Kalau anda lalu di kawasan padang atau taman yang sahaja dibersihkan, pastinya anda akan menghidu satu bau yang unik iaitu baru rumput yang baru sahaja dipotong.
Mengapa rumput yang dipotong akan mengeluarkan bau?
Untuk pengetahuan anda, bau ini hadir apabila tumbuhan berdaun melepaskan campuran sebatian berasaskan karbon di udara yang disebut volatil daun hijau atau GLV (Green Leaf Volatiles). Ia biasanya berlaku apabila tumbuhan tersebut rosak atau keadaannya tidak sempurna seperti dipotong oleh serangga ataupun mesin pemotong rumput.
Namun, tahukah anda terdapat fungsi dan kesan lain bau ini kepada persekitaran?
Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada fakta menarik mengenai bau fresh-cut grass ini kepada alam sekitar.
Benarkah Bau Rumput Yang Dipotong Adalah Teknik Pertahanan Diri Untuk Tumbuhan?
Ada beberapa kajian mendapati, bau rumput yang dipotong dikatakan adalah satu teknik atau kaedah pertahanan diri untuk kebanyakan tumbuhan berdaun. Hal ini kerana, apabila anda menghidu bau molekul ini secara berlebihan, ia boleh menyebabkan sakit kepala atau mengalami pelbagai jenis gangguan yang lain.
Menurut Penyelidikan AgriLife Texas A&M di College Station, bau yang dikeluarkan oleh tumbuhan ini juga merupakan isyarat kepada serangga kecil atau tumbuhan yang lain bahawa sesuatu sedang berlaku di dalam radius tersebut. Dengan ini, ia dapat memberi manfaat kepada serangga kecil untuk menyelamatkan diri secara tidak langsung dapat menghalang parasit atau hama untuk bertelur di kawasan tersebut.
Bagaimana Bau Tersebut Membentuk Amaran Atau Isyarat Kepada Persekitaran?
Seperti yang dinyatakan di atas, bau yang dihasilkan merupakan cara untuk tumbuhan berkomunikasi.
Tumbuhan akan mengeluarkan asid lemak yang dikenali sebagai asid jasmonik. Asid ini adalah salah satu daripada 600 molekul oksilipin (keluarga beroksigen yang terhasil menerusi produk semula jadi) yang dikenal pasti dalam tumbuhan.
Apabila hormon jasmonate diaktifkan, ia akan menghasilkan tindakbalas pertahanan tumbuhan terhadap arthropoda, herbivor dan patogen.
Walau bagaimanapun, isyarat ini hadir dengan jalur isyarat yang berbeza yang mana bergantung kepada sesuatu serangga atau anasir persekitaran lain untuk menerjemahkannya ke dalam tindak balas pertahanan yang sesuai.
Bercerita lanjut mengenai isyarat ini, tumbuhan menghantar mesej udara yang bertindak sebagai isyarat bahaya kepada serangga pemangsa yang membunuh serangga herbivor. Sebagai contoh, pokok cili anda diserang oleh cacing. Ia akan melepaskan GLV yang mana akan dihidu oleh serangga lain di sekitarnya seperti semut, mikrob, bahkan burung.
Hasilnya kesemua haiwan dan serangga ini akan mengesan dan bertindak balas terhadap mesej ini sama ada burung akan memakan cacing tersebut atau semut pula akan memberi isyarat kepada tentera mereka yang lain untuk menjadikan cacing yang sudah mati sebagai bekalan makanan mereka.
Untuk senario lain seperti bau rumput selepas dipotong menggunakan mesin pemotong rumput pula memberi amaran kepada serangga lain untuk berhati-hati yang mana kawasan tersebut sedang dibersihkan dan memerlukan mereka untuk menyelamatkan diri.
Secara umumnya, ada segelintir pihak sebagai contoh manusia merasakan bau rumput yang dipotong mungkin memberi kesegaran ataupun ketenangan, namun untuk pihak lain seperti serangga ia mungkin menunjukkan ancaman yang berlaku di kawasan tersebut yang akan membahayakan keselamatan mereka.
Sumber: livescience , acs , mentalfloss