Untuk kebanyakan menu atau hidangan diet, biji chia atau chia seeds adalah antara pilihan bahan yang paling kerap digunakan. Hal ini kerana, ia menawarkan khasiat dan nutrien yang baik untuk tubuh.
Namun apakah nutrien yang terkandung di dalamnya?
Sebelum itu, bagi anda yang tidak mengetahui apa itu biji chia, ia sebenarnya adalah tumbuhan ini dikenali sebagai salvia hispanica. Ia berasal dari Mexico yang mana hidangannya banyak diamalkan oleh orang Maya dan Aztec.
Biji Chia terkenal kaya dengan asid lemak omega-3, serat, protein, antioksidan dan kalsium. Selain itu, biji chia juga boleh bertindak sebagai pencahar atau pencuci usus semula jadi.
Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda 7 khasiat biji chia dan mengapa ia diperlukan dalam hidangan gaya hidup sihat.

Bertindak Sebagai Sumber Protein
Walaupun biji chia mempunyai saiz yang kecil, namun kandungan protein di dalamnya mencapai hampir 14 peratus. Malah, ia juga merupakan sumber protein lengkap yang mengandungi sembilan asid amino penting yang tidak boleh dibuat oleh tubuh anda.
Melaluinya, ia dapat membantu dalam pertumbuhan dan pembangunan tubuh, selain menawarkan pembaikan tisu dan penyerapan nutrien dan proses penting lain.
Baik Untuk Kesihatan Tulang
Bukan itu sahaja, biji chia mengandungi protein dan mineral yang baik seperti kalsium, mangan, magnesium, dan fosfor yang memberi manfaat kepada kesihatan tulang selain membantu mencegah osteoporosis.
Selain itu, biji chia yang berasal dari tanaman juga merupakan sumber kalsium yang baik bagi anda yang vegetarian.
Agen Antioksidan Untuk Wanita
Antioksidan tidak hanya baik untuk sel, tetapi juga untuk kulit kerana dapat membantu melambatkan tanda-tanda penuaan. Oleh itu, ia sangat sesuai untuk wanita yang ingin sentiasa kelihatan cantik dan menarik.
Malahan, di dalam biji chia juga terbukti dapat mengurangi risiko barah dan penyakit jantung. Kandungan antioksidan yang tinggi inilah yang menjadikannya tahan lebih lama apabila disimpan berbanding biji-bijian lain.

Membantu mencegah sembelit
Seperti yang dinyatakan secara umum diatas, biji chia sering dijadikan sebagai ubat pencahar atau sembelit semula jadi. Ini kerana biji chia mengandungi banyak serat terutama serat tidak larut.
Untuk pengetahuan anda, jika biji chia direndam di dalam air, ia akan berubah bentuk menjadi seperti jeli. Hasilnya, ia akan membantu melancarkan pergerakan usus sehingga pada akhirnya dapat mengurangkan sembelit.
Satu kajian juga menemui bukti bahawa serat dalam biji chia juga dapat membantu meningkatkan pencernaan.
Mengurangkan Risiko Kencing Manis Dan Sakit Jantung
Menurut Journal of Food Science and Technology, sekitar 65 peratus kandungan minyaknya biji chia terdiri daripada asid alfa-linolenik. Kompaun ini menjadikan benih chia sebagai sumber omega-3 yang sangat baik.
Oleh sebab itu, dengan memakan minyak biji chia ia dapat mengurangkan risiko diabetes jenis 2. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa biji chia dapat mencegah lonjakan gula darah di dalam badan. Kesan ini dianggap berkaitan dengan kandungan nutrien dalam biji chia yang dapat membantu mengekalkan kestabilan gula dalam darah.
Bukan itu sahaja, terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa pengambilan biji chia dapat melindungi jantung daripada pengerasan arteri sekaligus mengakibatkan serangan jantung.

Kandungan Kalori Yang Rendah
Tidak disangkal lagi mengapa kebanyakan individu menggemari biji chia. Hal ini kerana ia hadir dengan jumlah kalori yang rendah yang mana ia sangat sesuai untuk anda yang ingin mengawal berat badan.
Bebas gluten
Gluten adalah protein yang terdapat dalam biji-bijian bijirin, terutama gandum. Dengannya, ia akan menjadikan tekstur doh lebih elastik.
Namun, terdapat individu tertentu yang alergi dengan gluten atau dikenali sebagai intoleransi gluten. Oleh itu, ia sesuai untuk anda yang alergi terhadap gluten kerana ia boleh memberi tenaga dan dalam pada masa yang sama ia melancarkan proses penafasan.
Sumber: Hello Doktor , Healthline , Everyday Health