Penyimpanan Di Peti Sejuk – Bagaimana Asing, Susun Dengan Betul?

Fungsi peti sejuk adalah untuk melambatkan pertumbuhan bakteria. Jadinya, untuk memastikan makanan dan minuman anda lebih tahan lama, sudah tentu dengan meletakkannya di dalam peti sejuk boleh mengurangkan risiko penumpukan bakteria.

Walau bagaimanapun, kadangkala kita tidak begitu mengambil berat kaedah dan cara penyimpanan yang bersesuaian di dalam peti sejuk. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi tips cara penyimpanan dan pengasingan makanan dan minuman di dalam peti sejuk dengan betul.

Ketahui Bahagian Di Dalam Peti Sejuk

Terdapat lima bahagian di dalam peti sejuk iaitu;

  • Bahagian sejuk beku
  • Bahagian rak atas
  • Bahagian rak bawah
  • Bahagian rak tin
  • Crisper atau rak sayuran

Apakah yang patut diletakkan di dalam setiap bahagian ini?

Rak Sejuk Beku

Biasanya, untuk rak sejuk beku anda akan menyimpan daging mentah, ayam dan ikan. Anda juga disarankan untuk menyimpan kesemuanya di dalam bekas yang ditutup untuk menghentikan air daripada makanan tersebut menyentuh atau menitis ke makanan lain.

Rak Atas Dan Tengah

Untuk bahagian atas, anda boleh menyusun dan mengasingkan makanan yang anda kerap ambil di bahagian atas. Sebagai contoh, makanan yang sedia untuk dimakan seperti lauk-lauk, makanan di dalam pek atau lain-lain.

Mengapa letak di rak atas atau tengah? Ia disebabkan anda akan selalu mengambilnya yang mana ia lebih mudah jika diletakkan di bahagian atas. Malahan, untuk rak atas dan tengah juga biasanya mempunyai ruang yang lebih besar berbanding bahagian yang lain.

Bukan itu sahaja, jika diletakkan di bahagian atas juga ia akan jauh daripada makanan mentah seperti sayur atau makanan basah yang lain. Makanan yang belum dimasak mempunyai bakteria berbahaya yang boleh berpindah dari makanan mentah ke makanan yang dimasak.

Rak Sayuran

Di bahagian Crisper pula, anda boleh meletakkan buah-buahan, sayur-sayuran dan salad. Pastikan anda akan mencucinya sebelum disimpan di dalam rak.

Anda juga disarankan untuk membungkus kesemuanya dengan kertas atau plastik dengan lubang udara agar terlindung dari sebarang pencemaran dan tidak kering sekaligus menjadikan ia segar lebih lama.

Rak Tin

Untuk bahagian tin pula, ia biasanya menempatkan makanan bertin atau berbentuk silinder kerana ia lebih mudah untuk disusun selain memastikan makanan lebih tahan lama.

____________________________________________________________________

Apabila meletakkan item di rak, pertimbangkan apa yang paling bersesuaian dengan cara pengendalian anda untuk makanan itu sendiri. Kebanyakan orang meletakkan susu di rak atas atau di rak pintu. Untuk penyimpanan telur pula, letak telur dalam karton asal di rak tengah atau atas di mana suhunya adalah lebih konsisten. Selamat mencuba!