Kebanyakan jenama fesyen kini sudah mula mementingkan kelestarian sebelum menghasilkan sesuatu produk ataupun koleksi yang baru. Ia bagi menjamin kesejahteraan alam sekitar selain mengurangkan kadar pembaziran tekstil dalam industri fesyen.


Nampaknya, ASICS tidak ketinggalan dalam menjadi salah satu jenama yang mula bergerak ke arah produk lestari. Untuk koleksi terbaru mereka, ASICS membawakan kasut sukan yang dihasilkan menggunakan sisa tekstil rentas kategori. Variasi kasut sukan yang ditampilkan termasuk Gel-Nimbus 23, Glideride 2,  Gel-Resolution 8, Tarther Blast, Gel-Lyte III dan juga Skycourt.


Menurut ASICS, bersempena dengan Hari Bumi yang berlangsung pada 22 April 2021, mereka merancang untuk mengurangkan kesan karbon pada alam sekitar dengan menggunakan bahan yang lebih lestari. Malah untuk penampilan lapisan tapak kasut, mereka kini  menggunakan teknologi penjimatan sumber yang dikenali sebagai solution dyeing yang mengurangkan pelepasan CO2 sekitar 45% dan mengurangkan penggunaan air sekitar 33% berbanding dengan proses pencelupan konvensional.


Dari segi rekaan, jenama ini membawakan grafik biji benih bunga matahari yang direka untuk menunjukkan bahawa ASICS telah komited untuk menanam pokok bunga matahari bagi menghasilkan masa hadapan yang lebih cerah.

Bagi yang berminat, Koleksi Sunrise Reborn ini boleh mula didapati bermula hari ini sama ada di rangkaian kedai fizikal dan juga kedai atas-talian ASICS pada harga bermula RM379.