Seorang personaliti terkenal berkicau di Twitter, “Rakyat
Malaysia perlu ada skil menjual.”.
“Tapi saya tak tahu nak niaga apa, bang.” balas
pengikutnya di bawah.
“Cari apa yang dekat di hati.” Seorang artis merangkap
ahli perniagaan pula quote twit kicauan si pengikut tadi.
Lebih kurang begitulah dialog yang saya ingat semasa baca
sambil lalu di Twitter.
Sekiranya makanan dekat di hati dan dapat menggembirakan
anda, berikut 6 idea perniagaan makanan yang anda boleh pertimbangkan:
Idea #1 Jual Makanan
Ini antara opsyen paling popular sekarang. Garis masa akaun
media sosial saya sudah seperti bazar kerana meriah dengan promosi makanan yang
nampak sedap-sedap jualan para pengguna dalam talian. Ada yang dimasak dari
rumah.

Sekiranya anda turut berminat dengan perniagaan ini, dicadangkan
anda fokus kepada niche yang lebih spesifik misalnya jual muffin ke, nachos
atau pai.
Atau anda boleh cari idea dalam Pinterest ke, saluran YouTube
atau video Tasty untuk teroka makanan apa yang orang belum jual lagi. Sekiranya
sudah ramai orang jual corndog, mungkin anda patut cuba jual bebola keju
rangup.
Tentukan harga jualan setelah membuat kiraan kos yang
terlibat dalam penyediaan makanan termasuk bahan-bahan, bungkusan, penghantaran
dan tenaga manusia sekiranya ada pembantu.
Di samping jual dalam talian, saluran lain adalah keluarga, sanak-saudara,
jiran, kenalan, kawasan piknik, pasar malam, pasar tani, kedai kopi dan pesta
(sekiranya musim Covid-19 dan PKP sudah berlalu).
Idea #2 Chef Peribadi
Mungkin anda gemar memasak, cuma bukan untuk dihidangkan
kepada orang ramai seperti katering. Maka pilihan seterusnya adalah tukang
masak persendirian.

Pensyarah saya dulu pernah cerita, bahawa beliau tiada masa
untuk memasak dan selalu tapau burger McDonalds bersebelahan kampus
untuk anak-anaknya selepas balik kerja.
Barangkali beliau tidak keseorangan kerana zaman sekarang,
tugas mencari rezeki lazimnya dipikul oleh kedua-dua pasangan terutama yang
tinggal di bandar besar dan kos sara hidup tinggi.
Jadi, anda boleh bantu ibu bapa yang penat bekerja ini
dengan menyediakan masakan dari rumah yang sihat dan lazat untuk keluarga
mereka. Misalnya mereka nak menu sekian-sekian dan schedule masa bila
untuk dihantar.
Calon klien seterusnya adalah pekerja pejabat di pelbagai
tempat kerana boleh jadi mereka pun teringin nak masakan rumah, jemu hari-hari
makan tengah hari di kedai namun tidak sempat siapkan bekal.
Selain itu, mungkin ramai orang simpan resipi yang nampak yummy
dari internet, namun bukan semua orang mempunyai kerajinan dan masa untuk
membuatnya. Oleh itu, di sinilah peranan anda sebagai tukang masak peribadi
untuk mengambil order daripada mereka.
Idea #3 Tutor Masakan
Salah satu kegunaan internet adalah anda boleh menyediakan
servis kepada para penggunanya. Sekiranya anda suka memasak sekali pakej berkongsi
pengetahuan dengan orang awam, anda boleh lancarkan kelas memasak dalam talian,
sama ada kelas untuk perseorangan atau beramai-ramai dalam satu masa.

Apa yang menarik, semuanya boleh dibuat dari rumah. Tidak
semestinya perlukan dapur cantik-cantik, cukup orang faham dan boleh praktik apa
yang anda tunjuk.
Sesetengah orang mungkin sanggup laburkan wang untuk belajar
kerana buat makanan sendiri ini bukan sahaja kemestian dalam soal rumah tangga
tetapi juga survival skill.
Selain itu, anda boleh buat rakaman video, salurkan di platform
seperti Udemy dan Ruang Cikgu untuk jual skil anda. Alternatif lain adalah YouTube.
Jika sudah ramai orang buat video tutorial memasak, anda kecilkan lagi skop
misalnya fokus makanan Jepun ke, masakan Barat, Korea, Itali dalam bahasa Melayu.
Idea #4 ‘Mesin Gedegang’
Ini bisnes makanan unik yang anda boleh beroperasi dari
rumah. Rupanya vending machine mesin layan diri ini boleh dibeli atau dimiliki secara
francais daripada syarikat mesin tersebut.

