Pernahkah anda perasan, untuk kebanyakan masa apabila anda meletakkan cawan di atas meja makan kayu, anda mendapati akan terdapat kesan putih di atasnya?
Mengapa hal ini berlaku? Ia disebabkan oleh gelas sejuk ataupun piring panas mengeluarkan air yang membentuk kelembapan secara sejuk atau wap panas. Apabila permukaan tersebut kering, liang kayu akan terbuka dan air atau anasir lain boleh memasuki permukaan kayu.
Namun, setelah permukaan lembap atau basah, pori-pori akan mula menutup dan memerangkap kelembapan di dalamnya sekaligus menyebabkan tanda putih muncul.

Selain air, pastinya terdapat beberapa kotoran lain yang menjadikan meja atau perabot anda tampak lusuh. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada cara untuk menghilangkan kotoran supaya ia kelihatan baru apabila menyambut Syawal kelak.
Menghilang Kesan Putih Akibat Air
Water mark atau tanda air boleh berlaku untuk tempoh yang sekejap. Namun, ada keadaan yang mana ia akan menyebabkan kerosakan pada permukaan kayu apabila ditinggalkan lebih lama.
Jadi jika boleh, pastikan anda menghilangkannya secepat mungkin. Terdapat dua kaedah yang boleh anda praktikkan iaitu:
- Gosokkan sedikit minyak zaitun atau mayonis ke kawasan putih yang terkena air. Kemudian, biarkan selama satu jam dan bersihkannya dengan kain bersih.
- Letakkan ubat gigi pada kain lembut dan gosokkan tanda air sehingga hilang. Lap sisa ubat gigi dengan kain lembap dan gosok permukaan kayu dengan kain lembut dan kering untuk membersihkannya. Selain ubat gigi, anda juga boleh menggunakan soda penaik untuk menghilangkannya.
Kesan Gam Atau Pelekat
Antara kaedah yang sesuai untuk menghilangkan kesan gam pada kayu adalah dengan mengikis perlahan menggunakan kad ataupun pembaris yang tidak terlalu tajam.
Kemudian, anda boleh melembutkan kesan gam yang berlebihan dengan menggunakan pelarut seperti cuka putih. Anda juga boleh menggunakan pelarut gam kayu jika ia tidak berhasil.

Bersihkan Contengan Pen Atau Kesan Dakwat
Celupkan kain lembut yang lembap ke dalam serbuk soda penaik dan gosokkan di kawasan kotoran dengan lembut sehingga ia mula hilang.
Soda penaik biasanya hadir dengan kualiti penghakisan semula jadi yang menjadikannya berkesan untuk menghilangkan noda. Gunakan kain lembap yang bersih untuk menyapu sisa soda penaik dan keringkan dengan kain lembut.
Kaedah lain yang boleh anda gunakan adalah meletakkan alkohol terus pada kotoran. Kemudian, biarkan ia selama 15 minit sebelum lap dengan kain kering.
Berikut adalah beberapa kaedah pembersihan perabot kayu agar ia kelihatan lebih baru. Untuk pengetahuan anda, ia amat penting untuk anda menghilangkan tanda air di dalam kayu kerana ia sekaligus dapat mengurangkan risiko pertumbuhan spora selain dapat memulihkan permukaan kayu.