan atau minuman di antara waktu makan biasa ataupun makan snek sebagai pengganti makanan berat harian.


Berdasarkan data yang dikongsikan Mondelez International, ia menunjukkan yang mana pandemik telah menggalakkan individu untuk snacking lebih kerap berbanding biasa. Ia bukan sahaja merangkumi individu milenial (sekitar umur 25 hingga 40 tahun), malah turut berlaku pada golongan centenial (umur di bawah 18 tahun).

Di dalam perkongsian ini juga, ia menampilkan antara sebab mengapa individu lebih gemar snacking adalah disebabkan mereka lebih gemar makan secara runcit atau sedikit-sedikit berbanding makan makanan berat untuk sajian harian.


Mengapa Individu Lebih Gemar Snacking?

Salah satu faktor peningkatan tabiat snacking adalah disebabkan gaya hidup atau keadaan yang mendorong kepada pengurangan pengambilan makanan berat dan meningkatnya pengambilan makanan ringan.

Di samping itu juga, faktor lain seperti lokasi, persekitaran sosial, waktu seharian, dan ketersediaan makanan turut menyumbang kepada tabiat snacking dalam kehidupan individu.

Tidak dinafikan, individu cenderung untuk mengunyah makanan walaupun mereka tidak lapar. Dalam satu tinjauan yang dilakukan ke atas individu dengan berat badan berlebihan, apabila ditanya mengapa mereka memilih makanan ringan yang tidak sihat, respons yang paling umum adalah faktor emosi pada ketikan itu dan diikuti oleh rasa lapar dan tahap tenaga yang rendah.


Sekitar 45% individu yang mengambil makanan ringan adalah disebabkan perasaan senang, diikuti dengan 35% disebabkan perasaan lega serta 31% yang lain adalah disebabkan keinginan dan kebosanan.

Seterusnya, jika dilihat kembali tinjauan ke atas individu dengan berat badan berlebihan, maka tidak hairanlah mengapa isu ini boleh berlaku dan mempengaruhi pengambilan makanan ringan dalam kalangan individu.

Bagaimana Pandemik Menjadi Pendorong Tabiat Snacking?

Bercerita mengenai pandemik pula, disebabkan saranan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia dalam mengurangkan risiko kebolehjangkitan dalam kalangan masyarakat, maka kebanyakan syarikat dinasihatkan untuk mengarahkan pekerja mereka untuk mula melakukan tugasan mereka daripada rumah iaitu WFH.

Sejak bekerja dari rumah, terdapat beberapa perubahan dalam gaya hidup dapat kita lihat, lebih-lebih lagi dari aspek pengambilan makanan ringan. 


Ia biasanya bermula dengan jadual video telesidang yang padat, atau garis masa projek yang semakin dekat sehingga mengakibatkan anda tidak menyedari bahawa anda tidak makan apa-apa sepanjang hari. Tidak terlepas juga mungkin anda mempunyai mentaliti “makan snek untuk alas perut” atau “saya perlukan snek untuk kekal fokus” yang mana boleh menjadi pendorong tabiat snacking

Untuk pengambilan snacking ini, 66% individu mengatakan yang mana mereka mengambil makanan ringan kerana ia merupakan hadiah untuk diri sendiri selepas penat bekerja. Ada juga yang mengatakan 60% individu menjawab snacking dapat mengurangkan rasa tekanan sewaktu melakukan kerja.

Walau apapun faktor dan punca anda mula mengamalkan tabiat snacking ini, apa yang penting adalah anda perlu menjaga pemakanan dan setiasa rujuk dengan pakar nutrisi akan kesan pengambilan snek yang berlebihan kepada diri anda.

Komen