Pastinya anda biasa mendengar nama yang Daiso sebelum ini. Ia merupakan sebuah jenama yang mana menawarkan barangan pada harga sekitar RM6 sahaja.

Daiso merupakan sebuah jenama yang berasal dari Jepun. Kebiasaannya, pelanggan akan mengunjungi Daiso untuk mendapatkan sama ada kelengkapan atau peralatan dapun seperti bekas makanan, kutleri, pinggan, mangkuk dan banyak lagi.

Apa yang menarik mengenai Daiso ini adalah ia menampilkan peralatan yang dikatakan unik yang kebanyakan kedai barangan lain tidak menjualnya seperti pengeras minyak, pembersih kasut ajaib, sabun besi dan lain-lain.

Jadi, tahukah anda siapa pengasas syarikat Daiso dan mengapa ia diperkenalkan?

Asal Usul Daiso

Dalam bahasa Jepun, Daiso bermaksud penawaran yang besar atau satu kejayaan besar. Selari dengan misi pengasas Daiso untuk memperluaskan Daiso ke seluruh dunia.

Rupa-rupanya pengasas Daiso sebenarnya berasal dari Beijing, China. Beliau adalah Yano Hirotake yang sebelum ini merupakan pelajar dalam bidang kejuteraan awam.

Untuk pengetahuan anda, ayah Yano merupakan seorang pakar perubatan. Namun, tidak seperti kakak-kakaknya, Yano tidak berminat untuk memasuki arena perubatan. Selepas berkahwin, beliau mengambil alih syarikat mertuanya iaitu sebuah perniagaan akuakultur. Walau bagaimanapun, perniagaan ini mengalami permasalahan dan bankrup selepas 3 tahun beroperasi.

Bagi melangsaikan segala hutang dan juga pinjaman yang dilakukan, Yano Hirotake terpaksa melakukan kerja tambahan bagi menjana pendapatan lebih. Antara kerja yang dilakukan termasuklah menjadi penjual, menguruskan barangan kitar semula papan kad dan juga kertas.

Bermula dari situlah idea untuk berniaga barangan pada harga yang rendah.

Menjelang tahun 1972, Yano mula menjual pelbagai barang di belakang traknya dan mula membuka kedai yang dinamakan Yano Shoten yang bermaksud Kedai Yano.

Daiso 100 Yen Di Jepun

Dengan perniagaan mudah alihnya, Yano menggunakan model perniagaan pemborong untuk membeli barang dagangan secara pukal dengan harga yang murah. Beliau mendapatkan kesemua barangan ini dari perniagaan atau kilang. Beliau kemudiannya, menjual barang-barang tersebut dengan keuntungan kecil.

Menurut Yano, ia merupakan satu kaedah yang mana beliau ingin menawarkan sesuatu barangan yang boleh didapatkan pada harga yang lebih rendah berbanding kedai yang lain. Jika di peringkat global, Yano Shoten ini seakan Walmart Stores Inc. yang terkenal di Amerika Syarikat pada ketika itu.

Pada tahun 1977 pula, Yano mula menukar nama Yano Shoten kepada Daiso yang mana pada waktu itu beliau merancang untuk memperkenalkan harga yang lebih universal iaitu 100 yen untuk semua barangan.

Perniagaan Daiso 100 Yen Mula Dibangunkan

Kemuncaknya berlaku apabila Yano dan isterinya berjaya melepasi cabaran ekonomi yang berlaku apada tahun sekitar 1990-an.

Berbeza dengan kedai $1 di Amerika ataupun tempat lain, Yano mula membina empayar Daiso 100 Yen yang mana plaza ini ditempatkan di lokasi berdekatan dengan kedai barangan mewah. Bersebelah dengan kedai yang menjual melon pada harga 13 000 Yen, Daiso berjaya bertapak dan berkembang dengan pesat yang menawarkan semua barangan pada harga yang sama.

Yano berpendapat bahawa apabila menawarkan sesuatu barangan pada harga yang berbeza, ia akan menjadikan sesuatu transaksi pembelian mengambil masa yang lama sekaligus menjadikan pelanggan teragak-agak untuk membeli selepas membuat perbandingan.

Oleh sebab itu, Yano menetapkan bahawa harga 100 Yen adalah nilai minimum yang boleh mereka tawarkan bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.

Namun lama-kelamaan, Yano melihat pelanggan mempunyai persepsi yang mana apabila barangan dijual pada harga yang murah, ia kerap dikaitkan dengan kualiti yang teruk dan tidak tahan lama.

Jadinya, beliau mengambil keputusan untuk mencari barang yang lebih berkualiti dengan maksimum kos tambahan sekitar 70 hingga 80 yen. Dengan ini, ia dapat mengembalikan semula reputasi Daiso sekaligus menjual barangan yang lebih berkualiti kepada pelanggan.

Rangkaian Daiso Diperluaskan Ke Negara Luar

Untuk kebanyakan perniagaan biasanya mempunyai perancangan untuk membuka sebanyak mungkin rangkaian kedai bagi memberi akses kepada lebih banyak pelanggan.

Begitu juga Daiso, yang mana menjelang tahun 2019, mereka telahpun membuka sebanyak 3367 kedai di Jepun dan sekitar 5000 untuk rangkaian kedai luar negara.

Perkara yang dapat dilihat pada pengenalan Daiso ini adalah perubahan dalam tabiat pembelian ketika pelanggan mengunjungi kedai. Yano mengatakan Daiso berperanan dalam memberi dorongan untuk membeli sesuatu produk lebih dari apa yang diperlukan.

Sebagai contoh, apabila seseorang individu gembira dan nikmati pengalaman yang baik sewaktu membeli-belah sudah tentu mereka akan lebih terbuka untuk membeli lebih banyak barangan selain menjadikan mereka lebih kerap untuk kunjungi kedai tersebut. Oleh itu, Yano sangat mengambil berat akan susun atur produk yang dipersembahkan di dalam kedai.

Akhir sekali, untuk pengetahuan anda juga barangan yang ditawarkan adalah barangan yang diimport dari pengeluar luar dan bukannya berasal daripada Jepun. Ia dikatakan bagi menjimatkan kos pengeluaran selain boleh diperoleh pada harga yang lebih rendah.

Sumber: Daiso JapanTokyo Weekender, Global Partner Consulting