Carian
Sejarah Pensonic – Bagaimana Ia Terlepas Dari Pertikaian Nama Oleh Panasonic?
May 12, 2021 Lina Rosli

Di pasaran pastinya nama Pensonic sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi untuk para ibu. Jenama ini bersaing hebat dengan kebanyakan jenama tempatan lain dalam menampilkan pelbagai jenis barangan elektrik untuk kelengkapan diri, rumah dan juga tempat kerja.

Antara barisan kategori produk yang dihasilkan termasuklah:

  • Perkakasan dapur seperti peti sejuk, cerek air elektrik, periuk nasi elektrik, pembakar roti dan juga pengisar
  • Kelengkapan ruang bilik seperti penyaman udara, kipas angin, pembersih udara, pemanas air dan banyak lagi.
  • Mesin basuh, radio, televisyen dan juga penyedut hampagas.

Bercerita mengenai Pensonic lagi, tahukah anda sebelum ini Pensonic pernah menerima pertikaian nama oleh Panasonic? Hal ini disebabkan  jenama tersebut dikatakan meniru nama Panasonic kerana sebutannya yang seakan sama.

Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi asal usul Pensonic dan bagaimana ia berjaya melepasi pertikaian tersebut di mahkamah di beberapa buah negara.

Maksud Di Sebalik Nama Pensonic Tercipta?

Sebenarnya, nama asal syarikat ini adalah Keat Radio and Electrical Co. Ia ditubuhkan oleh Pensonic Group pada tahun 1965 yang mana pada waktu itu ia merupakan peruncit kecil yang menjual peralatan eletrik untuk rumah.

Syarikat yang berasal dari Pulau Pinang ini dibina atau diasaskan oleh Dato Seri Chew Weng Khak. Di bawah pimpinan beliau, perkembangan operasi Keat Radio and Eletrical Co pada waktu itu dapat diperluas dengan pesat.

Dari sebuah bengkel kecil kepada bangunan yang lebih baik, Dato Chew berjaya membuka cawangan pertama Keat Radio And Electrical Co di Jalan Perak, Georgetown pada tahun 1974.

Apabila sudah mula membina tapak yang kukuh di Malaysia, pada tahun 1976 beliau cuba untuk menceburkan diri dalam industri import, eksport dan pengedaran peralatan elektrik berjenama dari Jepun dan Eropah.


Nama Pensonic seterusnya mula diperbadankan pada tahun 1977. Menurut Dato Chew, idea nama “Pensonic” bermula dari ‘Sound Of Penang’ yang mana ‘Pen’ melambangkan singkatan untuk nama Pulau Pinang atau Penang. Manakala, ‘Sonic’ pula melambangkan titik permulaan syarikat yang bermula daripada sebuah bengkel radio. Dengan gabungan dua perkataan itu, bermula pengenalan nama Pensonic yang mana ia lebih unik dan mudah untuk diingati.

Perkembangan Pensonic – Dari Pengedar Kepada Pengeluar

Bermula sebagai syarikat pengedar, ia sememangnya bukanlah satu perniagaan yang mudah bagi Pensonic. Mereka dilanda beberapa krisis sehingga mereka membuat keputusan untuk menarik balik produk edaran dan bercadang untuk mula mengeluarkan barangan sendiri.

Di bawah pengurusan Dixon Chew yang merupakan anak kepada Dato Chew, beliau mula membina rangkaian syarikat yang juga merupakan pengeluar pengeluar perkakas rumah elektrik (EHA) di Malaysia.

Menjelang tahun 1982, Pensonic Sales and Service Sdn. Bhd mula diperkenalkan. Melaluinya, ia membina dan menambah beberapa buah cawangan baru di seluruh Malaysia untuk menempatkan perniagaan yang berkembang pesat di bawah satu kumpulan payung.


Pensonic pada awalnya mendapatkan bekalan daripada pengeluar peralatan asli (OEM) dari Korea Selatan yang mahir dalam menghasilkan produk berkenaan audio dan video. Sehingga tahun 1988, Pensonic memulakan pembuatan dan pemasaran EHA dan menjadi syarikat pengeluar peralan elektrik buatan Malaysia yang pertama.

Malah, Pensonic juga kini terlibat dalam pembuatan reka bentuk sendiri (ODM) untuk beberapa jenama antarabangsa.

Isu Nama Panasonic – Pertikaikan Pensonic Sebagai Produk Tiruan

Tidak dinafikan, penggunaan nama Pensonic boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pembeli. Oleh sebab itu, Panasonic Corporation telah membawa isu ini kepada tindakan mahkamah. Jika dari sudut pandangan perniagaan, ia boleh mengakibatkan kerugian dan juga mendatangkan kepada salah faham bagi para pengguna kepada produk sedia ada.

Di Singapura, selepas isu pertikaian nama Panasonic dibawa ke muka pengadilan, nampaknya jenama Panasonic telah memenangi perbicaraan tersebut pada November 2008 terhadap Pensonic setelah beroperasi selama lebih dari 20 tahun.

Walau bagaimanapun, berbeza untuk negara lain seperti di Sri Langka, nama Pensonoc dikatakan telah didaftarkan di Malaysia pada tahun 1984 dan yang mana tahun pendaftarannya sama dengan Panasonic sewaktu didaftarkan di Jepun. Akibat daripada itu, mahkamah memutuskan untuk membiarkan Pensonic beroperasi dan nampaknya ia menerima bantahan oleh kebanyakan negara di dunia. 

Sumber: Pensonic , The Edge  Market  ravindranassociates

Komen