Carian
Ini Taktik IKEA Untuk Mempengaruhi Anda Supaya Membeli Belah Sakan
May 3, 2021 Zafirah Zapri

Apabila sebut tentang IKEA, apakah yang terbayang di mata
anda?

Adakah perabot ringkas, ruang pamerannya yang elegan atau karipap
telur?


Kedai-kedai IKEA adalah Legoland bagi orang dewasa. Di situ,
mereka tidak hanya membeli perabot tetapi juga untuk berseronok, lari daripada
stress dengan melalui sedikit pengembaraan.

Apabila sudah masuk, kadang mungkin sukar untuk nampak pintu
keluar.

Untuk pengetahuan anda, gergasi peninggalan Ingvar Kamprad
yang mengeksport perabot dan budaya Swedish ke seluruh dunia ini mempunyai
helah tersendiri untuk ‘menjerat’ minda para pelanggannya supaya tak puas
berbelanja dan melepak di gedung itu.

Gudang Seperti Labirin

Pernah tak anda berniat untuk membeli beberapa barang sahaja
di IKEA namun sedar-sedar troli anda sudah penuh semasa hendak keluar?

Misteri ini disebabkan oleh sistem sehala dan rekaan betuk
kedai yang berliku-liku seperti pagar sesat (kadang rasa macam sampai ke tempat
sama tadi).

Susun atur ini sengaja direka begitu supaya dapat membuatkan
pelanggan bingung, lupa niat asal ke IKEA, dan berlingkar di tempat sama.

Semasa tolak troli pula nampak gelas kecil comel-comel,
lilin, bingkai gambar dan tuala yang nampak murah. Oleh sebab kerap nampak
benda sama, semakin laju tangan nak meletaknya ke dalam troli.


Fenomena ini dipanggil ‘The Gruen effect’ di mana
suasana persekitaran seperti susunan barang, rekaan kedai, muzik dan hiasan di
kedai dan pusat membeli belah boleh mempengaruhi keputusan seseorang untuk
membeli barang yang tiada di dalam senarai keperluan asal.

“Keputusan pembelian 20% berdasarkan logik dan keperluan,
manakala 80% lagi berdasarkan emosi.” ujar Richard La Graauw, pengarah kreatif
IKEA Amerika Syarikat (AS) kepada Vox.

Magis Di Sebalik Bebola Daging

Tempat paling meletihkan otak adalah kedai runcit sebab otak
kita perlu proses banyak maklumat apabila melihat sekeliling.

Oleh itu, IKEA menyediakan kafeteria di tengah gedung untuk
anda ‘pam minyak’ sebelum menyambung tolak troli. Makanan enak dapat menaikkan
semangat dan mood.


Menurut Gerd Diewald, salah seorang pengurus IKEA di AS, hidangan
bebola daging merupakan produk paling popular dan terlaris. Setiap tahun, dianggarkan
satu billion bebola daging dihidangkan kepada para pelanggan IKEA di seluruh
dunia.

Perabot DIY

Antara sebab mengapa kedai perabot ini digemari ramai adalah
kerana harganya yang mampu milik, ada harga yang mampu tengok serta rekaan sederhana
dan serba guna.

Sesetengah pelanggan pula memburu kepuasan setelah melabur
masa dan tenaga dengan memasang sendiri perabot yang dibeli di kedai atau dalam
talian.


Dalam psikologi, istilah ini dipanggil ‘IKEA effect’, iaitu kita
lebih menghargai sesuatu barang itu apabila kita buat dengan tangan sendiri.

Karipap, Hotdog Dan Aiskrim

Setelah menghabiskan pengembaraan melalui pagar sesat IKEA,
tibalah masa untuk membayarnya. Bagi sesetengah orang, mungkin hati kacanya
terhempas ke lantai sewaktu melihat berapa digit wang terbang ke kaunter
pembayaran atas barang yang tidak diperlukan sangat.


Namun IKEA tahu bagaimana untuk pujuk hati anda supaya
merelakan dan mengucapkan selamat tinggal pada duit anda di situ.

Di seberang kaunter, mereka menjual aiskrim, hotdog dan jika
di Malaysia ada karipap telur yang spesial kerana tidak mahu anda meninggalkan
IKEA dalam keadaan bad mood dan supaya anda tidak rasa bersalah selepas berhabis
beli barang banyak-banyak kerana pembelian terakhir ini dinoktahkan dengan
harga murah.


Begitulah bagaimana liciknya IKEA memanfaatkan ruang, rekaan
kedai dan deria rasa untuk memanipulasi psikologi para pelanggan atau bakal
pembeli supaya tidak serik membeli produk mereka.

Menurut laman BBC,
kreativiti IKEA untuk berkomunikasi secara halus dengan pengguna turut ditiru
oleh syarikat-syarikat lain.

Komen