Maybank: Sama-Sama Lokal
Bagi pengguna aplikasi Maybank2u, anda kini boleh membuat pesanan makanan dan minuman pilihan anda menerusi Sama-sama Lokal. Sebelum ini, fungsi ini telahpun ditawarkan kepada umum. Namun, nampaknya kali ini ia hadir dengan penawaran pembayaran terus pada aplikasi seperti aplikasi GrabFood.
Buat masa ini, penawaran Sama-sama Lokal lebih memfokuskan kepada arena Lembah Klang. Melalui kemaskini baharu ini juga, anda boleh menyemak proses penyediaan dan penghantaran terus melalui aplikasi Maybank2U berkenaan.
Bagi anda yang ingin mencubanya, anda boleh membuat tempahan di Sama-sama Lokal bermula hari ini dan terima diskaun RM10 atas tempahan yang dilakukan. Bukan itu sahaja, sehingga 19 Jun 2021 kelak, anda juga boleh menikmati diskaun RM10 untuk yuran penghantaran dan diskaun 50% atas tempahan makanan yang dihadkan kepada RM30 dengan perbelanjaan minimum RM20.
Apa yang menarik mengenai Sama-sama Lokal juga, ia menyatakan yang mana untuk setiap pesanan mereka tidak mengambil apa-apa komisen sekaligus membantu para peniaga menjana pendapatan dengan lebih baik.
FashionValet: FV Bazaar
Tidak ketinggalan, FashionValet sekali lagi tahun ini telah hadir dengan inisiatif FV Bazaar bersempena Ramadan. Ia dikatakan bagi membantu menggalakan jual beli antara pengguna dan peniaga pada waktu Covid-19 ini.
Berbeza dengan FV Bazaar sebelum ini, ia kali ini hadir dengan dua pilihan pesanan iaitu pesanan makanan dan juga pesanan fesyen. Untuk pesanan makanan, anda boleh memilih dan menuras kedai berdasarkan tempat yang berhampiran dengan anda dan terus berhubung terus dengan peniaga.
Untuk mengakses FV Bazaar, anda boleh menggunakan aplikasi FashionValet atau laman rasmi FashionValet pada desktop anda dan tekan butang FV Bazaar. Seterusnya, tetapkan kawasan atau negeri yang anda duduk bagi memudahkan proses mencari kedai makan yang anda gemari.
Tidak seperti platform yang lain, pengurusan penghantaran dan juga pembayaran semua akan diuruskan peniaga. Oleh sebab FV Bazaar tidak memegang atau mengurus sebarang transaksi, makanya tiada komisen yang diambil untuk setiap pesanan.
Airasia Foods
Seperti yang anda ketahui, selain arena penerbangan, airasia kini mula aktif dalam mengembangkan operasi mereka untuk penghantaran makanan melalui airasia foods.
Bagi anda yang ingin memesan makanan di platform berkenaan, ia menawarkan makanan yang mana perlu dipra-tempah sehari lebih awal. Antara vendor yang ditampilkan termasuk Santan, Dip Dip, Burgertory SS15, alArtisan & Co dan banyak lagi.
Untuk menggunakan perkhidmatan airasia food, pelanggan perlu melayari airasia.com. Bukan itu sahaja, aplikasi super ini turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk pembelian tiket penerbangan.
Dari segi penghantaran, airasia food menawarkan penghantaran percuma bagi jarak 15 kilometer. Untuk mencubanya, layari laman rasmi airasia food untuk mulakan pesanan.
Lazada – Lazat Bazaar
Selain menawarkan pesanan yang melibatkan produk atau keperluan diri dan rumah, Lazada kini hadir dengan dengan perkhidmatan penghantaran makanan. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu mengakses aplikasi Lazada dan pilih penawaran Lazat Bazaar.
Lazat Bazaar ini akan dianjurkan sehingga 13 Mei 2021 kelak. Buat masa ini, Lazada masih lagi dalam proses menguji penghantaran pada hari yang sama yang mana ia hanya dibuka untuk kawasan disekitar Shah Alam, Subang dan juga TTDI.
Berikut adalah empat alternatif kepada perkhidmatan penghantaran GrabFood dan juga FoodPanda. Akses kesemua platform hari ini dan dapatkan segala pilihan makanan anda dengan lebih mudah dan pantas.