Carian
Pernah Diperlekehkan Enzo Ferrari, Dendam Manis Lamborghini Akhirnya Terlunas
May 10, 2021 Zafirah Zapri

Tajria sebelum ini pernah mengupas warna-warni sejarah
Lamborghini yang bermula dari sebuah perniagaan traktor
. Kisah lampaunya turut
ada kaitan dengan kereta mewah ikonik Ferrari. 


Bagi peminat dan pengumpul kereta, poster kereta produk
Lamborghini dan Ferrari mungkin pernah menjadi hiasan dinding bilik buat
tatapan atau penghias mimpi malam-malam hari.

Sama cantik, gah dan mewah. Namun rupanya supercar
berlogo kuda dan lembu jantan ini tidak sebulu dan mempunyai sejarah persaingan
yang panjang.

Semuanya bermula sejak perang ego antara dua lelaki kaya
dari Itali yang meletus pada abad ke-20. 

Minat Bidang Mekanikal 

Ferruccio Lamborghini berasal daripada sebuah keluarga
petani. Namun begitu, beliau tidak mewarisi minat bercucuk tanam seperti
keluarganya sebaliknya lebih cenderung dan berbakat dalam hal-hal berkaitan
mekanikal. 


Lamborghini pernah ikut bertempur dalam Perang Dunia Kedua
sebagai tentera udara. Setelah menamatkan perkhidmatannya, beliau balik kampung
dan mula buat projek di garaj di mana mesin-mesin lama peralatan mesin
ketenteraan diubahsuai untuk kegunaan bertani dan buat sendiri traktor. 

Oleh kerana mendapat permintaan ramai, lantas Lamborghini
membuka perniagaan traktor dan menjadi orang kaya baru. 

Pertemuan Yang Mencetus Api Persaingan

Seperti orang kaya lain, beliau turut mengumpul kereta mewah
termasuk beberapa kereta sport berjenama seperti Ferrari.  

Bagaimanapun, Lamborghini tidak berpuas hati dengan keadaan
kereta Ferrari terutama isu clutch pada ketika itu lalu tangan urat
dawai besinya mula menyelenggarakan dan ‘mengerjakan’ kereta Ferrari itu
cukup-cukup sehingga menjadi hasil yang diingini.

Apabila mendapati clutch traktor miliknya turut boleh
diguna pakai di dalam kereta mewah tersebut, terus lelaki itu pergi bertemu
Enzo Ferrari. 


Namun menurut laman Car & Driver, cadangan
Lamborghini untuk guna isi traktor ke dalam kereta mewah keluarannya dipandang
sepi oleh Enzo Ferrari, malah mengeluarkan kata-kata yang bakal menyimbah
minyak ke dalam api semangat Lamborghini nanti.

“Kau tu cuma pemandu traktor dan petani. Tak patut merungut
tentang cara pandu kereta aku kerana kereta-kereta ini adalah yang terbaik di
dunia.”

Dahulu kereta merupakan sekadar mainan hobi bagi
Lamborghini. Sejak nasihatnya ditolak mentah-mentah oleh tauke Ferrari,
perlumbaan antara mereka pun bermula.

Mula Buat Model Kereta Jenama Sendiri

Di atas sebidang tanah luas, Lamborghini mendirikan sebuah
kilang kereta untuk perniagaan barunya. Berbekalkan pengalamannya dalam
perniagaan traktor sebelum ini, beliau membangunkan fasiliti tercanggih untuk
syarikat keretanya. 

Dengan passion dan pengetahuan yang ada, lelaki
tersebut memilih bahan-bahan terbaik untuk keretanya termasuk mendapatkan enjin
daripada Giotto Bizzarrini yang turut membekalkan enjin kepada Ferrari. Untuk
bahagian kereta lain, beliau menggaji dua orang jurutera muda bernama Giampaolo
Dallara dan Giampaolo Stanzani.


Bekerjasama sebagai satu pasukan, akhirnya lahirlah kereta
sulung mereka, 350 GT dan dipamerkan di sebuah pameran permotoran di
Turin. 

Ramai orang menyangka Lamborghini sudah gila kerana mahu bersaing
dengan Ferrari yang sedia lama bertapak dalam arena itu, dan bina kereta
sehebat Ferrari adalah mustahil serta berisiko tinggi.

Namun hanya orang gila yang mampu mencipta kegilaan ini. Lamborghini  mengamalkan sikap ‘Aku-Peduli-Apa’
terhadap kata-kata orang dan fokus pada perkara yang berada dalam genggamannya. Kereta jenamanya terus
mara laju dan berevolusi hari demi hari. 


Dipendekkan cerita, perniagaan kereta Lamborghini berhasil
membawa persaingan kepada Ferrari. Lamborghini menjadi makin kaya, berpengaruh
serta mampu berdiri setanding taikun kereta kuasa kuda yang pernah
merendahkannya suatu ketika dahulu. 

Sampai Ke Garisan Penamat

Setiap permulaan ada pengakhirannya. Kemewahan itu sempat dikecapi untuk sekian-sekian waktu
sebelum roda kehidupan bisnes Lamborghini berpusing ke bawah. Akhirnya beliau
terpaksa menjual perniagaan keretanya kerana terdapat beberapa isu dalam
perniagaannya.

Jenama kereta tersebut sering kali bertukar tangan sebelum
disambar Audi pada era 1990-an sehingga kini. 


Walau bagaimanapun, moral yang mungkin boleh direnungkan
daripada kisah ini adalah setiap kejadian tersirat rahmat. Penolakan itu memang
menyakitkan namun jika dimanfaatkan sebaiknya, ia boleh jadi titik perubahan
dalam hidup seseorang untuk menjadi lebih bagus. 

Sekiranya Enzo Ferrari tidak pandang sebelah mata dan
mengambil serius pandangan Ferruccio Lamborghini pada ketika itu, mungkin
ngauman garang supercar jenama Lamborghini tidak kedengaran membelah jalan raya
pada hari ini.

Sumber: The Vintage News, Tajria, The Vintage NewsCar & Driver

Komen