Carian
Ingin Bayar Zakat Fitrah? Ini Kadar Yang Perlu Anda Bayar
April 30, 2021 Lina Rosli

Sedar tak sedar, kita bakal memasuki minggu ke-3 Ramadhan pada minggu hadapan, rasa sungguh cepat masa berlalu kan?

Saat anda berbuka puasa dengan meriah dan seronok bersama keluarga tersayang, ingatlah pada mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan seperti mana anda melaluinya setiap hari. Oleh itu, sebagai umat Islam wajib untuk laksanakan rukun Islam yang keempat ini, iaitu mengeluarkan zakat.

Seperti yang anda sedia maklum, zakat ini terbahagi kepada 2 dua, iaitu zakat fitrah dan zakat pendapatan.

Zakat pendapatan ialah zakat yang dikenakan keatas semua jenis sumber pendapatan,hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan, aktiviti yang menghasilkan pendapatan bagi seseorang muslim.

Sementara zakat fitrah pula wajib ke atas muslim yang berkemampuan yang mana dilaksanakan pada bulan Ramadan. Jadi, adakah anda sudah pun mula melaksanakannya?

Sebelum itu, jom kita fahami dahulu apa itu zakat fitrah.


Apa Itu Zakat Fitrah?

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Syarat wajib Zakat Fitrah

  • Islam dan merdeka
  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

Sehubungan dengan itu, jatuhlah hukum wajib ke atas semua individu dari kalangan lelaki, wanita, anak kecil yang mempunyai lebihan wang atau cukup perbelanjaan sampailah Hari raya Aidiilfitiri.

Lebih afdhal, individu yang membayar zakat fitrah adalah orang yang memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang membesarkan cucuya sendiri. Atau lebih mudah, orang yang menanggung perbelanjaan harian dan urusan memberi nafkah keluarga.

Jika anda yang masih muda ingin membayar zakat fitrah sendiri, anda haruslah bertanyakan kepada ibu-bapa anda terlebih dahulu, tetapi tidak mengapa jika anda terbayar untuk kali kedua kerana ia akan dikira sebagai sedekah.

Waktu membayar zakat

  • Waktu Wajib – Apabila terbenam matahari akhir ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal
  • Waktu Afdal – Sebelum solat Hari Raya Aidilfitri
  • Waktu Sunat – Sepanjang bulan ramadhan
  • Waktu Makruh – Selepas solat Hari raya Aidilfitri 
  • Waktu Haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal

Berapa kadar bayaran zakat fitrah?

Kadar zakat fitrah untuk seorang individu berdasarkan makanan ruji tempatan. Jika di Malaysia sendiri, kadar zakat mengikut harga beras yang ditetapkan oleh pihak pemerintah. Jom kita lihat kadar zakat fitrah mengikut negeri-negeri di Malaysia di bawah!

Negeri-negeri di Malaysia
  • Perlis – RM7
  • Kedah – RM7/RM14/RM21
  • Perak – RM7
  • Selangor – RM7/RM14/RM21
  • Negeri Sembilan – RM7
  • Melaka – RM7
  • Johor – RM7/RM14/RM21
  • Pahang – RM7
  • Terengganu – RM7
  • Kelantan –  RM7
  • Sarawak – RM7
  • Sabah – RM7
  • Wilayah Persekutuan – RM7
  • Pulau Pinang – RM7

Dengan info-info yang kami berikan di atas, diharapkan anda dapat mengetahui dan fahami apa itu Zakat Fitrah dan tunaikannya pada bulan Ramadhan ini.

Malah pada waktu sekarang pun anda boleh membayar zakat secara online sahaja sama ada melalui Boost, GoPayz, Shopee dan banyak lagi bagi memudahkan urusan anda. Jangan lupa ya! 

Rujukan :

Majlis Agama Islam Johor , PPZ MAIWP , Semakan Online

Komen