Carian
Giethoorn- Desa Indah Dan Permai Ini Aman Daripada Bunyi Hon Kenderaan
May 14, 2021 Zafirah Zapri

Sekiranya virus Covid-19 sudah jemu duduk di bumi dan berpindah
ke planet lain, apakah tempat yang anda nak sangat pergi?

Salah sebuah tempat yang boleh dimasukkan ke dalam bakul
senarai destinasi impian anda adalah Giethoorn, terletak di Belanda.

Tempat ini sangat cantik, dikelilingi air, warna-warni
dengan aneka bunga dan kelihatan angsa putih berenang di permukaan air. Seolah-olah
berada di dalam lukisan atau buku cerita.


Bertapak Di Atas ‘Kubur’ Kambing

Giethoorn bermakna ‘tanduk kambing’ dalam bahasa tempatan. Pada
zaman dahulu, penduduk awal di perkampungan ini menemui ratusan tanduk sisa kambing
yang dipercayai terkubur kerana banjir besar yang pernah melanda kawasan itu
pada sekitar abad ke-10.

Sedikit demi sedikit mereka menggali tanah, membina terusan,
membuka penempatan di kawasan paya itu sehinggalah menjadi cantik seperti hari
ini.


Dikelilingi Air

Perjalanan ke Giethhoorn mengambil masa kira-kira 1 jam 30
minit dari kota Amsterdam melalui pengangkutan paling cepat dan termurah tambangnya
iaitu kereta sewa (RM 70-110).


Kemudian cara untuk akses ke perkampungan ini adalah anda
perlu menaiki bot atau berjalan kaki. Tempat ini bebas pencemaran bunyi
kenderaan kerana tiada jalan raya. Malah menurut laman web rasmi Giethoorn,
bunyi itik ‘kuek, kuek, kuek’ yang paling kuat memecahkan kesunyian desa itu.


Terdapat ratusan jambatan kayu yang menghubungkan pulau-pulau
kecil di desa ini termasuk rumah-rumah. Hanya pejalan kaki dan penunggang
basikal sahaja yang boleh bergerak ke sana ke mari.


Medium pengangkutan lain pula adalah bot, perahu dan kayak.
Apa yang menarik, posmen turut menghantar surat melalui bot. Menerusi satu dokumentari
mini yang saya tonton di YouTube, abang bomba di sana selalu bersiap-siaga sekiranya
berlaku kemalangan air dan mereka memadam kebakaran dari bot. Malah satu pemandangan
jarang dilihat sekarang adalah lembu-lembu ternakan juga dikatakan diangkut
menjadi penumpang bot.

Tarikan Pelancong

Kotej-kotej comel dan pemandangan indah telah menarik
perhatian dunia terutama rakyat China untuk menyusuri terusan Giethhoorn yang digelar
Dutch Venice’ ini.


Rumah penginapan turut disediakan kepada sesiapa yang mahu bermalam
dan boleh ditempah menerusi aplikasi seperti Booking.com, Airbnb dan
sebagainya.


Setiap tahun, dianggarkan seramai 200,000 pelancong dari
China membanjiri tempat ini. Pada tahun 2015, penduduk tempatan pernah melobi
para pelancong supaya menyertai mereka untuk meletakkan desa ini ke dalam papan
permainan Monopoly edisi antarabangsa.

Hal ini telah tular di China, hari-hari para peminat gigih mengundi
50 kali. Hasilnya, Giethoorn duduk sebaris dengan kota mega dunia lain seperti
London, New York dan Tokyo dalam permainan hartanah Monopoly.

Sumber: Giethoorn Tourism, CNN Travel

Komen