Mengikut perkongsian
pengalaman lelaki ini, mesin layan diri diuruskan oleh syarikat berkenaan dan
pemiliknya boleh goyang kaki kira untung masuk. Namun hati-hati, jangan sampai
kena scam.
Kunci kepada perniagaan ini adalah lokasi strategik, tumpuan
orang ramai seperti universiti, stesen bas, hospital atau fikirkan tempat
apakah yang orang ramai haus. Modalnya besar juga, melibatkan ribuan ringgit.
Sekiranya mesin layan diri ini turut terkandung makanan
seperti nasi goreng, nasi lemak, pizza, sandwich dan diletakkan di asrama atau
kolej, saya rasa lumayan dan hari-hari kena top up isinya sebab adik
saya cerita pelajar selalunya lapar dan bisnes makanan memang laku keras di
kolejnya.
Idea #5 Fotografi Makanan
Kalau anda mempunyai kamera, skil fotografi yang mantap dan
amat meminati makanan, cabang perniagaan ini agaknya sesuai untuk anda.

Selain cekap
mengambil gambar, kemahiran lain yang perlu ada untuk menjana pendapatan adalah
menjual.Cuba anda menawarkan servis dan menghampiri klien-klien pengusaha seperti berikut:
- Restoran
- Majalah
- Platform e-dagang
- Start-ups berkaitan makanan
-
Syarikat penghantaran
makanan
- Kedai runcit mewah
- Agensi pengiklanan dan banyak lagi.
Dalam zaman media sosial media ini, semakin banyak gambar
makanan yang diperlukan bagi melancarkan kempen untuk jenama produk mereka.
Andai kata tiada kamera canggih-canggih, tak apa sebab kita
boleh guna kamera telefon pintar untuk ambil gambar makanan dengan teknik yang
betul.
Kemudian, edit cantik-cantik dengan bantuan aplikasi sebelum
jual kepada stock photos seperti Shutterstock, Adobe Stock dan Getty
Images untuk buat duit tepi. Saya perhatikan gambar makanan Malaysia agak
kurang dan payah nak cari di internet jadi inilah peluangnya.
Idea # 6 Blog Tentang Makanan
Blog dapat jadi bukti tanda cinta anda pada makanan misalnya
berkongsi resipi, falsafah dan apa-apa sahaja berkaitan makanan.

Memandangkan peminat dan perniagaan makanan semakin tumbuh seperti
cendawan masa kini, mungkin anda boleh memanfaatkannya melalui blog anda
seperti berikut:
- Sewakan ruang blog anda untuk iklan
-
Artikel tajaan contohnya “10 Sebab Kenapa Anda
Patut Cuba Sambal Hijau Pak Abu”
- Pemasaran Affiliate
-
Produk digital anda sendiri seperti e-buku
resipi memasak dan webinar
- Dan macam-macam lagi
Penutup
Selain enam perkara ini, ada banyak lagi idea tentang
perniagaan makanan yang anda boleh teroka.
Bagaimanapun cadangan perniagaan ini bukanlah jaminan untuk
anda kaya dan beli jet peribadi namun sekurang-kurangnya diharap dapat bantu
anda menjana pendapatan sendiri, mempunyai gaya hidup fleksibel, berfungsi
sebagai anggota masyarakat sambil buat apa yang anda suka.

Kejayaan sesuatu perniagaan makanan ini mungkin bergantung
juga kepada cita rasa dan permintaan pelanggan.
Oleh itu, sebelum terjun ke lapangan disarankan uji dahulu
idea anda dengan kanvas model bisnes, buat kajian pemasaran, pembangunan produk
dan mempunyai pelan perniagaan yang kukuh.
Pelan perniagaan ini bukan sahaja untuk menentukan arah tuju
perniagaan anda, tetapi juga bagi memohon bantuan seperti pinjaman atau meyakinkan
pelabur.
Kemudian anda boleh memohon lesen dan permit, buka akaun
bank khusus untuk perniagaan, susun dokumen elok-elok dan jangan lupa bayar
cukai serta zakat bagi yang Muslim bila dah mampu dan berjaya.
Akhir kata, selamat maju jaya.
Sumber: 99businessideas, smallbiztrends, thebalancesmb.