Lina Rosli Diterbitkan 14 April 2021

Resipi Nasi Butter Bersama Ayam Panggang Dan Salad Tomato

Resipi Nasi Butter Bersama Ayam Panggang Dan Salad Tomato

Untuk hari kedua Ramadan 2021 ini, Tajria akan berkongsi kepada anda menu yang bersesuai untuk dijamu sewaktu berbuka puasa, iaitu Nasi Butter Ayam Panggang.

Bagi melengkapkan lagi hidangan untuk menu ini, Tajria turut hadir dengan cara mudah dalam menyediakan salad tomato yang mana berfungsi sebagai penambah rasa masam dan pedas pada menu anda.

Berikut adalah senarai bahan yang diperlukan bersama cara penyediaan untuk setiap hidangan.

Bahan-bahan

Untuk Ayam Panggang:

  • 4 ketul kepak ayam (dipotong dua menjadi 4 wings dan 4 drummets)
  • 3 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1-2 cm halia (dicincang atau dikisar)
  • kicap pekat dan kicap manis
  • sos tiram
  • lada hitam
  • garam
  • minyak

Untuk Nasi Butter:

  • 3 cawan beras, 4 cawan air
  • bawang putih (dikisar)
  • bawang merah (dikisar)
  • mentega
  • garam

Untuk Salad Tomato:

  • 1 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1/2 biji bawang merah besar (dipotong dadu)
  • 2 tangkai cili api (dihiris)
  • lada hitam
  • garam
  • air asam jawa

Cara Penyediaan

  1. Untuk ayam, anda hanya perlu mencampurkan kesemua bahan dan perapkannya selama 15 hingga 20 minit. Sebagai tips untuk sos tiram dan kicap, anda boleh menyediakan dua ketul ayam dengan satu sudu sos tiram dan kicap. Jadi, untuk 4 ketul anda boleh guna 2 sudu setiap satu sos dan kicap.
  2. Masukkan juga sedikit minyak ke dalam perapan. Ia bagi memastikan ayam anda tidak melekat.
  3. Setelah selesai perap, panaskan kuali dan panggang ayam sekitar 10 hingga 15 minit. Ia bergantung kepada saiz ayam dan juga tahap kepanasan api.
  4. Untuk nasi pula, tumis bawang putih dan bawang merah bersama dengan mentega. Letakkan sekitar 3-4 potong mentega mengikut citarasa anda.
  5. Setelah selesai tumis, masukkan beras dan gaulkan hingga sekata.
  6. Sewaktu menanak nasi, masukkan air kira-kira 4 cawan dan biarkan ia masak.
  7. Akhir sekali untuk salad tomato, potong kesemua bahan-bahan yang diperlukan dan gaulkan sekata. Masukkan garam secukupnya dan juga air asam jawa pekat sebagai penambah rasa. Anda juga boleh meletakkan lada hitam dan juga daun ketumbar.