Tahukah anda yang mana simbol # (hash) kini merupakan simbol yang terpenting dalam kalangan pengguna internet?

Tanda pagar atau lebih dikenali sebagai ‘tagar’ ini menampilkan pelbagai kandungan, informasi dan juga perkara yang dikumpulkan dari seluruh dunia. Melaluinya, pengguna internet hanya perlu menaip kata kunci yang bersesuaian dan ianya akan menampilkan hasil perkongsian daripada pelbagai platform media sosial.


Secara amnya, kata tagar dicipta oleh pengguna internet untuk mengetahui dan membincangkan sesuatu peristiwa atau masalah yang berkaitan. Ianya akan disusun mengikut kategori atau subjek supaya pengguna dapat mencari topik dan mengambil bahagian dalam perbualan dengan mudah dan tanpa batasan.

Namun, siapakah yang pertama menggunakan tagar?

Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda sejarah di sebalik tagar dan bagaimana ia mula diperkenalkan dan dipopularkan kepada umum.

Sebelum Popular Di Media Sosial, Simbol # Digunakan Untuk Menghantar Arahan Ke Sistem Operasi Telefon

Simbol # sebelum ini merujuk kepada label pada nombor yang mana bagi mengelakkan kekeliruan pada sebutan matawang.

Selepas itu, ia mula digunakan dalam satu makmal telefon yang mana meletakkan simbol # pada papan kekunci telefon pada tahun sekitar 1960-an. Pada waktu itu, simbol # ini disebut sebafai Octothorpe. 

Nama octothorpe ini berasal dari idea yang mana ia mempunyai lapan hujung ditepi dan merasakan keperluan untuk meletakkan okto pada nama simbol berkenaan.


Namun, ada juga yang menyatakan pekerja Bell Lab iaitu Don MacPherson menamakannya berdasarkan Olympian Jim Thorpe. Sehingga kini, tidak ada bukti yang sahih untuk penamaan simbol ini dan kebanyakan individu kini lebih gemar memanggilnya simbol # dengan nama ‘Hashtag’.

Penggunaan Simbol # Di Platform Media Sosial

Seperti yang kita lihat dalam era teknologi ini, penggunaan sosial media boleh dikatakan sangat mendapat perhatian ramai. 

Tahukah anda bahawa di Malaysia, terdapat sekitar 26 juta pengguna media sosial telah direkodkan pada Januari 2020. Ia dilihat telah meningkat sekitar 1 juta pengguna untuk tempoh antara April 2019 sehingga Januari 2020.

Antara sebab mengapa media sosial telah menjadi pilihan ramai pengguna adalah platform ini dianggap sebagai sebuah tempat untuk carian maklumat pantas selain mengetahui perkongsian yang terbaru dari seluruh negara. Maka, tidak hairanlah media sosial kini adalah antara aplikasi yang paling banyak dimuat-turun setiap tahun.


Pertama Kali Digunakan Di Twitter

Bercerita mengenai media sosial, penggunaan tagar ini paling banyak ditemui menerusi Twitter yang mana tagar pertama diperkenalkan oleh Chris Messina.

Messina merupakan pakar di media sosial yang mana mencadangkan interaksi antara pengguna akan lebih efektif jika menggunakan tagar. 

Idea awal Messina adalah untuk mengumpulkan perbincangan dan ingin bertukar pandangan secara atas-talian mengenai Barcamp. Untuk pengetahuan anda, Barcamp ini merupakan persidangan teknologi yang dihadiri oleh individu dari seluruh dunia.

Beliau kemudiannya membuat perkongsian di akaun Twitter miliknya dengan meletakkan simbol # pada awal perkataan barcamp.

Lama kelamaan, penggunaan tagar ini mula diterokai oleh lebih ramai lagi individu terkemuka termasuk Barack Obama yang berkongsi ciapan dengan tagar #AskObama, Nate Ritter pula berkongsi ciapan mengenai kebakaran hutan di California menerusi tagar #SanDiegoFire dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun, pengenalan tagar oleh Twitter mula disokong sebagai alat carian pada tahun 2009 iaitu dua tahun selepas diperkenalkan Messina. Sejak itu, sokongan carian tagar mula ditambah di beberapa rangkaian media sosial lain.

Instagram mula melancarkan carian tagar pada tahun 2010, sementara Facebook pula pada tahun 2013. Seterusnya, Google+, Tumblr dan Pinterest turut tidak ketinggalan dengan menawarkan carian kandungan berkelompok dengan menggunakan simbol #.

Sumber: datareportal socialmediaweek hashtags