Bersempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang, pihak Tourism Selangor kali ini hadir dengan senarai masjid yang memiliki keindahan dan juga kecantikan sama ada dari segi rekaan dalaman mahupun landskap yang ditampilkan di luar masjid.
Penawaran ini telah menjadikannya salah satu tarikan pelancong bagi melaksanakan aktiviti kebudayaan dan juga keagamaan. Jadi, ini adalah 10 masjid yang boleh anda kunjungi di Negeri Selangor pada suatu masa kelak.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Biru. Ia terletak di Pusat Bandar Shah Alam, masjid ini dibina di atas kawasan seluas 14.6 hektar.
Menarik mengenainya adalah penampilan ciri-ciri seni bina yang indah bersama-sama dengan hiasan dalaman yang menakjubkan. Tambahan pula, ianya merupakan masjid terbesar di Malaysia dan merupakan salah sebuah ikon pelancongan utama di Negara ini. Masjid dengan kubah berwarna biru ini terletak indah di sebahagian Tasik Raja Lumu.

Disebabkan saiznya yang luas dan besar, ia boleh memuatkan seramai 16,000 orang jemaah pada satu-satu masa dengan dilengkapi oleh pelbagai kemudahan untuk para pengunjung.
Masjid Puncak Alam
Masjid Puncak Alam merupakan masjid pertama dan terbesar di Bandar Puncak Alam. Masjid yang mempunyai keluasan 9.5 ekar ini boleh memuatkan sekitar 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan telah dirasmikan pada 10 Julai 2015.

Masjid ini juga dilengkapi dengan kemudahan yang menarik seperti Dewan Serbaguna, bangunan pentadbiran dan kelas, bilik pengurusan jenazah dan banyak lagi.
Masjid Sultan Abdul Samad
Untuk anda yang kerap ulang-aling dari Kuala Lumpur ke KLIA, jangan lupa untuk singgah ke Masjid Sultan Abdul Samad. Masjid ini terletak di Daerah Sepang dan boleh dilihat semasa perjalanan menuju ke KLIA.
Ia juga merupakan salah satu masjid pelancongan yang mana ia didirikan bersempena pembinaan KLIA pada tahun 2000. Mempunyai keluasan 17.96 ekar, ianya mampu memuatkan 8,000 orang jemaah.


Selain itu, reka bentuk dengan konsep seni bina Arab klasik dengan kubah utama dan bumbung berbentuk ratanya turut menjadi tarikan pelancong dan orang awam.
Masjid Diraja Sultan Suleiman
Masjid Diraja Sultan Suleiman ini telah dibina pada era 1930-an dan telah dirasmikan oleh Sultan Alauddin Shah pada tahun 1932. Ia terletak di Daerah Klang dan mampu memuatkan seramai 1,200 orang jemaah.
Dengan menampilkan ciri seni bina yang sangat unik yang bertemakan Monghul, ianya memberikan elemen Islamik dan katedral neoclassical.

Masjid As-Salam
Masjid ini terletak di Taman Puchong Perdana yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung. Setakat ini, ia adalah satu-satunya masjid terapung yang terdapat di Negeri Selangor yang mana telah dirasmikan pada 8 Disember 2006 dan dibina berlatar-belakangkan taman dan tasik.
Dari segi keluasan dan kapasiti jemaat, ia boleh memuatkan sehingga 4,000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Tengku Ampuan Jemaah
Masjid ini merupakan masjid kedua di Negeri Selangor selepas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ia terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Untuk rekaan yang ditampilkan, masjid ini dihiasi dengan tulisan ayat suci Al-Quran di bahagian luar. Keindahan masjid ini ditambah lagi dengan binaan rekaan seni bina Islam Timur Tengah tradisional yang menarik bermula dari kubah, menara dan hingga ke ruang solat.
Keluasan masjid ini pula mampu memuatkan seramai 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah
Untuk pengetahuan anda, masjid ini adalah masjid yang pertama di Malaysia yang mendapat penarafan platinum bagi indeks bangunan hijau.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah ini terletak di Cyberjaya dan mempunyai reka bentuk ciri-ciri prinsip hijau dengan menerapkan elemen mesra-alam dalam pembinaannya. Ianya menggunakan teknologi hijau seperti panel solar, tadahan hujan dan banyak lagi. Masjid yang sangat cantik ini mempunyai konsep taman Islamik di perkarangannya. Keluasan masjid ini adalah 17.580 ekar dan mampu memuatkan 8,300 orang jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Ara Damansara
Masjid Ara Damansara yang terletak di Ara Damansara mempunyai keluasan 6 ekar serta boleh memuatkan 1,500 orang jemaah pada satu-satu masa. Seperti Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, ia juga hadir dengan konsep Green Building Index.


Bukan itu sahaja, masjid ini turut menampilkan konsep islamik urban yang menarik. Kelengkapan yang ditawarkan termasuk taman permainan mini dan ruang rehat sebagai kemudahan dalam kawasan masjid kepada pengunjung dan orang ramai.
Masjid Jamek Ar-Rahimah
Masjid Jamek Ar-Rahimah merupakan masjid yang terletak di Daerah Hulu Selangor, serta menjadi pusat ibadat bagi masyarakat setempat. Masjid yang tersergam indah ini sering menjadi tempat persinggahan para pengembara sebelum ke Fraser Hills.

Bercerita dari sudut keluasan, ia mampu menampung seramai 3,500 orang jemaah pada satu-satu masa. Seni bina masjid ini berlandaskan konspek Inggeris klasik dilengkapi minaret yang tinggi dan indah di bahagian luar masjid.
Masjid Diraja Sultan Ala’eddin
Ia hadir dengan saiz yang sedikit kecil berbanding dengan 9 masjid yang lain. Ia hanyamampu memuatkan 800 orang jemaah sahaja pada satu-satu masa.
Dikenali sebagai Masjid Bandar, ia menjadi sebuah monumen sejarah bagi Negeri Selangor dengan sktrukturnya yang masih gah berdiri sehingga hari ini. Ia terletak di Pekan Banting sekitar 200 meter daripada Istana Bandar. Reka bentuk masjid ini mempunyai ciri-ciri kesenian kaum India-Muslim dan masyarakat Islam dari negara Timur Tengah.


Masjid di Negeri Selangor tidak hanya menjadi tumpuan pada musim perayaan sahaja, namun ianya sentiasa mengalu-alukan kehadiran umat islam untuk menunaikan ibadah, serta kehadiran orang awam untuk tujuan pelancongan.
Jika anda berkesempatan untuk mengunjungi masjid-masjid ini, pastikan anda mengamalkan kebersihan diri dengan menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan umum.
Untuk informasi lanjut, layari laman rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.