Cendolah – Inovasi Minuman Cendol Di Dalam Pek Sedia Untuk Diminum
Jika sebelum ini apabila teringin untuk minum cendol, anda harus kunjungi ke restoran dan memesan pilihan menu cendol yang anda inginkan. Namun, nampaknya kelak tidak lagi.
Sebuah syarikat tempatan berasaskan makanan dan minuman iaitu Asia Innovative F&B Sdn Bhd, tampil dengan pelancaran produk baharu khusus untuk penggemar pencuci mulut yang dipanggil Cendolah.
Ia merupakan minuman cendol sedia diminum pertama di negara ini yang mana disediakan di dalam pek yang mudah untuk disimpan. Menarik mengenai produk ini juga, bahan-bahan yang terkandung di dalamnya adalah sama seakan apa yang dapati di kedai cendol fizikal.
Cendolah menampilkan bahan utama seperti sirap karamel, santan, kacang merah dan mi tepung beras hijau yang mana anda hanya perlu untuk diletakkan di dalam bekas sekaligus boleh terus diminum.

Idea di sebalik Cendolah adalah untuk menjadikan cendol sebagai minuman yang mudah dicapai dan dikonsum. Rentetan penakrifan Cendol antara pencuci mulut terbaik dunia oleh CNN, maka tidak hairanlah ia dijadikan satu penawaran makanan yang mudah untuk didapati oleh umum.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Cendolah, ia dikatakan hadir dengan kemampuan jangka hayat guna selama dua tahun. Jadinya, anda tidak perlu risau ia menjadi rosak jika anda ingin menyimpan stok yang banyak.
Selain itu, ia juga akan dijual pada harga RM4.90 sepaket secara atas-talian melalui Shopee dan juga di rangkaian pasaraya Mydin. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Cendolah bermula hari ini!