Sebut sahaja nama Lamborghini, sudah tentu anda akan membayangkan sebuah kereta sports yang mewah yang hanya dimiliki oleh 0.0001% rakyat di dunia. Menurut rekod penjualan Lamborghini, sekitar 8700 orang sahaja yang mempunyai kereta ini pada tahun 2019. 

Memang tidak dinafikan yang mana kereta ini ditawarkan pada harga yang tinggi.  Oleh sebab  itu, tidak ramai yang mampu untuk mempunyai. Bukan hanya untuk membeli, malah untuk menampung kos penyelenggaraan bulanan dan juga tahunan.


Apabila bercakap mengenai Lamborghini, pernahkah anda terfikir bagaimana idea untuk menawarkan kereta ini mula muncul? Dan siapakah yang mencipta kereta mewah ini?

Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda sedikit fakta menarik yang mengenai kereta mewah jenama Lamborghini ini.

Sejarah Lamborghini – Masalah Mekanikal Ferrari Menjadi Pencetus Ciptaannya?

Kereta ini mula hadir pada tahun 1963 di Itali yang diperkenalkan oleh Ferruccio Lamborghini. Beliau mengambil namanya untuk dijadikan sebagai jenama untuk produk automotifnya.

Namun, menurut beberapa sumber berkenaan Lamborghini, nama ini sebenarnya mula hadir pada sekitar tahun 1947. Ia pada awalnya didirikan bagi menawarkan traktor dari mesin lebihan yang dikonfigurasi semula sewaktu selepas perang dunia kedua. Traktor pertama yang ditampilkan adalah Carioca.


Kejayaan pelancaran traktor ini mendorong kepada pembukaan syarikat traktor yang dinamakan Lamborghini Trattori. Apa yang menarik mengenai traktor milinya adalah ia hadir dengan minyak atomizer yang dicipta sendiri selain direka bersesuaian dengan penggunaan petrol. Malah kemudiannya, ia turut diubahsuai dan diletakkan beberapa kelengkapan seperti penyaman udara dan juga pemanas.

Menjelang awal tahun 1960, perniagaan traktor ini nampaknya telah membuahkan hasil yang cukup besar. Ianya telah menjadi salah satu pakar industri  yang berkaliber di Itali. Dengan hasil pendapatan yang meningkat, Ferruccio seterusnya memutuskan untuk mendapatkan sebuah kereta mewah iaitu Ferrari 250GT.

Menurut Ferruccio, kereta Ferrari miliknya mempunyai enjin yang bising dan juga kasar untuk perjalanan di atas  jalan raya. Ferruccio turut menyatakan yang mana sistem clutch Ferrari juga mempunyai masalah sekaligus menjadikan beliau memutuskan untuk memulakan syarikat kereta sportnya sendiri, malah menyewa bekas jurutera Ferrari.

Bermula dari situlah, Lamborghini hadir ke dalam pasaran kereta mewah.

Identiti Lamborghini Yang Menjadi Kekuatan Jenama Ini

Setelah mengambil keputusan untuk memasuki pasaran kereta mewah, Ferruccio Lamborghini menawarkan produk debutnya pada tahun 1964 menerusi model Lamborghini 350 GTV. Ia merupakan sebuah coupe yang hadir dengan dua tempat duduk selain menampilan mesin enjin V12. Namun, model ini hanyalah diperkenalkan sebagai prototaip.


Kereta Pertama Lamborghini - Lamborghini Miura Pada Tahun 1967

Bercakap mengenai kereta Lamborghini juga, anda boleh lihat yang mana kebanyakan kereta jenama ini hadir dengan rekaan yang bersegi yang baru dipopularkan dalam kalangan kereta mewah. Rekaan ini disebut Countach yang mana ia memuatkan penumpang dibahagian hadapan dan memberikan ruang yang lebih besar untuk mereka meletakkan enjin dibahagian belakang. 

Kalau anda lihat apabila pemilik kereta Lamborghini keluar dari kereta mereka, pastinya anda akan berasa kagum. Mana tidaknya, rekaannya yang mewah dan versatil,  pastinya ia menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

Jenama ini  hadir dengan rekaan pintu yang memerlukan pengguna menolak pintu ke atas. Ia mungkin disebabkan mereka mengambil inspirasi rekaan jet pejuang yang kini diletakkan sebagai rupa signature untuk setiap model Lamborghini.


Menurut Ferruccio Lamborghini juga, masalah utama kebanyakan pengeluar kereta mewah adalah mereka mengeluarkan kereta untuk tujuan sama ada prestasi tinggi ataupun hanya sekadar menawarkan reka bentuk mewah semata. Oleh itu, syarikat beliau merancang untuk hadir dengan sesuatu yang luar biasa, dan yang paling penting adalah menggabungkan kelajuan dan juga mewah di dalam satu produk.

Kejatuhan Industri Traktor – Faktor Ferruccio Menjual Perniagaan Kereta Mewah Kepada Volkswagen Group

Pada awal tahun 1970-an, perniagaan traktor Lamborghini mengalami masalah. Dalam pada masa yang sama juga, pada tahun 1973 berlakunya krisis minyak sehingga mengakibatkzn jualan kereta  mewah tersebut jatuh merudum.

Oleh sebab itu, Ferruccio telah menjual 51 peratus saham miliknya kepada peniaga dari Swiss iaitu Georges-Henri Rossetti pada harga $600,000. Setahun kemudian, Ferruccio memutuskan untuk keluar dari arena automobil dan bersara. Beliau menjual lebihan 49 peratus saham kepada Rene Leimer. 


Sebagai syarikat, Lamborghini telah mengalami banyak pasang surut dalam perniagaan tidak kira untuk perniagaan traktor ataupun kereta berprestasi tinggi. Antara syarikat lain yang turut memainkan peranan penting dalam membangunkan semula empayar Lamborghini termasuklah syarikat dari Amerika iaitu Chrysler pada tahun 1987. Syarikat itu kemudian diambil alih oleh kumpulan pelaburan Indonesia pada tahun 1994. Menjelang tahun 1998, Lamborghini dikendalikan oleh Volkswagen Group di bawah subdivisi Audi. Syarikat ini terus membina kereta berprestasi tinggi, termasuk Murcielago dan Gallardo.

Sumber: Money Inc, History, Auto Car UK