Carian
Ketahui Makna Di Sebalik Warna Cecair Yang Keluar Dari Enjin Kereta Anda
May 17, 2021 Lina Rosli

Pernahkah anda mendapati kereta anda mengeluarkan cecair setiap kali berhenti sama ada tempoh masa yang sekejap ataupun lama.

Sebagai pemilik kenderaan, sudah tentu anda perlu mengetahui apakah yang berlaku pada kenderaan anda agar ia tidak memberi kesan yang buruk sama ada untuk kenderaan ataupun nyawa penumpang.

Oleh itu, Tajria ingin mengupas apakah makna di sebalik warna cecair yang keluar dari enjin kenderaan anda.

Mengapa Boleh Berlakunya Kebocoran Pada Enjin?

Persoalan pertama yang bermain di minda pastinya apakah jenis cecair itu? Dan bagaimana boleh berlakunya kebocoran pada enjin kenderaan anda?

Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa faktor yang mungkin menjadi punca kepada permasalahan ini seperti kebocoran pada sistem penyejukan kereta ataupun bekas cecair untuk pengelap cermin.

Walau bagaimanapun, ada faktor lain yang turut boleh menjadi punca kepada hal ini. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengenalpasti warna cecair yang keluar supaya anda boleh hadir dengan pelan tindak balas yang bersesuaian.

Cara Untuk Kenalpasti Kebocoran

  1. Langkah pertama yang harus anda ambil ialah mengesahkan bahawa kebocoran itu benar-benar datang dari kereta anda. Gunakan lampu suluh untuk melihat ke bawah kereta anda untuk mengenal pasti punca kebocoran.
  2. Seterusnya, kenal pasti warna cecair yang bocor. 
  3. Cara mudah untuk melakukannya adalah dengan menggesek sehelai kertas putih atau sekeping kadbod di bawah kebocoran untuk menangkap titisan pada permukaan yang bersih.
  4. Setelah menentukan warna kebocoran kereta, ketahui makna di sebalik warna cecair.

Makna Di Sebalik Warna Cecair

Berikut adalah beberapa warna yang mungkin dikeluarkan oleh kenderaan anda:

Cecair jernih

Kebiasaannya, cecair warna jernih ini berpunca daripada mungkin dari sistem pencucian cermin depan atau penghawa dingin yang menyebabkan pemeluwapan air.

Sekiranya anda dapat menentukan bahawa bendalir jernih itu berasal dari salah satu dari dua sumber ini, kebocoran tersebut secara amnya tidak memberikan kesan buruk serta merta pada kereta anda.

Namun, jika anda tidak gemar dengan kebocoran ini, anda boleh mendapatkan bantuan pakar untuk membaikinya ataupun menukar komponen yang baharu.

Cecair kuning atau hijau

Kebocoran dengan warna cecair ini adalah salah satu yang kerap berlaku pada kebanyakan kereta. Ia berpunca dari penutup radiator yang tidak ditutup rapat ataupun terdapat keretakan pada kawasan di sekitar tangki.

Cecair coklat atau hitam

Sekiranya cecair berwarna coklat atau hitam, ia berkemungkinan terdapat kebocoran pada bahagian bekas minyak enjin anda.

Untuk mengesahkan ini, sentuh cecair. Jika anda mendapati, teksturnya licin dan sukar untuk dibersihkan jika dilap dengan tisu, maka ia adalah minyak enjin.

Apa yang perlu anda lakukan adalah segera memeriksa tangki minyak enjin. Pastikan kereta anda masih mempunyai paras minyak enjin yang mencukupi. Jika ia sudah sedikit, maka anda perlu mengisinya semula.

Selepas itu, pergi ke kedai kereta berdekatan dengan segera untuk membaiki tangki minyak enjin anda supaya ia tidak mendatangkan risiko pada enjin kereta anda.

Cecair coklat yang mana tekstur licin

Ia seakan sama dengan kebocoran pada tangki minyak enjin. Namun, ia sedikit cair dan juga licin.

Ia berpunca dari sistem brek yang mana cecair ini berwarna coklat muda atau gelap yang bergantung pada suhunya. Kebocoran ini berlaku di bawah roda atau di mana sahaja berhampiran brek.

Jika ia berlaku, pastikan anda tidak membawa kereta untuk ke bengkel yang mana, ia sebaliknya perlu ditarik atau ditunda menggunakan lori tunda. Hal ini kerana, untuk senario yang serius, ia mungkin terdapat kerosakan brek sekaligus boleh menyebabkan kereta tidak berhenti jika ia dipandu.

Cecair merah

Jika anda mendapati cecair yang keluar adalah warna merah jambu atau merah gelap, ia mungkin adalah cecair penghantaran atau transmission oil.

Seperti kebocoran pada tangki minyak enjin, kebocoran ini juga perlu dibaiki dengan segera.

Pertama sekali, anda perlu periksa tahap cecair transmisi dan isi semula mengikut keperluan. Hal ini kerana, jika anda mengemudi kenderaan tanpa paras minyak penghantaran yang tidak mencukupi, ia akan menjadikan gear tidak bergeser lancar dan merosakkan komponen penghantaran anda.

Cecair merah atau coklat

Cecair pada sistem stereng kebiasaannya berwarna kemerahan dan sedikit coklat. Ia juga mempunyai bau seakan terbakar atau hangus jika ia berlaku kebocoran.

Sekiranya ini berlaku, periksa sama ada tahap cecair rendah dan isi semula mengikut keperluan. Pastikan anda segera mendapatkan bantuan pakar kerana cairan power steering bersifat mudah terbakar. Jadinya, ia memerlukan pengurusan yang betul untuk menyelesaikan masalah ini.

Sumber: Car From Japan , Auto Select Online

Komen