Pernahkah anda merasakan tulisan tangan anda menarik dan kemas untuk dijadikan sebagai fon yang boleh digunakan di dalam komputer? Sebagai contoh, anda boleh menggunakan tulisan tangan anda pada penampilan di poster ataupun grafik yang lain.

Jika anda mahu menjadikan tulisan tangan anda sebagai fon, maka inilah masanya untuk anda menukarnya menerusi aplikasi dan juga platform yang bersesuaian.

Bagaimana Untuk Mengubah Tulisan Tangan Menjadi Fon?

Terdapat beberapa platform yang menawarkan fungsi menjadikan tulisan anda kepada fon seperti Calligraphr, Fontfier dan juga YourFonts.

Untuk ketiga-tiga platform ini, Tajria mendapati kaedah yang digunakan adalah sama sahaja namun bergantung kepada keselesaan anda. Jadi, berikut adalah tips dan kaedah ringkas yang boleh anda ikuti.

1. Pergi ke aplikasi Calligraphr dan muat turun templat yang boleh dicetak.

2. Jika anda menggunakan Calligraphr, ia akan meminta anda untuk memilih sama ada ingin menggunan templat jenis font English, Jerman, Perancis, Jepun, tanda baca dan pelbagai lagi.

3. Kemudian, anda boleh mencetak templat sama ada menggunakan fail .pdf ataupun .png.


4. Setelah cetak, lengkapkan templat tersebut sebelum anda mula mengimbas semula fail templat yang dilengkapi dengan tulisan anda ke dalam komputer.

5. Jika anda menggunakan tablet ataupun wacom, anda boleh terus melakukan suntingan terus di dalam aplikasi suntingan yang terbina.

6. Seterusnya, muat naik fail anda, beri nama kepada fon anda dan pilih format sama ada .ttf atau .otf.

7. Untuk menggunakannya, anda perlu memuat turun fon tersebut dan pasangkannya pada komputer anda.


Sewaktu anda memuat turun templat yang tersedia, pastikan anda memeriksa saiz kotak yang bersesuaian dengan tulisan tangan anda. Pilih saiz yang lebih besar agak tulisan anda tidak terkeluar dari kotak sekaligus boleh menyebabkan imbasan dan fon tidak dapat dijana dengan baik.


Tips untuk anda yang menggunakan mesin fotokopi ataupun pengimbas, tetapan imbasan yang perlu anda ketahui adalah penggunaan warna dakwat hitam dan putih, 300 DPI dan juga format JPEG.


Namun, bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, anda disarankan untuk menggunakan tablet ataupun wacom bagi mendapatkan perincian yang sempurna untuk setiap huruf yang ditampilkan. Selamat mencuba!