Seperti yang anda ketahui, Zalora adalah salah platform yang memfokuskan fesyen yang banyak mendominasi pasaran Asia Tenggara. Ia hadir dengan hampir 3000 jenama fesyen di dalamnya yang meliputi produk seperti pakaian wanita dan lelaki, kasut, kelengkapan diri serta barangan untuk kanak-kanak.
Bergerak ke hadapan, Zalora kini mula menampilkan strategi kelestarian dalam memastikan kesan fesyen kepada alam sekitar dapat dikawal. Menurut CEO Zalora, beliau mengatakan yang mana mereka telahpun mengkaji keseluruhan ekosistem yang merangkumi pelanggan, pembekal dan juga pekerja dalaman mereka sendiri dengan menetapkan komitmen yang kukuh untuk bergerak ke arah yang lebih mesra alam sekitar.
Sebelum ini, telah banyak jenama yang telah mula hadir dengan perancangan dalam menerapkan kelestarian di dalam industri fesyen termasuk H&M Consious, TOMS, PUMA, dUCK dan banyak lagi.
Salah satu perancangan Zalora untuk masa kelak adalah mereka menyasarkan untuk menawarkan sekitar 40% daripada pakaian yang dihasilkan oleh label peribadi mereka akan diperbuat daripada sumber yang lestari.
Hal ini kerana, bahan buatan untuk setiap fabrik merupakan antara faktor utama yang dikira boleh menjejaskan alam sekitar. Oleh itu, Zalora bercadang untuk memperkenalkan cara yang paling efisien dalam mengurangkan pencemaran alam seperti penggunaan serat fabrik dari bahan semula jadi serta serat fabrik yang dikitar semula.
Pada tahun 2020 yang lepas, sekitar 1.5% jenama dibawah Zalora Private Label seperti Lubna, Zalia, Zalora, Zumara dan Tolliver telah mula menggunakan bahan lestari. Ia bagi melihat penerimaan dan juga kesannya kepada persekitaran. Dalam menjayakan strategi ini juga, Zalora bakal hadir dengan koleksi yang diperbuat daripada Tencel pada jenama fesyen dibawahnya.
Malah, dalam strategi yang sama juga Zalora bakal mengurangkan penggunaan plastik menjelang 2025 sebanyak 40%. Setakat ini, platform ini dilihat masih belum melaksanakan apa-apa perubahan pada pek pembungkusan mereka. Namun di masa akan datang mereka akan mula menggunakan bahan pembungkusan yang lestari seperti penggunaan kertas balut yang dikitar semula sekaligus boleh mencapai kadar kitar semula sehingga 83% di kilang pengeluaran.
Akhir sekali, Zalora turut merancang dalam menyediakan plastik yang telah dikitar semula daripada sisa pengguna yang dikatakan tidak akan menjejaskan kualiti, kos dan logistik. Dengan Inisiatif ini, ia dapat mengurangkan keseluruhan kesan alam sekitar dan juga meminimakan penggunaan sekitar 600 tan plastik di Asia Tenggara.